42 kes baharu keracunan makanan akibat laksa di Baling

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

ALOR SETAR, 9 Okt (Bernama) -- Sebanyak 42 kes baharu keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang, Baling telah direkodkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata dengan pertambahan itu menjadikan keseluruhan kes adalah sebanyak 61 dan kekal dua kematian seperti direkodkan.

"Pertambahan itu adalah 14 kes di Kedah, Perak (tujuh) dan Selangor sebanyak 21 kes yang dilaporkan mengalami gejala yang sama. Hasil siasatan mendapati pesakit yang bergejala mempunyai sejarah telah memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang Baling Kedah iaitu di premis yang sama seperti dilaporkan oleh kes-kes KRM sebelum ini," katanya.

Beliau berkata dengan laporan kes baharu itu membabitkan keseluruhan 24 kes adalah di Kedah iaitu 16 kes dari daerah Baling, lima kes dari daerah Sik dan tiga dari daerah Kulim manakala 21 kes pula di daerah Hulu Langat Selangor dan 16 kes dari Hulu Perak Gerik.

Katanya sebanyak 21 pesakit dirawat sebagai pesakit dalam iaitu masing-masing lima di Hospital Gerik dan Hospital Pantai Sungai Petani, empat di Hospital Baling, masing-masing tiga di Hospital Sik dan di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan satu di Hospital Columbia Asia manakala selebihnya 38 pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan kesemua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dr Noor Hisham berkata Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis yang menjual laksa tersebut dan siasatan juga mendapati ramuan laksa yang dijual tidak ada kaitan dengan Iceberg Lettuce yang telah tular di media sosial.

Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang telah dihantar ke makmal untuk dianalisa.

"Sampel najis daripada dua kes keracunan makanan di Baling adalah positif Salmonella spp dan kajian lanjut penemuan ini sedang dijalankan," katanya.

Sehubungan itu kementerian menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan dengan tatacara keselamatan makanan perlu dititikberatkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam.

Katanya makanan mesti dimakan tidak lebih daripada empat jam selepas penyediaannya dan sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

"Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi serta agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas,” katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2