Pelajar pergigian di Australia berlatih beri suntikan bius secara realiti maya

SYDNEY, 30 Okt (Bernama) -- Para pelajar jurusan pergigian di Universiti Newcastle (UoN), Australia kini boleh berlatih memberikan suntikan bius dalam persekitaran maya sebelum melakukannya ke atas pesakit sebenar berikutan teknologi realiti maya (VR) yang dipelopori, lapor agensi berita China Xinhua.

Sistem itu adalah yang pertama di dunia dalam bidang pergigian dan telah dibangunkan di UoN oleh pensyarah kesihatan mulut, Denise Higgins.

Beliau menjelaskan pada Selasa bahawa sebelum ini, para pelajar pergigian akan berlatih memberikan suntikan itu sesama sendiri selepas mendengar kuliah, sebelum melakukannya ke atas pesakit.

"Selepas mendengar maklum balas pelajar selama ini, saya tahu mereka merasakan bahawa mereka kehilangan sesuatu antara teori dan amalan dengan hanya melakukannya ke atas rakan serta pesakit," katanya.

"Memberikan suntikan bius adalah satu proses yang amat rumit, dan ia bukanlah sesuatu yang ramai pelajar yakin untuk lakukan tanpa latihan ekstensif."

Selain berinovasi dengan VR, Higgins membangunkan patung yang tampak hidup bagi membolehkan pelajar berlatih, bereksperimen dengan bahan sehingga beliau menemui campuran yang tepat untuk meniru bentuk mulut manusia.

"Ia diperbuat daripada garam, air dan serat yang menjadikannya serupa dengan lapisan di dalam mulut," katanya.

"Saya membangunkan idea ini daripada bukti konsep kepada model doh mainan, mereka bentuk dokumen dan berkolaborasi dengan sebuah syarikat yang menjadikan ia satu realiti."

"Sepanjang pengetahuan kami, tiada yang serupa dengannya wujud dalam format sama seperti yang ada di sini - keseluruhan proses telah merevolusikan kaedah pengajaran kami dan ia telah membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan," katanya.

Pengurus pasukan inovasi UoN, Craig Williams, berkata program bius maya telah dibangunkan bagi meniru situasi dunia sebenar yang bakal ditempuhi pelajar di tempat kerja. 

"Simulasi adalah satu sumber pengajaran yang hebat kerana pelajar boleh mengambil bahagian dalam satu persekitaran yang terkawal, menepati piawaian dan selamat," kata Williams. 

"Kami berharap alat ini berguna pada skala global dan mungkin boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang bekerja dalam bidang ini."

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018