Hati Berlemak: Epidemik Senyap

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Chan Wah Kheong dan Pakar Endokrinologi UMSC, Dr Jeyakantha Ratnasingam. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Salbiah Said

Bahagian pertama daripada dua bahagian mengenai hati berlemak

PETALING JAYA (Bernama) --  Sejak tiga dekad lalu, Malaysia muncul sebagai negara paling gemuk di Asia dengan hampir separuh rakyat dewasanya mengalami lebihan berat badan atau obes.

Banyak penyakit dikaitkan dengan obesiti termasuk penyakit hati berlemak dan paling membimbangkan ia adalah “penyakit senyap”. 

Mungkin ramai yang mula menyoal, apakah itu penyakit hati berlemak?

Menurut pakar gastroenterologi dan hepatologi Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Chan Wah Kheong, penyakit hati berlemak berpunca daripada pengumpulan lemak di dalam hati, akibat terlebih nutrisi.


Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Chan Wah Kheong menunjukkan 'fibroscan', peranti perubatan untuk menilai pesakit yang menghidap hati berlemak. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Keperluan tenaga harian kita akan meningkat daripada kita kecil sehingga usia remaja. Selepas peringkat itu keperluan tenaga mula menurun apabila kita memasuki peringkat usia pertengahan dan yang lebih tua, tambahan jika kita tidak mengamalkan gaya hidup aktif.

“Bagaimanapun, ramai yang terus mengambil makanan dalam kuantiti yang sama semasa muda, atau lebih banyak lagi. Ini akan menyumbang kepada obesiti dan melebarkan ukuran pinggang. Pengumpulan lemak di dalam hati akan menyebabkan penyakit hati berlemak, juga penyakit lain, umpamanya, diabetes melitus, hipertensi dan ‘dyslipidemia’ (profil lipid yang tidak normal)," beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara di UMSC baru-baru ini.

Turut ditemu bual pakar endokrinologi UMSC, Dr Jeyakantha Ratnasingam yang menyatakan punca utama pengumpulan lemak yang tidak normal ialah tentangan insulin

“Pada asasnya, tubuh tidak boleh menggunakan insulin seperti sepatutnya apabila seseorang itu mempunyai lebihan berat badan atau obes. Keadaan itu membuatkan lemak berkumpul di dalam hati. Mereka yang sering mendapat penyakit hati berlemak ini ialah yang obes atau mempunyai lebihan berat badan,” jelas Dr Jeyakantha.

GEJALA HATI BERLEMAK DAN BAHAYANYA

Ketika ditanya sama ada terdapat gejala tertentu untuk mengesan penyakit hati berlemak, Dr Chan berkata, pada asasnya tidak ada, cuma apabila sudah sampai ke peringkat akhir, pesakit mungkin mengalami komplikasi sirosis, di mana terdapat banyak parut di hati yang tidak boleh dirawat lagi.

Menurut beliau, komplikasi sirosis termasuk pendarahan dari pembuluh darah yang bengkak di kerongkong, pengumpulan cecair di perut menyebabkan bengkak, mata dan kulit menjadi kuning serta gejala lain kegagalan hati. Apabila semuanya ini berlaku, kehidupan pesakit akan terjejas dan jangka hayatnya juga boleh menjadi pendek walaupun ada rawatan.

"Hari ini kita dapati ramai pesakit yang datang ke hospital apabila penyakit hati berlemak sudah sampai ke peringkat akhir. Semakin ramai juga rakyat negara ini mendapat penyakit ini, “ tambahnya.

"Kita perlu ada lebih banyak kempen kesedaran untuk orang awam. Memandangkan penyakit hati berlemak ini penyakit senyap, pergilah buat pemeriksaan untuk tahu sama ada penyakit itu ada atau tidak. Sebagai contoh jika seseorang itu mempunyai lebihan berat badan atau obes atau mempunyai diabetes melitus, “ kata Dr Jeyakantha.

PERINGKAT EPIDEMIK

Dr Chan turut membuat kenyataan bahawa penyakit hati berlemak kini sampai kepada peringkat epidemik! Jelas beliau, satu perempat daripada penduduk dewasa di Malaysia menderita penyakit ini.

Beliau merujuk kepada satu kajian terkini yang mendapati hampir 25 peratus daripada orang dewasa yang nampak sihat dan menjalani pemeriksaan kesihatan, disahkan menghidap penyakit hati berlemak.

Tambah beliau, tidak ramai yang sedar akan kewujudan hati berlemak ini di sebalik bilangan besar rakyat negara ini yang menghidapnya.

"Penyakit hati berlemak berlaku dengan peningkatan usia. Apabila seseorang itu meningkat tua, kemungkinan besar dia akan mempunyai hati berlemak. Dalam usia remaja sehingga pertengahan umur, penyakit ini mudah menyerang orang lelaki. Untuk wanita pula, apabila mereka mencapai usia menopaus (putus haid), masalah hati berlemak mula menyerang seperti yang berlaku kepada orang lelaki, “ katanya.

“Sebelum menopaus, hormon estrogen di dalam tubuh wanita melindunginya daripada hati berlemak. Tetapi sebaik sahaja mengalami menopaus, kesan perlindungan itu lenyap, dengan risiko mendapat hati berlemak semakin meningkat seperti yang berlaku di kalangan orang lelaki. Risiko penyakit kardiovaskular juga meningkat, “ tambah Dr Jeyakantha.

Menurut Dr Chan, risiko hati berlemak ini lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes melitus. Beliau menambah sehingga sebanyak 70 peratus mereka yang dirawat untuk diabetes melitus mempunyai hati berlemak dan keadaan itu adalah lebih teruk.

HATI BERLEMAK SEBAHAGIAN SINDROM METABOLIK

Sindrom metabolik mengandungi kombinasi faktor risiko untuk penyakit kardiovaskular dan mempunyai kaitan rapat dengan obesiti. Faktor risiko ini termasuk obesiti berpusat (definisi ukuran lilit pinggang di atas 90 sentimeter untuk lelaki dan di atas 80 sentimeter untuk wanita), tekanan darah tinggi, ‘dyslipidemia’ (termasuk ‘triglyceride’ yang tinggi dan Kolesterol LDL dalam darah).  Hati berlemak adalah sebahagian daripada sindrom metabolik ini.

"Ramai orang menghidap sindrom metabolik ini tanpa menyedarinya. Mereka tidak menunjukkan sebarang gejala. Ia adalah epidemik senyap, “ kata Dr Jeyakantha.

Beliau menambah berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, sebanyak 17.5 peratus penduduk dewasa Malaysia menghidap diabetes melitus.

“Lima puluh peratus daripada mereka yang didapati menghidap diabetes melitus dalam dalam kajian itu sebenarnya tidak tahu mereka mempunyai penyakit berkenaan sehinggalah kajian ini dijalankan, “ katanya sambil menekankan bahawa kebanyakan kes sindrom metabolik adalah senyap, sehingga ia mencetuskan komplikasi.

SUKU SUKU SEPARUH

Untuk mengelakkan hati berlemak, Dr Jeyakantha mencadangkan amalan “Suku Suku Separuh” dalam tabiat pemakanan kita yang turut dianjurkan Kementerian Kesihatan. Ianya bermaksud satu perempat karbohidrat, satu perempat protin dan separuh sayur serta buah bagi pinggan yang bersaiz biasa.

“Untuk karbohidrat, beras perang atau roti whole meal adalah lebih baik daripada beras atau roti putih. Protin, telur atau ikan adalah lebih sihat daripada daging. Makan daging tanpa lemak. Makanan yang dikukus atau berasaskan sup adalah lebih sihat daripada makanan yang digoreng. Sebaik sahaja pesakit mempunyai diabetes melitus, dia tidak boleh langsung mengambil minuman yang manis. Dengan tidak mengambil minuman manis dan minum air biasa, dia boleh mengurangkan kalori yang sudah tentu dapat membantu keadaan penyakitnya, “ tambah Dr Chan.

"Pesakit juga tidak boleh mengambil makanan yang mengandungi fruktosa daripada manisan atau  minuman berkabonat. Kurangkan kalori, karbohidrat dan lemak tepu, “ Dr Jeyakantha pula mencelah.

Modifikasi gaya hidup amat penting untuk mereka yang mempunyai hati berlemak. Di samping diet, kegiatan fizikal juga amat penting. Senaman yang disyorkan ialah sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 30 minit untuk lima hari dalam seminggu. Mengenai pengurangan berat badan untuk mereka yang mempunyai lebihan berat badan atau obes, pengurangan 10 peratus dalam tempoh enam hingga 12 bulan adalah bagus dan boleh mengurangkan kesan hati berlemak, “ katanya.

Mengenai semakin ramai kanak-kanak obes di Malaysia, Dr Chan berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka mengenai amalan pemakanan sihat serta menggalakkan kegiatan fizikal.

“Sekiranya tidak kanak-kanak ini akan membesar sebagai orang dewasa obes dengan pelbagai masalah kesihatan, “ tambahnya.

Dr Jekantha pula berkata, “Kita perlu meningkatkan kempen amalan pemakanan sihat serta kegiatan fizikal di sekolah. Kementerian Pendidikan sudah menggalakkan perkara ini tetapi mungkin ia perlu diperbanyakkan lagi. Sudah tentunya yang paling baik gaya hidup sihat. Hati berlemak adalah kesan obesiti.”

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

--BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2