Mexter akan sediakan perkhidmatan pengurusan projek bagi hab kesihatan bernilai RM559 juta

KUALA LUMPUR, 30 Okt  (Bernama) – Mexter Technology Bhd merancang menyediakan perkhidmatan perundingan dan pengurusan projek bagi hab kesihatan bersepadu di Bentong, Pahang, dengan nilai pembangunan kasar RM558.53 juta.

Perkhidmatan bagi pembangunan LYC Wellness Valley itu merupakan sebahagian daripada cadangan pempelbagaian yang diumumkan oleh syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia hari ini yang juga akan melibatkan penukaran namanya kepada LYC Healthcare Bhd.

Mexter, yang menerima kelulusan pemegang sahamnya untuk mempelbagaikan operasi kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pada Mei tahun lepas berkata pempelbagaian itu akan termasuk menyediakan perkhidmatan perundingan dan pengurusan projek serta perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti mengurus dan mengendalikan hab kecergasan dan rumah persaraan serta perkhidmatan dan kemudahan penjagaan warga emas. 

Anak syarikat 70 peratus milik Mexter, LYC Living Sdn Bhd, hari ini memeterai perjanjian perundingan dan pengurusan projek bersyarat dengan LYC Venture Sdn Bhd berkaitan pembinaan, penjualan dan pembangunan LYC Wellness Valley.

LYC Wellness Valley, yang akan dibina di kawasan seluas 4.05 hektar bagi tempoh enam tahun bermula 2019, akan terdiri daripada antara lainnya pusat perubatan setinggi enam tingkat dan kemudahan berkongsi, dua blok rumah persaraan setinggi 38 tingkat (440 unit) dan podium lima tingkat serta hotel pelancongan perubatan dengan 350 bilik.

Mexter berkata yuran yang dibayar kepada LYC Living bagi perkhidmatan projeknya adalah jumlah yang bersamaan dengan lapan peratus daripada hasil jualan yang akan dijana daripada jualan hartanah di   LYC Wellness Valley.

LYC Living juga mempunyai hak berkontrak untuk mengurus dan mengendalikan semua perkhidmatan kesihatan dan penjagaan kesihatan dalam LYC Wellness Valley.

Mexter berkata satu lagi anak syarikat 70 peratus miliknya, LYC Senior Living Sdn Bhd, akan mengendalikan dua rumah penjagaan warga emas/persaraan di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Pada 25 Mei, LYC Senior Living memeterai perjanjian penyewaan dua banglo dua tingkat yang boleh menempatkan kira-kira 70 katil, bagi operasi ini. 

Syarikat itu berkata rumah persaraan pertama dijangka mula beroperasi bulan depan manakala yang seterusnya akan dibuka pada Mac 2019. 

-- BERNAMA

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2