Beban RM7.4 bilion kos rawatan penyakit akibat rokok



KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jumlah itu berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada 2017, sekiranya kawalan tembakau di Malaysia tidak diperkukuhkan dan prevalen (lazim) merokok tidak berkurang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menganggarkan lebih 20,000 lelaki dewasa di Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi daripada tabiat merokok.

“Akibat kesan komplikasi dan kadar kematian yang tinggi, merokok telah memberi kesan kepada ekonomi negara dalam pelbagai aspek termasuk beban kos yang tinggi bagi merawat penyakit akibat merokok,  menjejaskan produktiviti akibat pekerja sering tidak sihat dan menyebabkan kerugian kepada negara akibat kematian pra matang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Dzulkefly menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) sama ada kerajaan bersetuju mengumpul dan menerbitkan data komprehensif mengenai kos ekonomi berkaitan dengan merokok.

Menurut Dr Dzulkefly, bagi membantu pihak kementerian memperkukuh kawalan tembakau di Malaysia, kementerian telah menjalankan pengumpulan dan penerbitan data komprehensif mengenai kos ekonomi berkaitan dengan merokok.

Ia termasuk bekerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa dalam menjalankan kajian dan penyelidikan mengenainya seperti kajian berkaitan kesan pencukaian rokok kepada penggunaan rokok serta rokok tidak sah. 

Beliau berkata kajian pada 2007 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan menunjukkan kenaikan cukai ke atas rokok yang seterusnya menaikkan harga rokok akan mengurangkan penggunaan rokok dan pada masa yang sama meningkatkan kutipan cukai rokok.

Namun, katanya, kenaikan cukai rokok di negara ini dilihat masih belum dapat memberi impak yang besar dari segi pengurangan penggunaan rokok disebabkan harga barangan itu masih mampu dimiliki.

Beliau berkata hasil kajian “The relationship between real cigarette price and affordability index to purchase cigarettes in Malaysia from 1985–2015” pula menunjukkan rakyat Malaysia masih mampu membeli rokok walaupun cukai rokok dinaikkan dan harga ditingkatkan.

Justeru, Dr Dzulkefly berkata cukai rokok perlu ditingkatkan secara konsisten dengan mengambil kira pertumbuhan inflasi dan pendapatan negara. 

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018