Produk biosimilar bantu kurangkan kos ubat - Dr Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat mikroskop ketika melawat ruang makmal pada Karnival Biosimilar di Kompleks Inno Biologi, Bandar Baru Nilai hari ini.

NILAI, 29 Okt  (Bernama) -- Pengenalan produk biosimilar adalah strategi baik yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara kerana ia menggalakkan persaingan dalam pasaran yang boleh membawa kepada pengurangan kos ubat kira-kira 30-40 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ini amat penting bagi  Malaysia, khususnya dianggarkan 73 peratus kematian di negara ini berpunca daripada penyakit tidak berjangkit termasuk kanser.

“Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011, sebanyak 103,407 kes baharu kanser didiagnosis di Malaysia bagi tempoh itu.

“Statistik daripada Fakta Kesihatan  2016, diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan, menunjukkan kanser adalah punca kematian yang ketiga terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu sebanyak 13.6 peratus daripada jumlah kematian.

“Keadaan ini amat membimbangkan, khususnya peratusan jumlah kematian akibat kanser pada 1996 di hospital-hospital kerajaan hanya 8.9 peratus,” katanya ketika berucap pada Karnival Biosimilar 2018, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Inno Bio Ventures Sdn Bhd Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Dr Wan Azizah berkata produk biosimilar yang hampir serupa dengan produk asal yang dikeluarkan oleh syarikat berbeza dan  biasanya versi yang telah diberi kelulusan daripada produk asal, yang dikeluarkan apabila paten produk asal tamat tempoh.

“Selain itu, kemajuan dalam bioteknologi juga dilihat sebagai satu cara menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan secara tidak langsung dapat melahirkan lebih banyak pekerja mahir di Malaysia,” katanya.

Katanya kerajaan sedar dan menyokong usaha dilakukan oleh organisasi seperti Inno Bio dalam menganjurkan kempen dan program kesedaran berkaitan penyakit yang mengancam nyawa seperti kanser, bersama-sama masyarakat setempat.

“Saya dimaklumkan Inno Bio kini menumpukan pada ubat-ubatan dan rawatan kanser, di samping  penyakit lain.

“Saya dengan penuh gembira ingin berkongsi kejayaan Inno Bio yang menerima pengiktirafan antarabangsa pada 2016 daripada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D8  menerusi ciptaan produk biosimilar dengan kerjasama Ayrogen Pharmed (dari Iran),”. D8 ialah pertubuhan bagi kerjasama pembangunan antara  Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Beliau berkata usaha sama antara Inno Bio dan Ayrogen Pharmed adalah contoh baik strategi pemindahan teknologi dan menunjukkan inisiatif biosimilar adalah relevan dan diterima di peringkat global.

“Kerjasama ini akan dapat memenuhi fungsi pasaran teknologi, penyebaran maklumat tentang keupayaan teknologi, pencapaian dan keperluan negara anggota D8. Ini juga membuktikan negara ini mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan sendiri produk biofarmaseutikal berimpak tinggi menerusi perkongsian strategik,” katanya.

Selepas merasmikan Karnival Biosimilar itu, Dr Wan Azizah turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Inno Bio, diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Zaid Abdul Jalil, manakala Pertubuhan D8 diwakili Setiausaha Agungnya Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Dr Wan Azizah berkata  MoU itu bertujuan memperkukuhkan libat urus antara Inno Bio dan D8 dalam usaha meningkatkan kerjasama antara negara Islam berkenaan dalam bidang pemindahan inovasi dan teknologi, peluang perniagaan dan sokongan.

“Menerusi platform ini, saya berharap untuk menyaksikan lebih banyak kerjasama dijalin antara pemain industri dalam bertukar-tukar kepakaran, teknologi dan peluang perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2