Oleh Mohd Najieb Ahmad Fuad
PORT DICKSON, 8 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan kesihatan yang lebih bermutu antara perubahan yang diidamkan oleh masyarakat India yang menetap di luar bandar bawah Parlimen Port Dickson.
Tidak dinafikan rata-rata masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah ketika ditemui Bernama menyifatkan kemudahan kesihatan di setiap kawasan pedalaman harus diberi perhatian bagi memudahkan masyarakat menerima perkhidmatan kesihatan yang terbaik setanding perkhidmatan yang diterima penduduk di bandar.
Mereka meletakkan harapan tinggi kepada wakil rakyat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu untuk merubah landskap sistem perkhidmatan kesihatan lebih baik berbanding dahulu.
P. Valshniee, 26, merupakan penduduk Kampung India, Chuah berharap wakil rakyat baharu dapat menambah klinik kesihatan di kawasan itu berbanding sekarang hanya memiliki sebuah Klinik Desa yang kecil sehingga terpaksa menampung pesakit yang begitu ramai.
"Kami minta agar lebih banyak klinik desa dapat dibina di kawasan pedalaman Port Dickson, misalnya bagi penduduk di Kampung Sawah, Kampung India, Kampung Sungai Nipah, Kampung Pachitan semua tertumpu pada klinik Desa Chuah.
"Selain kedudukan yang jauh untuk pergi ke pekan Lukut atau ke hospital daerah mahupun hospital Seremban untuk menerima rawatan," katanya.
Bagi pekerja ladang, P. Balakishnan, 57, yang sekian lama menghidap penyakit gout berkata walaupun kemudahan kesihatan sudah ada, perhatian terhadap tempoh menunggu juga harus diambil kira supaya urusan dapat dilakukan dengan lancar.
"Sekiranya terlalu ramai yang hadir ke kilinik ini, proses akan menjadi terlalu lambat, selain klinik ini menjadi tumpuan penduduk dari lima kampung berdekatan. Jika di tambah satu lagi klinik kesihatan kami amat bersyukur," katanya.
Daerah Port Dickson memiliki sebuah hospital dareah, lima klinik kesihatan dan tujuh klinik desa.
Selain perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, pengundi dalam kalangan peladang turut berharap usaha membantu mereka dalam sektor itu tidak dipinggirkan.
Penternak lembu kecil-kecilan G. Selvaraj, 71, mengharapkan lebih banyak bantuan dan insentif kepada penternak dan peladang untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti dalam meningkatkan mutu kehidupan mereka.
"Jika antara mereka (calon) menjadi wakil rakyat yang baharu nanti diharapkan dapat membantu golongan penternak seperti kami, setidaknya dapat memberi dana kepada kami meningkatkan kualiti ternakan lembu.
"Hasil yang diperoleh tidak begitu lumayan tetapi sekadar membantu sedikit sebanyak pendapatan sedia ada, kandang yang uzur, bekalan makanan lembu yang kurang berkualiti ia agak menyedihkan kami," katanya yang merupakan pekerja estet di Kampung Sawah.
Berdasarkan data taburan penduduk sehingga September tahun ini, Parlimen Port Dickson mempunyai 103,202 penduduk di bawah lima DUN iaitu Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Linggi dan Sri Tanjung (dahulu Port Dickson).
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).
Parlimen Port Dickson menyaksikan PRK diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
PRK itu menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini menang jawatan Presiden PKR mewakili PH, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.
Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan (9 Okt) sebagai hari pengundian awal.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN