Percantuman ilmu perbidanan Melayu dan moden beri kesejahteraan kepada ibu dan bayi - Dr Siti Hasmah

Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) melancarkan buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu 'Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan' di Universiti Islam Malaysia hari ini.Turut sama Presiden Universiti Islam Malaysia Prof Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor (kiri) dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Nona Roguy Datin Sharifah Anisah Syed Agil Barakbah (kanan).

CYBERJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Ilmu perbidanan Melayu yang baik boleh dicantumkan dengan rawatan moden untuk kesejahteraan ibu dan bayi semasa mengandung dan berpantang, kata isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau yang berkecimpung dalam bidang perubatan sejak tahun 1955 berkata, adat seperti berurut ketika berpantang bagus diamalkan kerana ia adalah terapi untuk ibu.

Bagaimanapun, katanya terdapat juga adat Melayu ketika berpantang yang perlu diubah terutamanya dari segi pemakanan seperti mengurangkan minum air kerana ia tidak baik untuk kesihatan ibu.

"Ada yang saya lihat hanya makan nasi sedikit dengan ikan kering dan air suam segelas kecil. Ini tidak bagus kerana ibu perlu tenaga sebab ketika bersalin sudah kehilangan banyak darah.

"Air juga tidak boleh minum sedikit sahaja kerana ibu menyusukan bayi dan memerlukan banyak air," katanya semasa berucap melancarkan Ensiklopedia Perbidanan Melayu edisi kedua di Universiti Islam Malaysia (UIM), di sini hari ini.

Dr Siti Hasmah turut menasihatkan ibu-ibu berusia lebih 35 tahun dan mengandung buat pertama kali selepas berkahwin lebih lapan tahun supaya tidak bersalin secara normal kerana ia berisiko kepada keselamatan bayi yang dilahirkan.

Beliau berkata nasihat itu turut diberikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebaik sahaja mengetahui penyanyi nombor satu negara itu mengandung anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid.

"Saya tahu anaknya itu sangat bermakna buatnya, jadi saya hantar pesanan 'no normal delivery for you', biarlah bersalin secara pembedahan," katanya.

Mengenai Ensiklopedia Perbidanan Melayu itu, katanya ia diharap dapat memberi ilmu yang berguna untuk semua ibu bapa, di samping tidak melupakan perubatan moden.

Buku setebal 354 halaman terbitan UIM itu ditulis oleh Pengasas Nona Roguy, Datin Sharifah Anisah Barakbah dan boleh didapati di kedai buku Kinokuniya Suria KLCC pada harga RM190.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1