Prevalen kemurungan remaja 13-17 tahun 18.3 peratus - Menteri Kesihatan

 KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2017 mendapati prevalen kemurungan bagi golongan berumur 13 hingga 17 tahun adalah 18.3 peratus, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya kajian sama mendapati peningkatan prevalen idea bunuh diri dalam kalangan kumpulan itu adalah 10.0 peratus pada tahun lepas berbanding 7.9 peratus pada 2012.

"Permasalahan kesihatan mental perlu ditangani secara bersepadu. Justeru, KKM berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pelaksanaan Program Minda Sihat Sekolah serta Program Doktor Muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KKM akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan aktiviti kesihatan mental.

Dr Dzulkefly berkata sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini yang bertema 'Generasi Muda Dan Kesihatan Minda Dalam Arus Perubahan Zaman' memfokuskan kepada usaha mempromosikan kesihatan mental dalam kalangan golongan muda.

Katanya golongan muda tidak terkecuali menghadapi pelbagai cabaran masa kini seperti penggunaan teknologi (ketagihan media sosial dan pembuli siber), stres kehidupan, tempat tinggal tidak kondusif untuk kesihatan mental, penyalahgunaan substans dan masalah sosial serta tingkah laku.

Melalui Dasar Kesihatan Mental Kebangsaan, Dr Dzulkefly berkata KKM melaksanakan pelbagai promosi, pencegahan, rawatan dan rehabilitasi melalui perkhidmatan yang disediakan di hospital dan klinik kesihatan.

"Usaha promosi akan terus dijalankan melalui Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di peringkat komuniti dan KOSPEN Plus di tempat kerja yang memasukkan skop kesihatan mental," katanya.

Perkhidmatan saringan dan intervensi kesihatan mental disediakan di 948 klinik kesihatan manakala bagi rawatan psikiatri dan rehabilitasi, perkhidmatan diberikan melalui 48 hospital KKM dan 22 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) seluruh negara.

Dr Dzulkefly berkata keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan membantu memberikan bimbingan, sokongan psikologi, bantuan kewangan dan membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka yang memerlukan rawatan mental yang baik.

Katanya KKM akan terus memperluas kerjasama promosi kesihatan mental dengan NGO dan ketua komuniti setempat, selain mengalukan-alukan mana–mana agensi yang berhasrat untuk berganding bahu dalam usaha advokasi kesihatan mental.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018