Penyakit jantung iskemik kekal pembunuh nombor satu di Malaysia - Ketua Perangkawan

PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca kematian utama rakyat Malaysia dengan bilangan kematian sebanyak 13,503 atau 13.9 peratus pada tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2018 menunjukkan jumlah itu meningkat 0.7 peratus berbanding tahun 2016.

"Penyakit jantung iskemik merupakan sebab kematian utama di 70 daerah dengan peratusan tertinggi dicatatkan di daerah Alor Gajah, Melaka iaitu 19.8 peratus," katanya. 

Katanya penyakit pneumonia dikenal pasti sebagai sebab kematian kedua tertinggi dengan 12.7 peratus diikuti penyakit berkaitan angin ahmar (7.1 peratus), kemalangan jalan raya (4.6 peratus) dan malignant neoplasm (ketumbuhan dengan kanser) pada trakea, bronkus dan paru-paru (2.2 peratus). 

"Pneumonia pula merupakan sebab kematian utama di 64 daerah dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kota Setar, Kedah iaitu 21.9 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata sebab kematian utama bagi lelaki adalah penyakit jantung dengan 9,496 kematian atau 16.0 peratus, manakala bagi wanita ialah pneumonia dengan 5,371 (14.1 peratus).

Dalam pada itu, katanya laporan Perangkaan Penting Malaysia 2018 mengenai statistik kelahiran dan kematian pula menunjukkan sebanyak 508,685 kelahiran hidup dicatatkan pada 2017 dengan 262,575 (51.6 peratus) daripadanya adalah lelaki dan 246,110 (48.4 peratus) perempuan.

"Bilangan itu meningkat 0.1 peratus berbanding 508,203 pada 2016," katanya.

Mohd Uzir berkata daerah Kuala Terengganu merekodkan kadar kelahiran kasar tertinggi pada 2017 dengan 26.4 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Marang (26) dan Julau di Sarawak (24.7). 

Katanya daerah Kinabatangan, Sabah pula mencatatkan kadar terendah dengan 4.5 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Putatan, Sabah (5.6) dan Pakan, Sarawak (6.4).

Mohd Uzir berkata kadar kesuburan di Malaysia kekal pada kadar 1.9 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun pada 2017 berbanding 2016.

Sementara itu, katanya sebanyak 168,168 kematian dicatatkan pada 2017 iaitu peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding 162,201 kematian pada tahun sebelumnya. 

"Daripada jumlah itu, 96,522 (57.4 peratus) adalah lelaki manakala wanita yang meninggal dunia sepanjang tempoh sama ialah 71,646 (42.6 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata bagi setiap 1,000 penduduk, kadar kematian juga meningkat daripada 5.1 pada 2016 kepada 5.3 pada 2017. 

Menurutnya daerah Kanowit di Sarawak mencatatkan kadar kematian kasar tertinggi pada 2017 iaitu 9.1 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Sabak Bernam, Selangor dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan (8.7). 

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2