Atlet Sukma N.Sembilan dijangkiti virus beguk sembuh sepenuhnya



SEREMBAN, 8 Okt (Bernama) – Sembilan atlet boling padang wanita Negeri Sembilan serta dua pegawai yang dijangkiti virus beguk semasa menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak baru-baru ini, sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata hasil pemantauan dilakukan pihaknya juga mendapati tiada sebarang jangkitan baharu penyakit itu dikesan di negeri ini.

“Mengikut rekod, 75 kes penyakit beguk dicatat di Negeri Sembilan sepanjang tahun ini sehingga 8 Okt berbanding 31 kes dalam tempoh sama tahun lepas. Tindakan susulan seterusnya adalah pencegahan dan kawalan bagi memberi pendidikan kesihatan kepada semua kes dan kontak.

“Kita menasihatkan kontak untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran, menjalankan disinfeksi ke atas premis terlibat dan mengedarkan risalah berkaitan penyakit beguk kepada semua premis yang berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan pembersih tangan kepada 13 sekolah di negeri ini, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Veerapan berkata bilangan kes demam denggi yang direkodkan di negeri ini setakat Sabtu lepas, adalah 1,182 kes berbanding 2,774 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 57.4 peratus, dan dalam tempoh tersebut terdapat tiga kes kematian akibat denggi dilaporkan berbanding 11 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

Sementara itu bagi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), beliau berkata jumlah kes menunjukkan penurunan 91.7 peratus atau hanya satu kes dicatat pada minggu ke-41 berbanding 12 kes minggu lepas.

“Setakat Sabtu lepas, 2,666 kes HFMD dilaporkan di negeri ini berbanding 733 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Tiada taska, tadika atau prasekolah masih ditutup di Negeri Sembilan dan 12 sesi town hall diadakan kepada guru prasekolah, guru tadika, pengusaha dan guru taska serta guru sekolah kerajaan dan swasta dalam menangani penyakit itu," katanya.

Sementara itu, Veerapan berkata penyerahan satu kotak pembersih tangan kepada 13 sekolah ditaja syarikat Freightwatch G Patomotoh Security Services Sdn Bhd itu antara kempen dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam usaha mengurangkan serta mengawal penularan HFMD di seluruh negeri ini.

“Dua sekolah dipilih terutama di kawasan pedalaman di setiap daerah seperti Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Port Dickson dan tiga sekolah di Jelebu. Ini salah satu inisiatif kerajaan negeri serta JKNNS untuk memastikan penularan HFMD dapat dikurangkan di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2