Semua Pihak Perlu Proaktif Tangani Isu Keracunan Makanan

Pengguna mempunyai banyak pilihan untuk membeli makanan apabila kesuntukan masa untuk menyediakan makanan sendiri. Cuma pentingkan aspek kebersihan apabila memilih premis makanan.- Gambar hiasan -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes keracunan makanan yang semakin menjadi-jadi mutakhir sudah tentunya mencetuskan kebimbangan dan paling heboh diperkatakan ialah kes melibatkan “laksa tercemar” yang dilaporkan dijual disebuah premis di Kupang, Baling, Kedah.

Sehingga 22 Okt, sebanyak 83 kes keracunan laksa ini dicatat termasuk dua kematian di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberikan pecahan kes iaitu 34 kes termasuk dua kes kematian di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor.

Satu lagi insiden keracunan makanan terkini dilaporkan ialah yang melibatkan seramai 52 pelajar Tahfiz Darul Ulum di Senawang. Keracunan makanan disyaki berpunca daripada ayam masak kunyit yang disumbangkan orang awam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali dipetik sebagai berkata pelajar berumur antara 7 hingga 12 tahun itu menunjukkan tanda keracunan seawal 4 pagi hari kejadian. Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, untuk mendapatkan rawatan.

 

Bila bercakap tentang keracunan makanan ini, pada pandangan penulis​​​​​​, kesilapan yang biasa dilakukan orang ramai ialah mengambil mudah dalam soal makanan yang dibeli. Mereka mungkin hanya mahu mengisi perut yang lapar tanpa mengira soal kebersihan premis yang dikunjungi atau makanan yang disediakan.

Antara golongan yang bersikap demikian sudah tentunya mereka yang tidak mempunyai kesempatan untuk memasak sendiri makanan kerana kesibukan bekerja dan lewat sampai ke rumah.

Premis makanan memang banyak, tidak kira di tepi jalan, lorong atau pun bangunan. Semua pastinya menjadi sasaran untuk membeli makanan tanpa mereka sedar, “masalah lain sedang menunggu mereka”.

Masalah yang penulis maksudkan ialah tentang sikap sesetengah peniaga makanan yang kurang atau tidak langsung menitik beratkan tentang kebersihan makanan yang mereka sediakan untuk pelanggan kerana terlalu mementingkan keuntungan perniagaan.

Melalui pengalaman peribadi, penulis pernah melihat sendiri di satu premis makanan di Kuala Lumpur, seorang peniaga yang menggunakan air paip di sebuah tandas awam berdekatan premisnya untuk dijadikan air minuman berperisa. 

Sudah tentu tindakan peniaga itu amat dikesali dan semestinya perbuatan yang tidak bemoral. Pelanggannya langsung tidak menyedari bahawa air minuman yang mereka minum itu datangnya dari air paip tandas awam!

Itu belum lagi mengambil kira kedudukan gerainya yang terletak berhampiran longkang dan di tepi jalan raya. Penulis juga sempat melihat beberapa ekor tikus berlari-lari di dalam longkang yang berbau itu.

Justeru, langkah tegas perlu digerakkan bagi membanteras isu keracunan makanan ini supaya tidak berulang dan ia perlu meliputi semua pihak khususnya pihak berkuasa berkenaan, pengusaha makanan dan pelanggan.

 

Dalam hal ini, pelanggan ataupun orang awam seharusnya lebih teliti dalam memilih premis makanan dengan mengambil kira beberapa perkara. Tengok dahulu premis yang menjual makanan, lihat kebersihannya dan sama ada ia mempunyai sijil tidak sijil kelayakan berniaga.

Paling utama sama ada premis itu mempunyai sijil kelulusan halal (bagi pelanggan beragama Islam). Dalam kita hendak makanan yang sedap, jangan mengambil mudah aspek “halalan toyyiban”, yakni halal lagi baik. Bukan setakat halal tetapi makanan yang hendak masuk ke dalam perut itu pastikan tidak akan memudaratkan kesihatan kiita.

Gunakan juga hak sebagai pengguna. Laporkan kepada pihak berkuasa antaranya Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya ada premis yang tidak menepati spesifikasi kebersihan yang ditetapkan atau tidak mempunyai sijil perniagaan yang sah atau mendakwa halal tetapi tidak ada sijil halal.

Di zaman teknologi ini, dengan mudahnya orang awam boleh menyalurkan aduan mereka kepada Kementerian Kesihatan melalui laman web kementerian di http://moh.spab.gov.my, manakala kepada DBKL melalui http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my. 

Bagaimanapun, penulis berpendapat, langkah paling selamat ialah masak sendiri makanan untuk dimakan di rumah atau untuk dibawa sebagai bekalan ke tempat kerja. Bukan sahaja menjimatkan tetapi kita dapat menjaga kualiti makanan yang hendak dimakan.

 

Di pihak pengusaha premis makanan pula, ianya lebih terletak kepada niat asal mereka mahu berniaga, sama ada mahu membantu memudahkan orang ramai mendapatkan makanan atau sekadar mengaut keuntungan?

Mereka juga mesti mempunyai lesen perniagaan yang sah di samping memastikan premis mereka mematuhi keperluan kebersihan sebelum pelanggan membuat laporan kepada pihak berkuasa ataupun pihak berkuasa sendiri turun padang melakukan rondaan.

Dalam soal kebersihan, ia bukan sahaja meliputi premis tetapi juga bahan masakan dengan cara melakukan pemeriksaan rutin dan memastikan kebersihan diri serta pekerja.

Mereka juga perlu ikhlas dalam menjalankan perniagaan mereka dengan menjanjikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan mereka, di mana ianya akan menjana perniagaan yang berkat kepada mereka.

Bagi peniaga beragama Islam, takutlah pada pesanan Allah melalui surah An-nahl ayat 116: “dan janganlah kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta, bahawa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas nama Allah, sesungguhnya orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia”.

 

Akhir sekali, bagi pihak berkuasa, mereka perlu melakukan pemeriksaan premis secara lebih kerap dan tersusun, terutama tapak bazar dan pasar rakyat.

Pihak berkenaan juga boleh mengadakan kursus mengenai pengurusan kebersihan secara berkala kepada pengusaha premis makanan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang sudah tentunya mahu membantu menyelesaikan isu keracunan makanan di negara ini. 

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di semua premis makanan seharusnya diberi pujian. 

Penulis juga ingin memetik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di mana beliau menasihatkan orang awam "supaya mengamalkan keselamatan dengan memilih premis bersih untuk membeli makanan serta pengamalan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ perlu diamalkan bagi mengelak dari memakan makanan yang basi”.

 

(Komentar ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam isu yang diperkatakan oleh penulis)

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018