Henti pinggir individu alami masalah kesihatan mental - TPM



PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu menghentikan sikap meminggirkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental sebaliknya hendaklah membantu mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, dilaporkan kira-kira 40 peratus daripada warga Malaysia akan menghadapi masalah kesihatan mental dalam tempoh hayat mereka dan tinjauan pada 2017 oleh Kementerian Kesihatan mendapati 18,336 orang menderita tekanan perasaan di pelbagai peringkat berdasarkan imbasan kesihatan ke atas 273,203 individu.

"Pada saya ini bukan pengukur yang baik bagi negara kita,"  katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata beliau difahamkan pelbagai masalah kesihatan mental, mengikut kajian dan laporan terkini, berlaku dalam kalangan remaja dan belia di sekolah-sekolah seperti ketagihan internet, penggunaan dadah, buli, penggunaan alkohol dan merokok, perlakuan seksual dan ponteng sekolah.

Beliau berkata melihat kajian saintifik sedemikian, ia harus dijadikan tanda amaran berkaitan tahap kesihatan mental dalam kalangan remaja dan belia dan menegaskan: "Kita tidak ingin melihat golongan remaja dan belia kita tersasar dan mengalami pelbagai masalah kesihatan mental dan psikologi menjelang dewasa dan masa tua".

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, beliau berkata kerajaan perlu merancang, bukan sahaja dari segi perkhidmatan dan penjagaan yang diperlukan, malah lebih daripada itu seperti langkah pencegahan, intervensi awal dan pembinaan jati diri dan pewujudan “masa depan sihat”. 

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan Dasar Kesihatan Mental disemak semula merangkumi segenap aspek terutama dalam mewujudkan dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan awal.

"Memandangkan kesihatan mental adalah satu aspek yang penting dalam kehidupan harian kita, pendidikan kesihatan mental perlu di beri pendedahan seawal mungkin. Pendidikan agama dan nilai perlu diterapkan bagi mencapai  “ A Healthy Future” di dalam pentakrifan Malaysia sendiri,” katanya.

Beliau juga mahu pelbagai kajian dan penyelidikan dalam bidang kesihatan mental yang dilakukan setiap universiti dapat dikongsi dan dilaksana untuk kebaikan masyarakat.

Dr Wan Azizah turut menyambut baik cadangan penubuhan sebuah Institut Kesihatan Mental, yang bermatlamat mengubah pemahaman dan rawatan penyakit mental melalui penyelidikan yang asas dan klinikal.

Beliau berkata gejala bunuh diri dalam kalangan  masyarakat Malaysia yang semakin menjadi-jadi tidak lagi boleh dipandang remeh.

Menurut Dr Wan Azizah, di sebalik kajian Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan 2009 yang menunjukkan kadar bunuh diri masih lagi rendah iaitu 1.18 peratus bagi setiap 100,000 penduduk, namun ramai pakar berpendapat jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.

"Anggarannya hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari,” katanya.

Majlis Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 bertemakan “Golongan Muda dan Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia” itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Yayasan Kesihatan Mental Malaysia Tan Sri Hashim Meon.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2