Guna drone basmi pembiakan Aedes - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) membuang takungan air dalam bekas selepas merasmikan Program Gotong-Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2018 di Taman Saujana Seksyen 2 sini, hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan berhasrat memperluaskan penggunaan teknologi drone di semua Jabatan Kesihatan negeri di seluruh negara pada tahun hadapan dalam usaha membasmi pembiakan nyamuk Aedes dan wabak denggi.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia kerana penggunaan teknologi drone dilihat mampu membantu mengesan pembaikan nyamuk Aedes secara lebih efektif terutama di kawasan yang sukar diperiksa seperti di tempat tinggi termasuk di bahagian atap rumah.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, peruntukan pembelian drone berkenaan boleh dimohon menerusi kementerian menggunakan peruntukan di bawah Belanjawan 2019.

"Saya mengakui penggunaan drone untuk mengesan pembiakan nyamuk Aedes adalah sesuatu yang baharu dilakukan dan setakat ini hanya Jabatan Kesihatan negeri telah menggunakannya dengan pelaburan sekitar RM20,000 seunit.

"Memandangkan Kementerian Kesihatan diberikan sedikit penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2019, saya yakin Jabatan Kesihatan negeri akan mendapat peruntukan munasabah untuk membeli drone berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Gotong-Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Lebih 300 sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan di Taman Saujana Seksyen, Bukit Katil di sini dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Low Chee Leong.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata wabak denggi di negara ini mencatatkan penurunan kepada 62,974 kes atau sebanyak 17 peratus dalam tempoh 1 Jan hingga 3 Nov lepas berbanding 76,054 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah kematian akibat wabak berkenaan juga turut merekodkan penurunan daripada 108 orang atau sebanyak 33 peratus pada tahun ini berbanding 162 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

"Di Melaka, jumlah kes denggi dilaporkan dalam tempoh sama tahun ini juga merekodkan penurunan sebanyak 58 peratus kepada 547 kes berbanding 1,290 kes pada tahun lepas. Tiada kes kematian direkodkan akibat denggi di Melaka setakat ini berbanding satu kematian pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh sama tahun ini sebanyak 241 kes denggi direkodkan di Perlis, Kedah (1,650 kes), Pulau Pinang (4,500 kes), Perak (2,293 kes), Selangor (35,173 kes), Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (6,140 kes), Negeri Sembilan (1,371 kes), Melaka (547 kes), Johor (4,810 kes), Pahang (809 kes), Terengganu (408 kes), Kelantan (1,523 kes), Sarawak (586 kes), Sabah (2,828 kes), Wilayah Persekutuan (95 kes).

Dr Dzulkefly berkata penurunan kes denggi dan kematian akibat wabak berkenaan ekoran usaha berterusan yang dilaksanakan dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap bahaya Aedes dan langkah pencegahan yang perlu dilakukan selain Program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah laku (COMBI).

"Setakat ini sebanyak 3,082 COMBI telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan keanggotaan sukarelawan sebanyak 63,000 dan program ini akan terus dilakukan secara berterusan dan serius melibatkan pelbagai pihak terutama jawatan kuasa taman perumahan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata hasil siasatan laporan kes gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang akan dibentangkan  kepadanya minggu hadapan sebelum tindakan sepatutnya diambil.

"Siasatan kes berkenaan telah selesai dan ia akan dikemukakan kepada saya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk langkah seterusnya. Saya tidak boleh mendedahkan butir lanjut berkaitan tindakan yang akan diambil namun ia dilakukan mengikut bukti kukuh dan lunas undang-undang," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2