KKM kuat kuasa garis panduan Produk Terapi Sel dan Gen 2021



KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan Garis Panduan Produk Terapi Sel dan Gen (CGTPs) bagi semua penggiat industri pada 2021. 

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata garis panduan itu telah pun wujud sejak 2016 sebagai panduan kepada ahli akademik, penyelidik, doktor dan pengusaha industri untuk mematuhinya secara sukarela.

“Ia sebagai panduan asas dan etika ketika mereka menjalankan tugas atau penyelidikan. Selepas dikuatkuasakan kelak, garis panduan itu wajib dipatuhi oleh penggiat industri.

“Memandangkan teknologi terapi sel kini menarik minat banyak syarikat dan penyelidik, serta sedang berkembang pesat di dalam negara, KKM sebagai pengawal selia industri sentiasa meletakkan kepentingan dan keselamatan pesakit sebagai keutamaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Tahunan Ke-6 Persatuan Terapi Sel (MACT) 2018 di sini hari ini.

Menurut Lee, ia bagi mengelak berlakunya tuntutan berlebih-lebihan akan sesuatu produk ataupun penyelidikan yang membabitkan terapi sel sehingga mengelirukan orang ramai.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Lee berkata MACT sebagai NGO telah memainkan peranannya menggalakkan syarikat yang menjadi ahli MACT mengeksploitasi kemajuan dalam penemuan saintifik serta menterjemahkannya sebagai produk yang selamat dan berkesan di pasaran untuk memberi manfaat kepada pesakit.

Lee berkata penemuan Chimeric Antigen Receptor T cell (CAR-T) pada 2017 untuk rawatan leukemia dan limfoma oleh American Society of Clinical Oncology (ACSO) adalah contoh kejayaan besar dalam bidang itu. Selain Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat, ia turut diiktiraf oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA) pada tahun ini.

“Bagaimanapun, kosnya di Amerika dan Eropah bagi seorang pesakit mencecah USD475,000 (RM

1,987,011.80). Jadi saya gembira sebuah makmal tempatan turut membangunkan CAR-T dan baru sahaja menunjukkan keputusan yang baik mengenai rawatan ke atas 10 pesakit leukemia di Malaysia,” katanya.

Simposium sehari dengan tema, Cell Therapy for A Better Malaysia itu dihadiri penggiat industri, doktor, ahli akademik dan penyelidik dari seluruh negara.

Ia melibatkan perkongsian isu berkaitan penemuan terkini dalam teknologi terapi sel seperti penggunaan CD19  CAR-T Therapy untuk pesakit leukemia, pasaran terapi sel dan gen di Malaysia dan kegunaan sel stem dalam rawatan kecantikan.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018