Produk kesihatan beracun dirampas di lima negeri



KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) – Kementerian Kesihatan telah merampas pelbagai produk kesihatan yang tidak berdaftar serta dicampurpalsu dengan racun Sildenafil dan Tadalafil yang dianggarkan bernilai RM300,000 dalam serbuan di lapan buah premis di lima negeri, pada Khamis lepas.

Serbuan oleh  bahagian penguatkuasa farmasi kementerian dijalankan di  Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu selepas menerima aduan awam mengenai penjualan produk itu secara dalam talian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil analisa kimia yang dibuat pada dua sampel diperolehi di pasaran dikesan mengandungi kedua-dua racun berkenaan.

"Sildenafil dan Tadalafil merupakan sejenis racun kumpulan B yang hanya boleh digunakan melalui preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar, “katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata kesemua produk yang dirampas disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

Beliau berkata apabila diambil tanpa nasihat profesional kesihatan, boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti serangan jantung yang boleh membawa maut.

“Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.

"Bagi produk yang dicampurpalsu dengan racun, jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,”katanya.

 Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk ini untuk menghentikan dengan serta-merta semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya.

"Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store,” katanya.

Beliau berkata orang ramai digalakkan mengemukakan aduan berkenaan produk kesihatan kepada pihak BPF, KKM melalui laman web http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2