KUANTAN, 11 Nov (Bernama) -- Kualiti air Sungai Balok yang terletak berhampiran Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng di sini, menunjukkan peningkatan kualiti dalam tempoh enam tahun kilang itu beroperasi.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul berkata pemantauan yang dilakukan melibatkan sampel diperoleh daripada dua stesen pemantauan di sungai tersebut.
"Sampel air sungai itu yang diperoleh dari kawasan sumber adalah pada kelas 4, namun dapatan sampel yang melalui kawasan perindustrian mendapati ia meningkat kepada kelas 3.
"Ini kerana air dilepaskan adalah dirawat terlebih dahulu dengan teknologi canggih dan jumlah yang besar dilepaskan ke dalam sungai membantu meningkatkan kualiti air Sungai Balok," katanya.
Rosli berkata demikian semasa mengetuai delegasi JAS pada Pendengaran Awam Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP di sini, hari ini.
Beliau berkata sepanjang kajian dan pemeriksaan JAS terhadap Lynas, pihaknya mendapati operasi kilang pemprosesan nadir bumi itu mematuhi semua peraturan ditetapkan dan menunjukkan kesan positif kepada alam sekitar.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Nur Aiza Zakaria berkata tiada trend peningkatan diperoleh dalam penyakit barah, keradangan mata dan penyakit berkaitan respiratori atau pernafasan dalam kalangan penduduk Kuantan.
Beliau, bagaimanapun mengakui agak terlalu awal untuk bercakap mengenai barah kerana penyakit itu memakan masa bertahun-tahun sebelum dikesan, sedangkan Lynas baru beroperasi enam tahun.
Dalam isu Lynas, beliau berkata KKM mengambil data daripada 11 klinik kesihatan di Kuantan selepas menerima arahan untuk melakukan pemantauan berkaitan penyakit berkenaan.
"Tiada trend peningkatan dalam penyakit berkaitan respiratori dan keradangan mata kecuali pada 2013 yang berlaku akibat jerebu melanda negara.
"Kita juga membuat pemantauan jika berlaku keguguran spontan dalam kalangan ibu mengandung di kawasan sekitar, namun tidak ada data signifikan setakat ini," katanya.
Dr Nur Aiza menambah data itu, bagaimanapun tidak diuar-uarkan kepada orang awam kerana tiada arahan untuk berbuat demikian, namun KKM telah mengadakan siri jelajah kepada kakitangannya di Kuantan dan Terengganu berkaitan perkara tersebut.
Katanya KKM juga diminta menghasilkan kajian khusus kaitan kilang nadir bumi dengan barah, namun kajian itu memerlukan kos tinggi.
Pada sesi pendengaran awam itu juga, Pengarah Bahagian Pengurusan Kimia Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Hazlina Yon berkata kilang Lynas boleh disifatkan sebagai cemerlang dalam aspek pematuhan undang-undang.
Katanya DOSH melakukan lapan pemeriksaan ke LAMP dan laporan mendapati kemalangan yang berlaku di situ setakat enam tahun beroperasi kurang daripada 10 kes.
"Kemalangan berlaku adalah kemalangan yang boleh terjadi di mana-mana tempat kerja seperti jatuh ke dalam lubang dan tumpahan bahan kimia.
"Lynas juga memperoleh keputusan 5 dalam audit DOSH berkaitan bahan kimia dan ergonomik serta 4 untuk kebisingan dengan 5 adalah markah cemerlang," katanya.
Hazlina menambah Lynas juga mematuhi undang-undang berhubung pemasangan jentera, bahagian berkaitan talian paip dan menempatkan pekerja yang kompeten untuk menguruskan kerja berkaitan bahan kimia dan jentera.
"Lynas patuh kepada sistem audit dijalankan dan mengemukakan laporan penyelenggaraan jentera dan sentiasa melakukan penambahbaikan kepada teguran," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN