Dua pesakit kanser berhajat ke Langkawi



BUTTERWORTH, 4 Okt (Bernama) -- Dua pesakit kanser hari ini menyatakan hasrat untuk melancong ke Pulau Langkawi, Kedah sebagai permintaan terakhir mereka.

Penghidap kanser tulang Mohd Danish Iskandar Azmin, 16, dan pesakit leukemia Mohd Haziq Asyriffan Abdul Rahman, 10, kini berada di tahap empat dan telah menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Mohd Danish Iskandar berkata beliau memilih percutian ke Langkawi kerana pulau itu  mempunyai persisiran pantai yang cantik.

Bapa Mohd Danish Iskandar, Azmin Abdul Aziz, 44, berkata sejak anak keduanya itu disahkan menghidap kanser awal tahun ini, kehidupan anaknya yang aktif bersukan itu berubah secara total.

"Setelah Danish menjalani pembedahan untuk membuang sel kanser tulang pada Mei tahun ini, hasil rawatan lanjut mendapati sel kanser telah merebak ke bahagian paru-paru, malah doktor menyatakan hayatnya dianggar dapat bertahan sehingga enam bulan sahaja," kata Azmin pada sidang media, di sini hari ini. 

Pengusaha kantin itu berkata mereka redha dan pasrah dengan takdir dan berharap dapat menunaikan hajat terakhir anaknya itu.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Haziq Asyriffan, Abdul Rahman Md Desa, 36, yang hadir sama pada persidangan media itu turut berharap hasrat terakhir anak bongsunya yang disahkan menghidap kanser sejak berusia lima tahun itu dapat ditunaikan.

"Sebelum ini, Haziq ada minta nak pergi ke kampung datuk neneknya di Negeri Sembilan dan hajat itu sudah kami penuhi. Sekarang dia berhajat untuk ke Langkawi pula. Walaupun keadaan Haziq sekarang ini menampakkan perubahan sedikit positif namun, kami sekeluarga berharap hajat terakhir anak kami ini tercapai sebelum tiba masanya," katanya.

Abdul Rahman yang bekerja sebagai pemandu lori berkata beliau kini tidak bekerja kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada Mohd Haziq Asyriffan selepas tahap kesihatan anaknya itu semakin menurun. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Tayib berkata pihaknya memohon masyarakat untuk menghulurkan dana bagi menampung perbelanjaan kedua-dua pesakit kanser itu di Langkawi.

"Kita harap dapat capai sumbangan sebanyak RM5,000 yang mana RM2,500 akan disumbangkan kepada tiap seorang," katanya sambil menambah sumbangan boleh disalurkan kepada persatuan itu  menerusi akaun Maybank yang bernombor 557102120607, dan akaun Bank Islam bernombor 07016010071431.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018