Pertimbang semula pembinaan hospital, klinik kesihatan di Sabah

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mahu cadangan untuk membina dan menaik taraf hospital dan Klinik Kesihatan di beberapa daerah di Sabah yang ditangguhkan sebelum ini akan dipertimbangkan semula pembinaannya.

Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) berkata beberapa hospital dan Klinik Kesihatan khususnya di luar bandar termasuk di daerah Ranau menghadapi kesesakan kerana pertambahan penduduk  selain tidak mempunyai ruang pengasingan untuk pesakit yang menghidapi penyakit berjangkit seperti Tibi.

"Saya menyeru agar Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dapat membawa perkara ini untuk diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat mengenai keadaan prasarana dan fasiliti hospital dan klinik di Sabah," katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata kerajaan dahulu telah membuat perancangan itu namun telah ditangguhkan akibat kekangan masalah kewangan yang dihadapi oleh negara pada ketika ini.

Sementara itu ADUN Lumadan Matbali Musah (UMNO-Lumadan) berharap peruntukan kepada Jabatan Air Negeri Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu iaitu sebanyak RM636.69 juta akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan Lumadan sejak sekian lama.

Beliau berharap di bawah pemerintahan kerajaan baharu ini akan dapat mengambil langkah yang terbaik untuk menangani masalah yang dihadapi di kawasan tersebut.

"Isu air sudah sinonim dengan kawasan Lumadan sejak sekian lama walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan namun ia masih berlarutan sehingga ke hari ini," katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018