Subsidi ubat, konsultasi pesakit luar di hospital awam kekal - Dzulkefly



KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan memberi jaminan subsidi ubat dan konsultasi bagi pesakit luar di klinik dan hospital kerajaan diteruskan dan kadar dikenakan kekal RM1 meskipun Skim Peduli Kesihatan B40 dilaksanakan.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bayaran RM5 juga dikekalkan untuk pesakit yang berjumpa doktor pakar.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, Dr Dzulkefly menegaskan tiada istilah ubat ‘kelas kedua’ bagi ubat-ubatan generik yang telah didaftarkan melalui kajian 'bioequivalence' dan 'availability' kerana ia mempunyai kualiti dan keberkesanan ubat inovator.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan kini dalam peringkat awal penyediaan kertas cadangan mekanisme pelaksanaan kawalan harga ubat-ubatan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Mekanisme kawalan yang dicadangkan ialah harga jualan siling kepada pengguna di semua saluran pendispensan yang dilihat paling sesuai untuk dilaksanakan dan selari dengan amalan antarabangsa,” katanya menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang).

Menurut Dr Dzulkefly, langkah itu secara tidak langsung dapat menyelaraskan harga ubat dan memastikan akses ubat-ubatan yang mampu milik kepada rakyat.

Katanya kementerian itu juga mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat dalam memperincikan mekanisme kawalan harga ubat-ubatan yang akan dilaksanakan kelak.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata kementerian sentiasa menggalakkan usaha untuk menggunakan ubat generik yang mampu milik dengan memberi keutamaan kepada ubat generik tempatan dalam perolehan ubat-ubatan bagi sektor awam.

Perolehan ubat-ubatan di Kementerian Kesihatan juga dibuat secara tender terbuka dan berpandukan kepada undang–undang dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.

Dzulkefly berkata pada 2017, peratus perolehan ubat generik berbanding inovator adalah sebanyak 53.6% dengan nilai perolehan RM1,311.8 juta.

Katanya daripada jumlah itu, 50.3% merupakan ubat generik buatan tempatan.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018