IJN laksanakan pelan 7 tahun jadi hospital tanpa kertas



Daripada Nurul Hanis Izmir

LONDON, 16 Okt (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) memperuntukkan sejumlah RM45 juta bagi melaksanakan pelan tujuh tahun yang membolehkannya beroperasi sebagai hospital tanpa kertas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub.

Beliau berkata, usaha memanfaatkan penggunaan teknologi yang diperkenalkan dalam pelan itu pada 2015, juga bertujuan menyediakan perkhidmatan serba canggih kepada para pesakitnya.

Menurutnya, pelan itu yang kini masuk tahun ketiga pelaksanaannya, menyaksikan hospital swasta milik kerajaan itu mengguna pakai beberapa modul bagi sistem teknologi pengimejan, sistem hospital serta sistem kewangan.

“Bagi tahun depan dan seterusnya, kami akan menggunakan rekod perubatan elektronik (EMR) yang mana sistem ini akan melibatkan integrasi pelbagai modul sedia ada masa kini dan pada akhirnya menjadi sebuah hospital tanpa kertas.

“Ini seiring dengan keinginan masa depan hospital ini bagi menyepadukan semua sistem sedia ada untuk mencatat kemajuan dari segi keselamatan pesakit selain kecekapan dan kawalan kos,” katanya.

Dr Mohd Azhari yang dipilih sebagai Alumni Cemerlang Program Kepimpinan dan Pengurusan Lanjut Oxford, kini berada di London bagi menerima anugerah itu pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada wakil media yang menyertai delegasi itu.

Menurutnya, IJN yang dibuka pada 1992, bermatlamat memperkasakan pesakitnya dari segi keupayaan termasuk membuat temu janji menerusi telefon mudah alih masing-masing selain mendapatkan keputusan perubatan dari hospital tersebut.

Dr Mohd Azhari turut mengunjungi Hospital Royal Papworth di Cambridge, sebuah institut kardiovaskular seperti IJN, dalam usaha menyelami pengalaman hospital itu dalam pelaksanaan sistem EMR berkenaan.

Delegasi IJN itu akan turut mengunjungi dua hospital lain di London dan Oxford bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai EMR serta meninjau peluang kerjasama dari segi penyelidikan dan penjagaan klinikal.

“Selepas pelaksanaan EMR iaitu ‘integrator’ (teras) modul sedia ada, kita perlu menumpukan pula modul lain seperti pemberian ubat secara automatik selain aspek penjadualan yang merupakan sebahagian daripada pelan maklumat utama,” katanya.

Merujuk aspek penjadualan itu, Dr Mohd Azhari berkata ini akan memudahkan pesakit untuk memilih tarikh serta masa temu janji yang diingini.

Ditanya mengenai usaha pengurangan kos integrasi dalam sistem teknologi itu, beliau berkata IJN tidak menetapkan sebarang sasaran dan lebih kepada memenuhi jangkaan pelanggan.

Malah, bersandarkan kecekapan dan pengalaman pesakit yang lebih baik, beliau yakin IJN berupaya merawat lebih ramai pesakit persendirian.

“Pada masa ini, majoriti pesakit IJN adalah dari Indonesia dan semakin ramai dari Myanmar dan Vietnam.

"Bagi kemajuan masa depan, kami berharap untuk merawat lebih ramai pesakit dari Timur Tengah dan Bangladesh,” katanya.

Menurutnya, IJN turut menjangkakan bilangan pesakit persendirian yang berhasrat mendapat rawatan di IJN akan meningkat kepada 50 peratus dalam tempoh liha tahun akan datang, berbanding 30 peratus ketika ini.

Setakat ini, IJN dibarisi oleh kira-kira 70 pakar  (tempatan) yang berkhidmat dalam bidang canggih seperti elektrofisiologi yang berkaitan ritma jantung, kegagalan jantung, campur tangan (perubatan) kompleks dan sebagainya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018