Kes kemurungan remaja sering berpunca daripada masalah keluarga dan mereka perlu diberi rawatan intervensi krisis sebelum menjalani sesi kaunseling. (Gambar Hiasan)
--fotoBernama (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Nur-ul Afida Kamaludin & Sakini Mohd Said
Masalah berkaitan mental kian berleluasa di negara ini dengan ada di antaranya membawa kepada kematian. Kurangnya pengetahuan berkaitan masalah atau penyakit mental dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang memandang ringan mengenai isu ini.
Bahagian ketiga daripada empat siri mengenai realiti masalah mental ini meninjau peranan kaunseling bagi menangani isu berkenaan.
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Isu gangguan kesejahteraan mental yang semakin ketara sehingga mendapat perhatian meluas masyarakat pada hari ini, bukan lagi satu topik tabu atau terpencil seperti dahulu kerana impaknya jelas jauh melangkaui kesedihan di peringkat keluarga semata-mata.
Ini berikutan kebimbangan berhubung tahap kesihatan mental rakyat Malaysia apabila kira-kira 40 peratus daripada mereka dijangka menghadapi masalah kesihatan mental dalam tempoh hayat mereka, seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan.
Tinjauan Kementerian Kesihatan pada 2017 mendapati 18,336 orang menderita tekanan perasaan di pelbagai peringkat berdasarkan imbasan yang dilakukan ke atas 273,203 individu. Daripada jumlah itu, seramai 11,811 orang menderita tekanan perasaan ringan, 3,680 sederhana dan 1,682 tekanan perasaan teruk.
Situasi ini tidak boleh dipandang ringan kerana masalah kesihatan mental yang tidak dirawat bukan sahaja akan memberi kesan negatif malah mendedahkan mereka kepada tindakan memudaratkan termasuk bunuh diri.
Masalah kesihatan mental tidak mengenal peringkat usia, jantina, jenis pekerjaan mahupun nama. Sesiapa pun boleh melaluinya, dan sebenarnya ia boleh dirawat.
Oleh itu, adalah penting untuk rakyat Malaysia menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap penyakit mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik serta mengenal pasti gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi dan rawatan.
Serius atau tidak, mendapatkan bantuan bukanlah sesuatu yang salah kerana ia sama seperti berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan rutin.
Justeru itu, mereka perlulah dirawat dengan perubatan dan terapi yang bersesuaian untuk memastikan mereka sentiasa dalam keadaan tenang dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psikososial dapat membantu mereka yang mengalami masalah mental atau menghidapi penyakit mental.
IMPAK KAUNSELING
Kaunseling merupakan profesion yang berkaitan dengan kebajikan, pembangunan dan membantu orang yang kurang berfungsi.
Menurut Governing Council of the American Counseling Association (ACA), amalan profesion kaunseling adalah berkaitan dengan kesihatan mental, psikologikal dan prinsip pembangunan manusia melalui kognitif, intervensi, strategi menyediakan kebajikan, pertumbuhan personal atau pembangunan dalam pekerjaan dan juga patologi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui pentingnya peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling, yang kini dilihat sebagai keperluan terutamanya dalam keadaan masyarakat berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020 bagi memastikan ia mencukupi untuk mendepani masalah sosial yang semakin rumit masa kini.
Sasaran itu akan mengecilkan nisbah seorang kaunselor bagi 2,945 penduduk berbanding seorang kaunselor bagi setiap 4,030 penduduk pada masa ini.
Setakat 31 Ogos lalu, terdapat 8,039 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
Bagaimanapun, Pensyarah kanan Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Abu Yazid Abu Bakar berpendapat usaha meningkatkan jumlah kaunselor terlatih tidak akan berkesan sekiranya masyarakat masih lagi belum terbuka berkongsi masalah dengan kaunselor.
Ini mungkin disebabkan persepsi negatif yang melihat peranan kaunselor seolah-olah menangani masalah mental, walhal bertemu kaunselor bukan bererti seseorang itu gila.
"Malah, sesiapa sahaja boleh mendapatkan khidmat kaunselor dan tidak semestinya ketika berdepan masalah sahaja,”katanya.
KAUNSELOR DAN ETIKA KERAHSIAAN
Abu Yazid berkata fungsi sebenar kaunselor perlu diperjelaskan kepada masyarakat khususnya remaja kerana terdapat salah faham profesion berkenaan di mana ada yang menganggap ia sama dengan pakar psikiatri.
Secara umumnya, profesion itu yang membantu dalam konteks kesejahteraan mental terbahagi kepada empat kategori utama iaitu kaunseling, psikologi, psikiatri dan kerja sosial. Bidang ini merupakan disiplin ilmu berbeza dari segi orientasi pelaksanaan dan aktiviti yang dijalankan.
“Fungsi kaunselor tidak sama dengan pakar psikiatri. Kaunselor menawarkan perkhidmatan membantu klien ‘celik akal’ untuk memahami dan menyelesaikan masalah sendiri manakala pakar psikiatri merupakan doktor perubatan terlatih,” jelasnya.
Berkaitan jaminan kerahsiaan masalah yang diceritakan kepada kaunselor, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata kaunselor profesional sememangnya terikat dengan etika kerahsiaan.
Etika paling utama dalam profesion kaunseling adalah menjaga kerahsiaan pelanggan dan ia termaktub secara jelas dalam Akta Kaunselor 1998 dan Kod Etika Lembaga Kaunselor Malaysia.
Kaunselor yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang, katanya.
“Isu kerahsiaan selalu berlaku dalam kalangan kaunselor yang kurang kecekapan. Jumpalah dengan kaunselor profesional kerana mereka selalunya patuh kepada etika kaunselor,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM.
PENDEKATAN KAUNSELING
Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Amalan, Cawangan Amalan & Regulatori, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu di Kementerian Kesihatan Ruhana Mahmod pula menjelaskan bahawa khidmat kaunseling Kementerian Kesihatan adalah berdasarkan klien yang dirujuk dari pelbagai sumber khususnya daripada doktor dari jabatan psikiatri dan kesihatan mental.
Tidak kurang juga rujukan daripada disiplin lain seperti perubatan, onkologi, obstetrik dan ginekologi, pembedahan serta daripada jabatan-jabatan di dalam hospital atau agensi luar seperti klinik kesihatan serta hospital terdekat yang tidak mempunyai pegawai psikologi.
Beliau menerangkan pendekatan yang digunakan bagi mengendalikan kes-kes klien yang mengalami masalah mental adalah berbeza antara satu sama lain.
"Apa yang paling utama adalah klien boleh memberi kerjasama, berkomunikasi serta tidak mengalami masalah mental atau kognitif yang teruk sehingga tidak boleh memberi respon baik kepada soalan seperti klien berada dalam keadaan delirium atau psikosis. Sekiranya tidak, klien perlu meneruskan rawatan bersama pakar psikiatri atau ahli psikologi klinikal terlebih dahulu," katanya.
Menurutnya pendekatan kaunseling merangkumi penilaian psikologi asas, kemahiran asas kaunseling seperti kemahiran melayan, empati dan menerima tanpa syarat.
Berdasarkan apa yang dikongsikan oleh klien, modal rawatan akan dibentuk berpandukan matlamat yang ingin dicapai oleh klien melalui pendekatan teori dan teknik kaunseling seperti 'person centered therapy’ (PCT), 'cognitive behavioural therapy' (CBT), psikoanalisis atau terapi keluarga.
"Teknik-teknik relaksasi turut diajar kepada klien bagi mengurangkan tekanan yang dialami," katanya.
KAEDAH BERBEZA
Bagi klien yang mengalami masalah mental, beliau berkata bentuk kaunseling yang digunakan adalah pelbagai namun, terapi CBT digunakan untuk klien yang dirujuk di hospital kerana kaedah terapi itu lebih cepat, mudah difahami mereka serta mempunyai teknik khusus yang boleh dipelajari klien untuk dilaksanakan di rumah atau tempat lain selepas keluar dari bilik terapi.
Ruhana menerangkan pendekatan kaunseling bagi kanak-kanak dan remaja pula berbeza dengan dewasa kerana faktor umur, kematangan dan daya proses kognitif.
Kaedah rawatan bagi kanak-kanak dan remaja adalah sama dengan dewasa namun, tedapat sedikit penambahbaikan dari segi membina hubungan baik, gaya bahasa, serta penggunaan alat ujian psikologi.
Bagi kanak-kanak, katanya, model terapi seni seperti lukisan dan mainan dapat membantu meneroka permasalahan klien kerana tidak semua kanak-kanak pandai menceritakan masalah yang berlaku pada diri mereka, malah mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk menceritakannya.
"Jadi, melalui kaedah terapi seni atau lukisan seperti 'House Tree Person', ia dapat membantu semasa proses penerokaan seterusnya membantu dalamproses pelan rawatan klien,” katanya sambil memberitahu bahawa ibu bapa klien juga akan diajar teknik-teknik yang betul untuk mengendalikan klien di rumah termasuklah teknik kemahiran keibubapaan.
Bagi kes remaja pula, Ruhana berkata ia bergantung kepada sejauh mana remaja ingin berkongsi masalahnya.
"Biasanya remaja kurang gemar berkongsi masalah dengan orang dewasa dan lebih mudah menceritakan masalah kepada rakan-rakan sebaya. Oleh itu, pendekatan bagi remaja adalah lebih kepada pendekatan di mana kaunselor bertindak sebagai rakan bagi membolehkan klien berasa selesa untuk berkongsi,”jelasnya.
Berdasarkan kes yang pernah dikendalikannya, Ruhana mendapati kes kemurungan remaja sering berpunca daripada masalah keluarga (ibu bapa bergaduh dan konflik di dalam keluarga atau tertekan dengan usaha bagi memenuhi kehendak keluarga), isu dengan rakan sebaya (rasa dipinggirkan, rakan tidak mahu berkawan, dipandang rendah oleh rakan dan isu hubungan intim), masalah kewangan dan pendidikan.
Remaja yang tertekan akibat dibuli atau mengalami kemurungan atau trauma selepas dibuli akan diberikan rawatan intervensi krisis sebelum menjalani sesi kaunseling bagi mengurangkan impak trauma yang dialami selain membantu membina semula kepercayaan dan harga diri mereka.
“Bagi remaja mangsa buli yang mengalami kemurungan teruk sehingga merasakan dirinya sudah tidak berharga lagi dan ingin membunuh diri, remaja ini akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mengenai kaunseling anggota keluarga dan pekerja, beliau menerangkan ia adalah sama dengan kaunseling biasa.
"Bagi anggota keluarga, misalnya, jika isu yang berbangkit adalah berkenaan dengan isu kekeluargaan, maka kaunseling atau terapi keluarga atau perkahwinan akan dilaksanakan. Selain itu, psikopendidikan juga diberikan kepada ahli keluarga untuk memberi pendidikan tentang masalah psikologi dan kaedah rawatan yang dilaksanakan oleh ahli keluarga yang menerima rawatan.
"Kemurungan yang dialami dewasa sering berpunca darpada masalah rumahtangga, hubungan kekeluargaan, kewangan dan isu kesihatan. Selain itu, kebanyakan orang dewasa mengalami kebimbangan tentang isu kesihatan di mana mereka menjadi risau sekiranya timbul gejala-gejala seperti sakit jantung, tekanan darah tidak normal dan kerap memikirkan tentang kematian (apa yang akan berlaku selepas mereka meninggal dunia)," katanya
Bagi golongan pekerja pula, isu-isu yang dibangkitkan mungkin terdiri daripada stress di tempat kerja, masalah disiplin atau masalah psikologi lain.
Oleh itu, katanya, pendekatan kaunseling individu digunakan untuk golongan pekerja.
KAUNSELING PERLU DIPERLUASKAN
Ruhana berkata pelaksanaan perkhidmatan kaunseling yang ada masa kini perlu diperluaskan lagi supaya lebih mudah dicapai oleh masyarakat luar bandar.
Ini kerana perkhidmatan yang ada sekarang lebih tertumpu di kawasan bandar atau pekan utama sahaja menyebabkan masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman sukar mendapatkan akses perkhidmatan mahupun pendidikan tentang kesihatan mental.
"Selain itu, perkhidmatan kaunseling juga perlu diperluaskan ke sub-bidang kaunseling lain seperti perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan, kaunseling ketagihan selain kaunseling individu dan kelompok yang sedia ada sekarang,”katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa kesedaran rakyat Malaysia tentang kesihatan mental semakin baik apabila mereka sendiri berusaha untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.
Ini mungkin kerana mereka tahu adanya kaedah atau aplikasi untuk melihat sejauh mana tahap kesihatan mental seseorang seperti 'Depression, Anxiety, Stress Scale' (DASS) di laman-laman sesawang kerajaan mahu pun swasta.
"Ujian saringan DASS boleh memberitahu simptom-simptom tertentu seperti stres, kebimbangan dan kemurungan. Secara tidak langsung, kes mereka yang ingin melihat keadaan kesihatan sendiri bertambah sebelum dirujuk di klinik dan hospital," jelasnya.
Melihat kepada kepentingan penjagaan kesihatan mental, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menawarkan program baharu iaitu Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal pada tahun depan.
Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal di bawah program Jabatan Psikologi dan Kaunseling universiti itu merupakan program kaunseling kesihatan mental pertama seumpamanya yang ditawarkan di negara ini.
Ia antara lain akan memberi penekanan kepada memantapkan lagi kemahiran dan kecekapan kaunselor dalam bidang berkenaan.
------------------------------------------------------------------------------
RUANG SISI
Perkhidmatan psikologi kaunseling di bawah Kementerian Kesihatan boleh didapati di hospital-hospital negeri atau daerah yang berpakar, selain beberapa buah klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan institusi latihan KKM.
Perkhidmatan yang sama juga ditawarkan oleh beberapa agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan pusat pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan dan swasta.
Perkhidmatan kaunseling di kawasan Lembah Kelang boleh didapati di:
Klinik Kaunseling Komuniti, UPM Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pembelajaran Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor. Kontak: 603-8946 8118 | Website
Unit Psikologi Kaunseling Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur Jabatan Kesihatan Wilayah, Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cenderasari, 50590 Kuala Lumpur. Kontak: 603-22687333 | Website
Jabatan Psikologi Kaunseling, Hospital Kuala Lumpur Unit Psikologi Kaunseling (UPsK), Hospital Kuala Lumpur, Unit Psikologi Kaunseling, Jalan Pahang, 50586 Kuala Lumpur. Kontak: 603-2615 6254 Nota: Memerlukan surat rujukan dari doktor.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Bangunan LPPKN, Bahagian Pembangunan Keluarga, Unit Kaunseling, 12B, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Kontak: 603-2693 7555 | penduduk@lppkn.gov.myJabatan Psikiatri,Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Klinik Pakar Psikiatri (Psychiatry Clinic), Aras 1, Ambulatory Care Centre (ACC) HTAR, Jalan Langat 41200 Klang, Selangor. Kontak: 603-3375 7000 (ex 6273)
Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC/PPUM) Pusat Perubatan Universiti Malaya, Lembah Pantai, 59100 Kuala Lumpur. Kontak: 603-7949 2988/ 603-7949 3991/ 603-7949 3598
Jabatan Psikiatri Hospital UKM Hospital UKM, Jalan Tenteram, Bandar Tun Razak Cheras, 56000 Kuala Lumpur. Kontak: 603-9173 3333
All Women’s Action Society Malaysia (AWAM) 03-78774221 atau www.awam.org.my
Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organization) 03 7956 3488 atau http://www.wao.org.my/
Malaysian Care 603-90582102 atau http://www.malaysiancare.org/
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN