ISKANDAR PUTERI, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini melancarkan sistem i-Psikologi bagi menggantikan sistem manual yang digunakan ke atas penjawat awam di negeri sebelum ini.
Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata ujian berkenaan merupakan ujian psikologi secara bertulis dalam talian bagi kakitangan kerajaan di negeri ini.
Dalam meningkatkan kesihatan mental di kalangan penjawat awam dan masyarakat, beliau berkata adalah penting untuk memahami bahawa tekanan psikologi yang dialami di tempat kerja, persekitaran tempat tinggal dan keluarga adalah berkait rapat dengan faktor kekuatan dan kelemahan diri dan serta latar belakang keluarga individu tersebut.
Selain itu, adalah penting juga untuk melihat bagaimana cara individu tersebut mengadaptasi dirinya dengan situasi, kata Osman.
"Ujian psikologi ini merupakan kompilasi pelbagai ujian penaksiran psikologi dan kaunseling bagi memudahkan kita menilai tahap psikologi tanpa bertemu kaunselor. Antara ujian yang disertakan termasuklah ujian stress dan ujian kemurungan," kata beliau ketika berucap melancarkan Seminar i-MOVE Kerajaan Johor 2018 di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Menteri Besar juga berkata kajian impak dan keperluan penambahan bilangan kaunselor dan pegawai kaunseling akan turut dipertimbangkan dalam usaha menambahbaik penyampaian perkhidmatan psikologi dan kaunseling di negeri ini.
“Klinik kaunseling dan promosi perkhidmatan kaunseling dan psikologi juga boleh dilaksanakan bagi memenuhi permintaan dan keperluan perkhidmatan ini yang semakin hari semakin diperlukan oleh penjawat awam dan masyarakat.
“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan pemikir yang berjaya merealisasikan Sistem i-Psikologi Kerajaan Johor dan memenangi Anugerah Emas dalam Seminar Antarabangsa Inovasi Psikologi dan Kaunseling yang telah diadakan di Brunei baru-baru ini, “ katanya lagi.
Sementara itu, Seminar i-MOVE 4 adalah bertujuan mendidik penjawat awam untuk lebih menghayati keperluan penjagaan diri dari aspek mental di samping mewujudkan penjawat awam yang lebih berketerampilan dan mesra pelanggan.
Seminar i-MOVE 4 bagi tahun 2018 pada kali ini akan memberikan penekanan terhadap aspek pembangunan sikap serta personaliti ke arah membentuk keperibadian dan jati diri yang unggul.
Turut diadakan di majlis itu adalah majlis ikrar bebas rasuah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh Johor.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN