Ahli Farmasi Kurang Diberi Penghargaan

Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS), Amrahi Buang

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kita mungkin lebih kenal doktor daripada ahli farmasi, justeru juga mungkin kurang menghargai peranan mereka.

Perasaan inilah yang dialami Isaac Danker, 26, yang berasal dari Seremban dan kini berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di kampung halamannya.

Beliau yang menceburi bidang farmasi setahun lalu memberitahu Bernama antara salah tanggapan yang dihadapinya ialah ramai yang melihat beliau sebagai seseorang yang hanya menyediakan ubat-ubatan di belakang kaunter.

Ada juga yang memanggilnya doktor, mungkin kerana sebagai ahli farmasi beliau juga mengenakan kot putih.


Ahli farmasi Nurliyana Yahya di hadapan farmasi beliau di Kajang, Selangor.. --fotoBernama(2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Di sebalik salah tanggapan itu, graduan Kolej Universiti Cyberjaya ini amat sukakan kerjayanya dan yakin ahli farmasi boleh membantu masyarakat di negara ini menerusi penjagaan kesihatan awal.

 

KURANG DIYAKINI

Nurliyana Yahya, 28, yang mengusahakan sebuah kedai farmasi turut berkongsi sentimen Isaac dengan menambah beliau banyak kali mengalami situasi pembeli yang tidak yakin dengan pengetahuannya.

Ramai yang menganggap beliau bekerja di bawah penyeliaan doktor.

“Memang benar bukan kami yang membuat diagnosis penyakit. Itu tugas doktor tetapi kami juga mempunyai pengetahuan yang lebih baik mengenai ubat-ubatan daripada doktor. Kami berganding bahu dengan doktor dalam menjalankan tugas dan bukan bekerja di bawah mereka, “ kata alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Nurliyana yang sebelum ini bekerja dengan sebuah hospital kerajaan di Kajang berhenti kerja tahun lalu untuk membuka sebuah farmasi di daerah yang sama dengan tiga orang rakannya. 

Menurut beliau apabila berurusan dengan pelanggan setiap hari, beliau mendapati ada segelintir masyarakat beranggapan masalah penyakit mereka boleh selesai dengan hanya berjumpa ahli farmasi.

“Mereka fikir beli ubat dari farmasi sudah mencukupi dan tak perlu berjumpa doktor.

“Mereka nak beli ubat yang kami tak boleh jual seperti antibiotik. Mungkin mereka datang kepada kami sebab tak perlu bayar yuran perundingan berbanding kalau jumpa doktor, " katanya sambil menambah ahli farmasi komuniti mempunyai tanggungjawab membantu masyarakat mendapat penjagaan kesihatan yang baik bukan setakat untuk bisnes semata-mata.

Berdasarkan pengalaman juga beliau turut belajar bahawa ahli farmasi komuniti perlu mendapatkan keyakinan orang ramai jika mahu memberi khidmat yang optimum.

“Ada masa apabila kami preskripsi ubat yang lain daripada yang sering mereka ambil, mereka tak yakin dengan pandangan kami. Mereka fikir kami hanya mahu jual produk baru.

“Sebenarnya kami cadangkan yang baru sebab ubat yang mereka ambil sebelum ini tidak berkesan, atau yang baru mempunyai kurang kesan sampingan, " jelasnya.

 

FAHAMI PERANAN AHLI FARMASI

Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS), Amrahi Buang menyenaraikan tiga peranan penting ahli farmasi, iaitu sebagai pakar ubat, penjaga ubat dan penyedia penjagaan kesihatan.

Ubat adalah bidang utama ahli farmasi dan mereka bertanggungjawab menyediakan ubat yang berkualiti, selamat digunakan dan mujarab, dengan demikian melindungi komuniti daripada kesan sampingan ubat.

“Contoh, sekiranya orang sakit dan mereka pergi ke klinik dan berjumpa doktor, sama juga jika mereka ingin tahu tentang ubat, mereka perlu pergi ke farmasi dan jumpa ahli farmasi, prinsipnya sama, " kata Amrahi.

Bagaimanapun, majoriti orang tidak memahami sepenuhnya tugas ahli farmasi dan ini amalan biasa mereka membeli ubat dari farmasi tanpa berunding dahulu dengan ahli farmasi yang bertugas.

“Apa yang berlaku sekarang mereka terus pergi ke rak dan ambil apa yang mereka mahu, kemudian pergi kepada juruwang untuk bayar, " tambahnya.

Beliau mencadangkan agar ada yang menyoal, "ubat ini untuk siapa?"

Beliau berkata sekiranya ahli farmasi berpeluang bercakap dengan pelanggan, beliau boleh memberikan pandangan yang dapat membantu pelanggan untuk bukan sahaja mendapat ubat yang mujarab tetapi ubat yang berkesan dari segi kos.

Antara soalan yang ahli farmasi akan tanya "kenapa beli ubat?" "Apa tanda penyakit?" dan "sudah berapa lama rasa sakit?"

Amrahi mengambil contoh paracetamol, antara ubat yang paling banyak dibeli orang juga contoh orang yang selalu mengalami pening dan terus mengambil ubat itu.

“Katakan orang itu sebenarnya menderita migraine? Paracetamol tak boleh mengubati migraine dan orang itu mengambil paracetamol secara sia-sia. Ini menunjukkan pentingnya peranan ahli farmasi, " katanya.

Beliau menambah ramai juga orang tidak tahu bahawa ahli farmasi dibenarkan di bawah undang-undang untuk preskripsi racun kumpulan C iaitu untuk batuk, selsema dan demam di samping krim untuk penyakit kulit dan makanan tambahan.

Di samping memberi ubat, ahli farmasi juga bekerja di bahagian lain hospital atau pusat kesihatan, seperti unit pesakit dalaman untuk mengurus bekalan ubat di wad dan bahagian pengawasan ubat terapeutik.

Terdapat juga ahli farmasi klinikal yang bekerja dengan doktor dalam membuat keputusan preskripsi serta memantau ubat untuk pesakit.

Mereka juga memantau ahli farmasi yang mengilang ubat yang melibatkan proses mendapatkan formulasi yang betul, mereka yang bekerja dalam industri serta peruncitan serta ahli farmasi yang menjadi penyelidik dan pendidik.

 

HARI FARMASI SEDUNIA 

Sebagai pertubuhan farmasi utama di negara ini, MPS terus meningkakan usaha untuk mengetengahkan peranan ahli farmasi dalam masyarakat.

Menurut Amrahi, salah satu daripada usaha itu ialah meraikan Hari Ahli Farmasi Sedunia secara besar-besaran.

“Kami bermula pada 2014. Tahun ini semua negeri meraikan sendiri Hari ini. Kesedaran orang ramai semakin meningkat, " kata Amrahi.

Hari Ahli Farmasi Sedunia disambut setiap 25 Sept dan tema tahun ini ialah “Ahli Farmasi: Pakar Ubat Anda.”

Sementara itu, Nurliyana yakin cara terbaik untuk meningkatkan kesedaran adalah menerusi media sosial.

Beliau turut mencadangkan agar ahli farmasi berkongsi maklumat berhubung ubat atau topik yang berkaitan termasuk menjelaskan skop kerja ahli farmasi.

Bagi ahli farmasi komuniti, beliau berkata adalah penting untuk mereka mendapatkan keyakinan masyarakat serta memahami keperluan mereka.

Antara usaha yang mereka boleh lakukan ialah dengan mengadakan ceramah atau program komuniti.

Isaac pula berpendapat ahli farmasi yang berkhidmat di peringkat komuniti perlu bekerjasama dengan ahli profesional penjagaan kesihatan yang lain terutamanya doktor untuk mencapai matlamat berhubung penyakit atau sebarang isu berkait kesihatan yang memberi kesan kepada komuniti.

“Hasilnya nanti kita dapat membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan, “ katanya.

Beliau berkata keperluan penjagaan kesihatan di Malaysia perlu diberi penekanan kerana ia dapat mencegah penyakit berisiko tinggi dan boleh mengurangkan kos pengubatan.

“Ahli farmasi boleh memainkan peranan penting untuk membantu penyakit pesakit daripada menjadi lebih teruk melalui pelbagai khidmat seperti Klinik Pematuhan Terapi Pengubatan (MTAC), program pemberhentian merokok dan banyak lagi,” katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1