KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Setiap organisasi termasuk syarikat yang memiliki bilangan anggota yang ramai disaran mewujudkan pasukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dalam memberi bantuan awal kecemasan.
Pengarah Fakulti CPR Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Rosman berkata pasukan CPR penting kerana pelbagai faktor dan risiko menjurus kepada serangan jantung amnya dikesan di tempat kerja.
“Selalunya faktor tekanan persekitaran tempat kerja, kualiti gaya hidup dan umur mempengaruhi faktor itu, dan kita menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja. Justeru, amat penting kakitangan mempunyai kemahiran melakukan CPR dan menggunakan Automated External Defibrillator (AED).
Ini kerana faktor logistik boleh menyukarkan bantuan daripada mereka yang pakar tiba tepat pada masanya terutama jika pejabat tersebut terletak di kawasan yang sesak atau jauh dari hospital," katanya kepada media selepas Kursus Heartsaver CPR-AED Bersama Media di IJN di sini hari ini.
Seramai 13 pengamal media dari pelbagai penerbitan yang hadir diberi pendedahan dan demonstrasi mengenai teknik yang betul melakukan CPR dan penggunaan AED bagi orang dewasa dan bayi serta bantuan awal bagi mangsa tercekik.
Dr Azhari berkata terdapat banyak hospital malah IJN sendiri sering mengadakan kursus kesedaran CPR-AED kepada masyarakat dan peluang ini boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh organisasi untuk menjalinkan kerjasama bagi melatih kakitangan mereka.
"Kursus ini adalah sebahagian program tanggungjawab sosial koporat (CSR) hospital dalam memupuk kesedaran mengenai CPR namun jumlah penglibatan organisasi masih sedikit terutama syarikat yang mempunyai bilangan kakitangan yang ramai.
Menurut Dr Azhari, kematian akibat serangan jantung boleh dielak dengan mendapat bantuan awal jika lebih ramai yang tahu melakukan CPR dan penggunaan AED terutama apabila terdapatnya rakan sekerja yang mempunyai sejarah kesihatan berkaitan jantung.
Dalam pada itu, beliau berkata sudah masanya pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi menjadikan latihan dan kemahiran CPR sebagai satu kokurikulum wajib yang perlu diikuti pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.
"Sangat menyedihkan kerana kurang daripada 10 peratus rakyat Malaysia yang tahu mengenai CPR sedangkan ia sesuatu yang amat mudah diajar dan dilakukan termasuk pelajar seawal Tahun Tiga.
"Untuk itu, cara yang paling mudah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kemahiran CPR adalah memulakan dari peringkat akar umbi diteruskan secara konsisten di institusi pengajian dan di tempat kerja," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN