Awasi wabak penyakit di lokasi bencana - Wan Azizah



SEPANG, 14 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan anggota misi bantuan ke Sulawesi Tengah, Indonesia agar mementingkan aspek kesihatan sepanjang berada di kawasan yang dilanda bencana.

Timbalan Perdana Menteri berkata berada di kawasan bencana sentiasa terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti wabak malaria yang biasanya merebak selepas sesuatu bencana berlaku.

“Selain memberi bantuan kepada mereka yang dilanda musibah, anggota sukarelawan juga perlu menjaga diri sendiri terutamanya dalam aspek kesihatan.

“Sebab itu, saya ingatkan agar berjaga-jagalah dengan gejala malaria yang biasanya merebak selepas bencana alam terjadi,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Sulawesi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Misi bantuan melibatkan 41 sukarelawan itu digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery.

Dr Wan Azizah berkata bergelar sukarelawan ke kawasan yang teruk dilanda bencana bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak semua orang mampu melakukannya kecuali mereka yang benar-benar komited.

Timbalan Perdana Menteri berkata tugasan itu memerlukan komitmen, ketabahan dan daya juang yang tinggi kerana cabaran yang menanti amatlah sukar.

Atas sebab itu, katanya kerajaan amat berterima kasih dan menghargai peranan pertubuhan tertentu menggerakkan misi bantuan termasuk MAPIM yang lebih awal melakukannya sejurus bencana terjadi 28 Sept lepas.

Selain kerajaan, usaha kemanusiaan ini turut mendapat penghargaan daripada Presiden Indonesia Joko Widodo serta seluruh rakyat negara itu, katanya.

Kejadian gempa bumi dan tsunami besar yang melanda Pulau Sulawesi telah mengorbankan lebih 2,000 penduduk dengan mereka yang hilang dianggarkan lebih 152,000 orang.

Dalam pada itu, Ahmad Sani berkata misi kali kedua yang turut disertai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia itu menyasarkan untuk mengedar 3,000 pek makanan kepada 3,000 keluarga.

Beliau berkata misi yang akan berada di Sulawesi sehingga 25 Okt itu turut membawa barangan pembersihan diri, kelengkapan solat, susu serta lampin bayi.

Katanya misi itu turut membawa bersama beberapa doktor, ustaz serta selebriti tempatan bertujuan membangkitkan semangat, motivasi kepada penduduk yang trauma akibat bencana tersebut.

"Mengenai sumbangan kewangan, MAPIM setakat ini berjaya mengumpul RM500,000 daripada RM1.2 juta yang disasarkan," katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018