Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.
--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Nur-ul Afida Kamaludin
Masalah berkaitan mental kian berleluasa di negara ini dengan ada di antaranya membawa kepada kematian. Kurangnya pengetahuan berkaitan masalah atau penyakit mental dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang memandang ringan mengenai isu ini.
Bahagian akhir ini meninjau realiti masalah mental.
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tidak sepertimana penyakit lain yang boleh dirawat dengan ubat-ubatan, penawar derita mental atau masalah kesihatan mental sebaliknya mencakupi banyak aspek.
Pertimbangan, pengiktirafan, perhatian dan sokongan kewangan sewajarnya perlu diberikan kepada usaha, kempen dan program kesihatan mental dalam usaha melahirkan masyarakat yang bebas masalah yang mencengkam jiwa dan minda itu.
Namun, persoalannya, apakah ini semua memadai atau ada perspektif lain yang boleh dipertimbangkan dalam usaha menangani masalah kesihatan mental yang menular ibarat barah dan menjejaskan kehidupan serta negara.
Untuk itu, kerajaan disarankan meningkatkan lagi usaha membendung peningkatan kes kesihatan mental dengan antaranya memperkenalkan indeks bagi menilai kesejahteraan psikologi terutama dalam kalangan pekerja serta menubuhkan Institut Kesihatan Mental yang menjadi pusat sehenti bagi merawati kes-kes berkaitan kesihatan dan penyakit mental.
KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata masalah kesihatan mental hendaklah ditangani dengan segara supaya masalah seperti tekanan, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan kejadian bunuh diri dapat dielakkan.
Beliau berkata banyak yang perlu dilakukan untuk pesakit mental di negara ini selain daripada memberikan rawatan, kaunseling dan penjagaan.
“Selain sokongan dan bantuan anggota keluarga, kerajaan juga perlu terus menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk menangani masalah kesihatan mental,” katanya.
Menurutnya pelbagai punca peningkatan kes berkaitan penyakit mental telah dikenal pasti termasuk tekanan di tempat kerja, masalah kewangan, persekitaran serta kegagalan mencapai prestasi yang diharapkan.
“Tidak semestinya mereka adalah individu yang mempunyai sejarah penyakit mental kerana banyak juga kes melibatkan individu sihat yang mula berdepan dengan masalah kesihatan mental setelah memasuki alam pekerjaan atau berkahwin.
“Jabatan Perkhidmatan Awam juga pernah menyatakan bahawa penjawat awam dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun adalah kumpulan yang paling terdedah kepada tekanan perasaan atau stres,” katanya sambil mengingatkan bahawa pada 2020, stres akan menjadi penyakit nombor satu di dunia jika ia tidak ditangani dengan baik oleh semua pihak.
Lee, yang juga Anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, turut mengulangi gesaannya supaya Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia dilaksanakan segera dengan menggunakan terma rujukan dan parameter tersendiri.
“Sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk memperkenalkan sistem penilaian kesihatan mental ekoran peningkatan pelbagai isu berkaitan sejak kebelakangan ini termasuk yang melibatkan kesan dadah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pembangunan indeks penilaian psikologi boleh dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dengan hasilnya kelak digunakan untuk membantu pihak terbabit merancang program berterusan bagi menangani isu-isu kesihatan mental di negara.
“Saya telah secara konsisten membangkitkan isu kesihatan mental dan psikososial yang memberi kesan di rumah, sekolah, tempat kerja yang secara umumnya turut mempengaruhi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau menganggap penyakit mental sebagai ‘bom jangka’ yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak dikendalikan dengan berkesan.
INSTITUSI KESIHATAN MENTAL
Pengarah Eksekutif Yayasan Kesihatan Mental Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah pula menyarankan supaya Institusi Kesihatan Mental ditubuhkan bagi mengubah pemahaman dan rawatan penyakit mental melalui penyelidikan asas dan klinikal.
Beliau berkata dengan adanya penubuhan institut itu, ia dapat menyepadukan tiga fungsi utama dalam menangani perubatan serta rawatan masalah dan penyakit mental.
Tiga fungsi utama berkenaan adalah penyelidikan, latihan pelbagai peringkat serta jaringan nasional dan antarabangsa.
“Lazimnya, Institut Kesihatan Mental seperti ini perlu mempunyai satu lagi fungsi utama iaitu perkhidmatan bagi pesakit dan klien,” katanya sambil memberitahu ia boleh dikendalikan jabatan kerajaan dan universiti seperti yang dilakukan di hospital-hospital sedia ada.
Beliau berkata Yayasan Kesihatan Mental bersedia menggabungkan semua tenaga dan sumber yang diperlukan untuk menjadikan institut itu suatu realiti.
Lee yang juga Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) menyambut baik cadangan penubuhan Institut Kesihatan Mental itu, yang dilihat mampu membantu kerajaan mengkaji dan merancang pembangunan kesihatan secara keseluruhan.
Langkah itu penting kerana depresi atau kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama yang dialami rakyat Malaysia menjelang 2020 susulan peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga, katanya.
Penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia turut menunjukkan pertambahan 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga 2015.
“Institut Kesihatan Mental kelak boleh mengkaji cara untuk menyelaraskan semua perkhidmatan berkaitan kesihatan mental di bawah Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain agar pengesanan awal dan rawatan dapat diberikan dengan cepat dan berkesan.
“Ia juga boleh membantu kerajaan membangunkan indeks penilaian psikologi dan hasilnya nanti digunakan untuk membantu pihak terbabit merancang program berterusan bagi menangani isu-isu kesihatan mental di negara ini,” kata Lee.
PERBANYAKKAN KEMUDAHAN
Lee juga menarik perhatian bahawa banyak perkara yang boleh dilakukan kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan kesihatan mental.
Beliau berkata antaranya adalah dengan memperbanyakkan lagi kemudahan untuk pesakit mental seperti pelindungan insurans, memberi pelepasan cukai pendapatan untuk ibu bapa atau saudara mara yang memberikan pelindungan kepada pesakit mental dan memberi insentif cukai kepada syarikat swasta sebagai galakan kerana memberi peluang pekerjaan kepada pesakit mental yang telah pulih.
“Selain itu, kerajaan harus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik untuk pesakit mental di semua hospital kerajaan dan menjadikan kos ubat lebih mampu dibeli,” katanya.
Beliau juga mahu segala bentuk diskriminasi terhadap pesakit mental yang telah pulih dihapuskan supaya mereka dapat diintegrasikan semula dalam masyarakat.
Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu melaksanakan Program Bantuan Pekerja (EAP) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi membantu pekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Lee menegaskan bahawa semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab dalam menggalakkan kesihatan mental termasuk majikan, rakan sekerja dan masyarakat setempat.
KIKIS STIGMA
Dalam membendung peningkatan kes berkaitan kesihatan mental, masyarakat perlu mengikis stigma sosial terhadap mereka yang menghidapi masalah itu dan berusaha memahami keadaan yang yang dialami mereka. Stigma penyakit mental membuatkan individu berasa malu, lemah dan tidak berdaya. Tanggapan negatif sedemikian memberi kesan kepada individu yang menderita masalah mental selain melunturkan semangat keluarga untuk memberi sokongan fizikal dan emosi kepada mereka.
“Ia juga boleh menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada profesional dan seterusnya memberi kesan kepada proses pemulihan dan menjejaskan kualiti kehidupan.
“Masyarakat sering menganggap orang yang hidapi masalah mental sebagai gila, tidak siuman, berbahaya, ganas, kurang iman, tidak boleh bekerja, tidak boleh membuat keputusan dengan baik dan sebagainya.
“Ini menyebabkan ramai dari pesakit malu dan takut untuk menceritakan hal yang sebenar...akhirnya mereka pilih untuk berdiam diri dan menderita bersendirian yang kadang kala kerana sudah putus harapan dan merasakan tiadak jalan keluar, mereka pilih untuk mati," kata Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Anita Abu Bakar.
Menurutnya MIASA mendapati stigma di Malaysia masih merupakan penyebab utama mengapa individu mengalami masalah mental sukar berterus terang dan mendapatkan pertolongan.
Melihat kepada peningkatan kes yang melibatkan masalah kesihatan mental seperti bunuh diri dan kemurungan, katanya, masyarakat masih kurang pengetahuan terhadap akibat yang berlaku apabila penyakit mental tidak dirawat.
“Masih ramai yang tidak tahu siapa yang harus mereka rujuk untuk merawat tekanan atau perasaan bimbang yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata MIASA mahu memperbetul salah tanggapan mengenai penyakit mental seperti yang banyak berlaku kini serta berusaha melindungi pesakit dan keluarga mereka daripada menjadi mangsa stigma, diskriminasi dan ketidakadilan yang berpunca daripada kontroversi.
MIASA, yang ditubuhkan pada September 2017, adalah badan bukan kerajaan pertama di Malaysia yang ditubuhkan oleh pesakit dan digerakkan oleh pesakit sendiri. Antara Iain, ia memberi kesedaran dan pengetahuan berkaitan penyakit mental dan bagaimana menjaga kesihatan mental menerusi kempen dan program kesihatan mental.
MENGURUS EMOSI
Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin pula berpendapat kesihatan mental yang baik adalah ketika seseorang itu sedar tentang kekuatan diri dan mampu mengawal emosi dirinya.
Beliau berkata apabila seseorang itu mampu mengurus emosinya dengan baik, ia mampu membendung individu itu daripada terjerumus dalam kemurungan atau stres melampau.
“Cara yang sebaik-baiknya bagi seseorang dalam menguruskan emosi dirinya atau anggota keluarga yang bermasalah mental adalah dengan kerap mendapatkan khidmat nasihat pengurusan emosi, menghadiri program berkaitan pengurusan emosi khususnya masalah mental,” katanya.
Ustaz Muhammad, yang juga pendakwah bebas, mengakui bahawa banyak kes pembunuhan, bunuh diri dan serangan berpunca daripada penyakit mental yang mengganggu kewarasan seseorang untuk berfikir dengan baik.
“Perkara itu berlaku akibat kegagalan individu berkenaan untuk mengurus emosinya dengan baik menyebabkan mereka tidak dapat mengimbangi perkara yang betul dan tidak betul.
“Perbuatan seperti ini sebenarnya boleh dibendung dan dan dielakkan daripada berlaku… mereka perlu didedahkan dengan emosi positif yang dapat membantu mengimbangkan kewarasan dan kemanusiaan seseorang itu,” katanya.
Berkongsi pengalamannya membantu memperkukuh emosi lebih 100 pesakit HIV Muslim, beliau mengakui ada antara mereka yang tertekan dengan penyakit itu hingga mahu membunuh diri.
Untuk itu, katanya, beliau menggunakan pendekatan agama dengan menggalakkan mereka banyak beribadah termasuk sentiasa berzikir untuk menenangkan jiwa.
Jelas sekali, masalah derita mental bukan berkisar kepada individu atau isu yang boleh dibiarkan kerana natijahnya melangkaui batas sempadan keluarga itu semata-mata.
Ia memerlukan pembabitan semua pihak daripada asas iaitu keluarga selain kejiranan, masyarakat, rakan sebaya sehinggalah ke peringkat kerajaan selaku pembuat dasar.
Justeru itu, ia memerlukan pembabitan semua pihak untuk berani mengakui masalah kesihatan mental sebagai masalah bersama dan perlu ditangani secara kolektif.
Perkara pertama atau asas yang perlu dilakukan adalah mengikis stigma, membuang sikap acuh tak acuh dan persepsi negatif terhadap masalah kesihatan mental.
BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN