Perbelanjaan industri penjagaan kesihatan Malaysia cecah RM80 bln pada 2020.



KUALA LUMPUR,  23 Okt  (Bernama) -- Perbelanjaan industri penjagaan kesihatan Malaysia dijangka mencecah RM80 bilion menjelang  2020, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr  Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata perbelanjaan industri yang mencatatkan RM52 bilion pada 2017, meningkat didorong oleh permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kemunculan model-model penjagaan baharu melangkaui tetapan hospital tradisional.

“Contohnya, sensor tanpa wayar digunakan untuk merekod dan menghantar vital pesakit dengan lebih kerap berbanding lawatan katil yang boleh dilakukan oleh staf.

“Isyarat-isyarat ini boleh memberikan amaran masa sebenar, justeru penyedia penjagaan dapat memberikan respons lebih pantas sekiranya berlaku perubahan tidak dijangka,” katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat tahunan pihak pengharmonian kerja Asia ke-23 dan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2018, di sini hari ini.

MYMEDEX 2018 selama tiga hari sehingga Khamis  menampilkan 100 gerai yang mengetengahkan teknologi inovasi terkini serta peranti perubatan global termaju.    

Dr Dzulkefly berkata perkembangan ini memberikan cabaran dan juga peluang kepada industri kesihatan.

Justeru katanya kerajaan perlu mempunyai strategi yang dapat memastikan ketersediaan pembiayaan serta tenaga manusia yang mampan.

“Keadaan iklim ekonomi dan kewangan semasa memberikan cabaran-cabaran yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan dan mujurlah ada sokongan berterusan daripada kerajaan bagi menampung keperluan  industri,” katanya.  

Dr Dzulkefly berkata industri peranti perubatan muncul sebagai industri yang bertumbuh pantas dan Malaysia dikenali sebagai pengeluar peneraju dunia dalam produk berasaskan getah seperti sarung tangan perubatan, kondom dan kateter.

Malaysia menampung 80 peratus keperluan kateter dunia dan 60 peratus untuk sarung tangan getah.

Katanya syarikat Malaysia juga mengeluarkan peranti perubatan lain termasuk picagari, jarum, kit prosedur, instrumen pembedahan dan pergigian, serta produk daripada plastik, silikon dan pancalogam.

Dr Zulkefly berkata industri peranti perubatan telah mengalih tumpuan kepada spektrum produk lebih bernilai tinggi  serta mempelbagai kepada subsektor lebih menguntungkan yang pada akhirnya membawa pertumbuhan ekonomi dan peningkatan peluang pekerjaan.

“Industri ini merangkumi lebih 200 pengeluar melibatkan pelaburan sekitar RM14.2 bilion, menjadikan Malaysia hab pengeluaran peranti perubatan yang semakin meningkat naik,” katanya, menambah lebih 30 syarikat multinasional menjadikan Malaysia lokasi pengeluaran luar pesisir mereka.

Beliau berkata pada 2017, industri itu mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM2.2 bilion merentasi enam projek baharu bernilai RM69.4 juta serta 19 projek pengembangan/pempelbagaian bernilai RM2.1 bilion berbanding 2016 yang mencatatkan RM2.9 bilion pelaburan diluluskan merangkumi 41 projek diluluskan. 

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata sehingga kini Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah  mengeluarkan lebih 2,300 lesen iaitu 340 pengeluar; 1,500 wakil sah serta 600 pengedar dan pengimport peranti perubatan.

“Sejak penguatkuasaan Akta Peranti Perubatan pada 2013, hampir 580,000 peranti perubatan telah didaftarkan dengan MDA,” katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2