Usah Perlekeh Derita Mental

Oleh Nur-ul Afida Kamaludin

Masalah berkaitan mental kian berleluasa di negara ini dengan ada di antaranya membawa kepada kematian. Kurangnya pengetahuan berkaitan masalah atau penyakit mental dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang memandang ringan mengenai isu ini. 

Bahagian pertama daripada empat bahagian ini meninjau realiti masalah mental.

KUALA LUMPUR (Bernama) – Kebelakangan ini, banyak kes pembunuhan dan bunuh diri di Malaysia melibatkan pelaku yang mengalami gangguan kesihatan mental, menghidapi penyakit mental atau  akibat pengambilan dadah.

Silap jika ada yang beranggapan ia sekadar perlakuan jenayah yang hanya memerlukan campur tangan pihak berkuasa, kerana realiti yang membimbangkan ini turut mencerminkan aliran atau trend yang wajar ditangani ramai pihak.

Antaranya ialah kes seorang lelaki berusia 25 tahun yang bertindak membunuh ibunya di Taman Warisan Indah, Kota Warisan di Sepang, Selangor pada 4 Julai lepas. Suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental sejak dilahirkan serta perlu menjalani rawatan dan mengambil ubat setiap hari untuk mengawal masalah mental yang dialami.

Pada 12 Julai pula, seorang lelaki berusia 28 tahun, yang sering kemurungan, dipercayai menikam mati rakan sekerjanya di Banting, Selangor. Siasatan mendapati lelaki itu pernah menjalani rawatan mental selain cuba bunuh diri akibat kemurungan.

Pada 24 Sept, seorang lelaki berusia 29 tahun awal dipercayai membunuh  dan menyembunyikan mayat ibunya dalam tangki najis di belakang rumah mereka di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau, Pulau Pinang. Lelaki itu dipercayai ketagihan bau petrol.

Pada 9 Okt, seorang lelaki dipercayai membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan kepada enam bahagian di Kampung Kanthan Baru dekat Chemor, Ipoh, Perak. Lelaki berusia 52 tahun itu, yang dipercayai menagih syabu, bertindak kejam terhadap bapanya kerana berang ditegur supaya berhenti mengambil dadah itu.

Pada 18 Okt, seorang wanita mengelar mati bayi lelakinya yang berusia lapan bulan dan mencederakan tiga anak perempuannya berusia antara 5 hingga 8 tahun di Pulau Mantanani, Kota Belud di Sabah. Wanita berusia lingkungan 30-an itu kemudian disyaki cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri, yang dipercayai berpunca daripada gejala kemurungan yang dialaminya.

Pada hari yang sama, tiga beranak dipercayai meminum racun sebelum terjun ke Sungai Kampung Belat Batu, Arau di Perlis kerana tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi dan dibebani hutang.Mayat suami isteri berusia 66 dan 64 tahun itu serta anak perempuan mereka yang berusia 35 tahun  ditemui orang awam terapung di sungai berkenaan.  

 

STATISTIK MENTAL MEMBIMBANGKAN

 

Statistik menunjukkan daripada 32.4 juta orang rakyat Malaysia, kira-kira 40 peratus daripada mereka dikhuatiri menghidapi masalah kesihatan mental.

Tinjauan Kementerian Kesihatan pada 2017 mendapati seramai 18,336 orang menderita tekanan perasaan berdasarkan imbasan kesihatan yang dilakukan ke atas 273,203 individu. Daripada jumlah itu, seramai 11,811 orang menderita tekanan perasaan ringan, seramai 3,680 sederhana dan 1,682 tekanan perasaan teruk.

Kajian Morbiditi Kesihatan yang dilaksanakan pada 2015 mendapati hampir 30 peratus daripada penduduk Malaysia mengalami pelbagai penyakit mental psikiatri termasuk kemurungan, keresahan dan penyakit yang lebih serius seperti schizophrenia serta cubaan membunuh diri.

Malah, kebimbangan mengenai masalah ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini.

“Statistik ini sebenarnya sangat membimbangkan kita. Pada saya, ini bukan pengukur yang baik bagi negara,” katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Kesihatan supaya meniliti dasar kesihatan mental dalam usaha mengatasi masalah yang membimbangkan itu.

 

BUNUH DIRI BERLELUASA 

 

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan rasa bimbangnya dengan gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia yang semakin berleluasa tanpa mengira bangsa.

“Ini tidak boleh dipandang remeh,” tegas beliau.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merekodkan jumlah kematian akibat bunuh diri mencecah hampir 1 juta orang setiap tahun. Statistik menunjukkan seramai 16 daripada 100,000 penduduk, iaitu dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari atau seorang dalam 40 saat membunuh diri setiap hari.

Bagi setiap kejadian bunuh diri, dianggarkan terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri. Ini juga turut menyumbang kepada kecederaan fizikal serta emosi kepada individu yang terlibat dan juga ahli kelurga.

Menjelang 2020, kadar membunuh diri dijangka meningkat pada satu kematian bagi setiap 20 saat.

Di peringkat global, kejadian bunuh diri adalah antara 10 penyebab utama kematian dan merupakan penyebab kedua tertinggi bagi mereka yang berumur 15-29 tahun. WHO juga melaporkan kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki adalah 15.0 bagi setiap 100,000 penduduk manakala 8.0  bagi setiap 100,000 penduduk dalam kalangan wanita.

Kajian Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan pada 2009 menunjukkan kadar bunuh diri di Malaysia masih rendah iaitu 1.18 peratus bagi setiap 100,000 penduduk. 

Namun, ramai pakar berpendapat jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi dengan anggarannya hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari.

Sakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar menjejaskan rakyat dunia menjelang 2020 selepas penyakit jantung.

 

PERBEZAAN KESIHATAN DAN PENYAKIT MENTAL

 

Terdapat perbezaan yang besar di antara kesihatan mental dan penyakit mental. 

Kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu.

Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa tetapi masih berupaya melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Berlainan pula dengan mereka yang mempunyai penyakit mental dengan fungsi seharian mereka terjejas namun, ia boleh dikawal dengan rawatan sewajarnya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Dr Nurashikin Ibrahim menjelaskan kesihatan mental adalah suatu keadaan yang mana seseorang individu menyedari keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. 

"Kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup,”katanya.

Namun, terdapat banyak tahap dalam kesihatan mental dengan tiada seorang individu pun yang mempunyai semua ciri kesihatan mental yang baik pada setiap masa.

"Ia banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran.Terdapat beberapa faktor sosial, psikologikal dan biologikal yang menentukan tahap kesihatan mental seseorang pada satu-satu masa.

"Kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosioekonomi, pertukaran keadaan persekitaran atau sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja, di rumah, di sekolah serta akibat lain," jelas beliau.

 

TANDA AWAL MASALAH MENTAL

 

Dr Nurashikin berkata jika seseorang itu didapati tidak mahu melakukan aktiviti harian termasuk mengasingkan dirinya secara berterusan sehingga melebihi dua minggu, dia boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan tertekan atau kemurungan.

"Kemurungan adalah perasaan sedih berpanjangan... jika perasaan sedih itu terlalu sukar ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian, maka, ia adalah kemurungan," katanya.

Antara simptom awal kesihatan mental mulai terjejas adalah individu menunjukkan perubahan selera makan yang mendadak (sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit), menjauhi orang ramai atau lebih gemar bersendirian, kerap rasa lesu dan tidak bermaya.

Selain itu, individu berkenaan sering termenung, tidak fokus, mudah rasa marah, menunjukkan keadaan sakit, mempunyai keinginan mencederakan diri sendiri atau orang lain serta tidak dapat melakukan tugas harian seperti biasa.

Paling ketara adalah apabila individu melakukan perbuatan di luar kelaziman seperti menghisap rokok, minum minuman beralkohol atau mengambil dadah.

WHO menyatakan penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan kehilangan upaya di seluruh dunia. Pada 2020, ia dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia. 

Dr Nurashikin menerangkan mereka yang mempunyai penyakit mental mengalami keadaaan di mana ia menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial atau pun pekerjaan. 

"Mereka harus didiagnosis dan diberi rawatan yang perlu," katanya sambil menjelaskan proses mendiagnosis itu dibuat mengikut garis panduan 'Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders' yang ditetapkan WHO.

 

 

---------------------------------------------------------------------------------------

RUANG SISI  

 

Portal MyHealth Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa peyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu : 

1. Neurosis:  Individu yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan terhadap aspek pemikiran, perasaan dan kelakuan namun ia tidak sampai ke tahap yang boleh menjejaskan kewarasan. Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar keadaan kesihatan namun aktiviti harian sedikit terganggu. Contoh penyakit neurosis ialah: 

Kemurungan

Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami namun jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih yang lazim tetapi penyakit kemurungan.

Kebimbangan

Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar debar dan berasa takut yang melampau akan memberi bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya.

 

  1. Psikosis: Mereka yang mengalami penyakit Psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. Mereka akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib yang berkomunikasi dengan mereka yang dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan yang dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah beranggapan ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan. Mereka mungkin bercakap dengan merapu atau mengarut, berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh Psikosis yang sering dialami adalah: 

Skizofrenia

Antara ciri utama Skizofrenia ialah individu akan mengalami halusinasi, delusi, kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Selain itu juga prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.

Kecelaruan Bipolar

Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi mood dan emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa mania) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).

 

3. Kecelaruan Personaliti: Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Penyakit mental boleh diubati dengan pengambilan ubat-ubatan yang sesuai. Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.

Semua hospital dan klinik kesihatan di Malaysia mempunyai anggota yang dilatih untuk memberi rawatan kepada mereka yang mengalami masalah penyakit mental. Pakar psikiatri akan dirujuk untuk kes-kes yang rumit.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018