Hati Berlemak: Apakah Pengubatan Penyebabnya?

Pakar gastroenterologi dan hepatologi Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Chan Wah Kheong dan pakar endokrinologi UMSC, Dr Jeyakantha Ratnasingam. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Salbiah Said

Ini bahagian akhir artikel mengenai hati berlemak

 

PETALING JAYA (Bernama) -- Pada masa ini belum ada rawatan pengubatan untuk hati berlemak. Rawatan paling berkesan untuk penyakit ini adalah kombinasi diet yang sihat, senaman dan kawalan berat badan.

Perkara ini ditegaskan oleh pakar gastroenterologi dan hepatologi Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Chan Wah Kheong dan pakar endokrinologi UMSC, Dr Jeyakantha Ratnasingam. 

Dr Chan turut menyatakan bahawa sesetengah rawatan pengubatan seperti steroid yang digunakan untuk merawat keadaan perubatan tertentu boleh menyumbang kepada hati berlemak.

“Doktor akan menimbangkan risiko serta faedah membuat preskripsi pengubatan kepada pesakit. Sekiranya pesakit memerlukan steroid untuk rawatan bagi keadaan perubatan tertentu, penting untuk pesakit itu terus mengambil steroid.

“Biasanya doktor akan memastikan pesakit diberi dos paling rendah untuk mengawal penyakit. Atau, beliau mungkin menukar steroid kepada pengubatan lain yang mempunyai kesan yang sama tetapi tidak mempunyai kesan sampingan seperti steroid, “ beliau memberitahu Bernama dalam temu bual di UMSC di sini baru-baru ini.

Beliau berkata adalah penting untuk pesakit didiagnos dan dirawat oleh doktor yang diperakui yang dapat menimbang manfaat pengubatan berbanding risiko.

 

PERUBATAN DIABETES BUKAN PUNCA HATI BERLEMAK

Dr Jeyakantha pula menjelaskan pengubatan untuk merawat diabetes melitus tidak akan menyebabkan hati berlemak.

"Jika seseorang itu obes atau mempunyai lebihan berat badan, risiko untuk mendapat hati berlemak lebih tinggi. Jadi penyakit itu yang menyumbang kepada hati berlemak bukan pengubatan yang digunakan untuk merawat penyakit itu.

“Pengubatan yang doktor berikan untuk merawat diabetes boleh menurunkan paras gula dan mungkin membantu pesakit mengurangkan berat badan, terutamanya pengubatan baru untuk diabetes. Itu akan mengurangkan keadaan hati berlemak, bukan memburukkannya, “ katanya.

Dr Chan juga menegaskan tabiat pemakanan melampau adalah punca utama hati berlemak, bukan preskripsi pengubatan.

“Pada masa lalu, hati berlemak sering dikaitkan dengan pengambilan alkohol, tetapi dapatan klinikal pada 1980an menukar tanggapan itu. Mereka yang tidak mengambil alkohol juga didapati mempunyai hati berlemak. 

"Apa yang sama dengan pesakit ini ialah mereka obes dan mempunyai diabetes melitus, hipertensi dan kolesterol tinggi. Dari situ timbul penyakit hati berlemak bukan-alkoholik (NAFLD) , “ tambahnya.

NAFLD adalah salah satu jenis hati berlemak yang berlaku apabila lemak terkumpul di dalam hati (steatosis) akibat punca selain daripada mengambil alkohol. Steatohepatitis bukan alkoholik (NASH) adalah subjenis NAFLD yang paling ekstrim.

Menurut Dr Jeyakantha, minuman berkabonat sama bahayanya kepada hati, seperti alkohol. Diet yang tinggi gula dan fruktosa sebenarnya memburukkan keadaan hati berlemak, sama seperti alkohol.

Menghisap rokok, sebaliknya, bukan secara langsung menyebabkan hati berlemak tetapi mempunyai kesan besar kepada kesihatan kardiovaskular seseorang yang berisiko untuk mendapat strok dan serangan jantung, tambahnya.

 

KOMPLIKASI ‘SIROSIS’

Bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat komplikasi sirosis akibat hati berlemak semakin meningkat, kata Dr Chan, sambil menambah pesakit biasanya sebelum itu tidak tahu mereka menghidap penyakit hati. Sirosis adalah keadaan di mana hati mempunyai kesan parut yang teruk.

"Pada masa lalu, kami sering diagnos punca lain penyakit hati kronik bagi pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana komplikasi sirosis, seperti jangkitan virus hepatitis B, jangkitan virus hepatitis C atau mungkin peminum alkohol tegar.

"Ini adalah punca lazim penyakit hati kronik. Bagaimanapun, semakin ramai pesakit dimasukkan ke hospital akibat komplikasi sirosis pada hari ini tidak mempunyai keadaan ini. Sebaliknya mereka obes dan mempunyai diabetes melitus, hipertensi dan ‘dyslipidemia’. Memang mereka mempunyai hati berlemak yang menyebabkan sirosis dan komplikasinya, “ jelasnya.

Dr Chan berkata hati berlemak mudah didiagnos menerusi pemeriksaan ultrabunyi. Sebaik sahaja hati berlemak dikesan, doktor akan membuat penilaian bagaimana teruknya keadaan hati berlemak itu.

"Bagi menganggarkan keadaan parut di hati, ujian fibroscan boleh dibuat. Pesakit memerlukan pengurusan yang lebih agresif sekiranya ada sirosis di hati bagi mengelakkan komplikasi sirosis, “ katanya.

 

KANSER HATI

Pesakit yang mempunyai sirosis berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati dan perlu selalu menjalani pemeriksaan ultrabunyi untuk pengesanan awal kanser hati.

"Apabila didiagnos awal, kanser hati berpotensi untuk dirawat, “ kata Dr Chan. “ Bagaimanapun, jika tiada pengawasan pesakit yang mempunyai sirosis (dengan kerap melakukan pemeriksaan ultrabunyi), mereka sering menghidap kanser hati peringkat akhir dan sukar dirawat.”

Menurut Dr Jeyakantha, sebaik sahaja pesakit didiagnos mempunyai hati berlemak, penting untuk pesakit itu diperiksa sekiranya mempunyai komponen metabolik yang lain seperti diabetes melitus, hipertensi dan ‘dyslipidemia’.

"Untuk menjadi lebih holistik, selain daripada penyiasatan dan pengurusan hati, langkah mencegah penyakit kardiovaskular juga amat penting kerana mereka ini berisiko mendapat serangan jantung dan strok, “ katanya.

Dr Chan pula menambah perubahan gaya hidup selepas didiagnos dengan hati berlemak “boleh membantu memulihkan penyakit.”

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018