Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin
KOTA BHARU, 13 Okt (Bernama) -- Tiada sebarang aduan dan kes berhubung keracunan laksa di Kelantan setakat ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.
Zaini berkata bagaimanapun pemeriksaan dan penguatkuasaan terus diperkasakan bagi memastikan premis perniagaan menyediakan makanan yang bersih kepada masyarakat.
"Kes keracunan makanan seperti yang berlaku di Kedah itu adalah kes yang jarang berlaku. Kita belum mendapat kepastian lagi berhubung kes tersebut justeru kita tidak dapat mengesahkan sama ada benar ia disebabkan laksa atau ramuan lain yang terkandung dalam makanan itu. Apa-apa pun kita tunggu keputusan makmal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Farmasi Kebangsaan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, hari ini.
Karnival yang dianjurkan oleh Persatuan Farmasi Malaysia Cawangan Kelantan itu melibatkan kerjasama Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Hospital USM.
Zaini berkata karnival yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 645 atlet dalam kalangan anggota farmasi swasta dan kerajaan di seluruh negara.
"Seramai 95 anggota Farmasi Kelantan menyertai karnival ini dalam keseluruhan enam acara yang dipertandingkan iaitu acara futsal, bola tampar, badminton, bola jaring, ping pong dan boling. Kita harap kontinjen Kelantan mampu menyapu bersih kesemua acara yang dipertandingkan," katanya.
Beliau berkata antara objektif utama penganjuran karnival itu adalah bagi mempromosikan gaya hidup sihat, merapatkan hubungan dan memupuk kerjasama berpasukan antara anggota farmasi seluruh negara.
Katanya aktiviti sukan itu akan dijadikan acara dwi-tahunan bermula tahun ini dalam usaha merealisasikan objektif program secara berkesan dan memberi impak positif kepada semua anggota farmasi dalam membudayakan amalan hidup sihat.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN