KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kegagalan orang ramai memahami perbezaan antara kesihatan mental dan penyakit mental dilihat antara faktor yang menyumbang kepada stigma dalam kalangan masyarakat sehingga penjaga dan penderita masalah mental menyisihkan diri mereka.
Stigma tersebut membuatkan individu berasa malu, lemah, tidak berdaya dan putus harapan. Tanggapan negatif sedemikian memberi kesan kepada individu yang menderita masalah mental selain melunturkan semangat keluarga untuk memberi sokongan fizikal dan emosi kepada mereka.
Pakar Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM), Dr Hazli Zakaria berkata masyarakat sering merangkumkan kedua-dua terminologi tersebut sedangkan terdapat perbezaan yang besar antara kesihatan mental dan penyakit mental.
“Orang ramai selalu menganggap mereka yang mengalami kemurungan dengan mereka yang mengalami tekanan adalah sama, seperti depress dan stress.
“Kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu. Ia berlaku hampir kepada semua orang apabila tekanan yang diterima itu melebihi daripada keupayaan mereka menanganinya,” katanya.
Dr Hazli berkata demikian kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mengharung Derita, Meneguk Kemanisan Dalam Ujian’ pada Bengkel Kembara Syifa’ Memahami dan Menangani Masalah Kesihatan Mental anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.
Menurutnya kesihatan mental boleh sahaja dialami oleh semua orang akibat masalah persekitaran seperti tekanan di tempat kerja, masalah dalam keluarga atau dibuli.
"Kumpulan itu sebenarnya belum mendapat penyakit mental, tetapi mental mereka berada pada tahap tidak sihat.
“Bagaimanapun, jika kita tahu dan sedar minda kita tidak sihat, sesuatu perlu dilakukan seperti mencari kembali keseimbangan contohnya dengan cara mengurangkan komitmen dengan kerja, meluangkan masa bersama keluarga atau pergi bercuti,” katanya.
Beliau berkata bagi sakit mental, walaupun boleh terdedah kepada sesiapa sahaja, tetapi terdapat faktor pendorong lain seperti mempunyai ahli keluarga yang mengalami penyakit mental, masalah semasa mengandung atau pengambilan dadah.
“Antara masalah penyakit mental serius adalah seperti psikosis, bipolar, kebimbangan melampau sehingga mereka tidak boleh membezakan antara realiti dan ilusi. Bagaimanapun mereka perlu didiagnosis terlebih dahulu sebelum disahkan mengalami sakit mental," tambah Dr Hazli.
Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Anita Abu Bakar pula berkata masyarakat perlu dididik supaya lebih prihatin dan celik terhadap isu kesihatan mental yang semakin meningkat.
“MIASA kini dalam fasa outreach supaya masyarakat dapat dididik mengenai kebenaran di sebalik penyakit mental bagi mengubah persepsi masyarakat dan mitos yang sering dilontar kepada pesakit mental.”
Menurutnya ia bukan penyakit yang perlu disembunyi dan masyarakat pula jangan mudah menghukum kerana tanpa sokongan tidak mudah untuk pesakit mental kembali pulih.
Ia juga boleh menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada profesional dan seterusnya memberi kesan kepada proses pemulihan dan menjejaskan kualiti kehidupan.
“Tanggapan sebagai gila, tidak siuman, berbahaya, ganas, kurang iman, tidak boleh bekerja, tidak boleh membuat keputusan dengan baik, malas, mengada-ngada dan sebagainya menyebabkan ramai daripada pesakit malu dan takut untuk menceritakan hal yang sebenar.
“Lama-kelamaan, apabila tidak dapat dibendung lagi, mereka akan menyisihkan diri, hidup dalam kemurungan dan paling menyedihkan hingga memilih kematian,” katanya sewaktu membentangkan kertas kerja ‘ Hadapi, Alami dan tangani Kesihatan Mental: Stigma, Diskriminasi dan Tanggungjawab Sosial.
Bengkel Kembara Syifa’ adalah susulan sambutan menggalakkan Program Kembara Syifa’ di Ikimfm yang diterbitkan sejak awal tahun ini dan bersiaran setiap hari Ahad, jam 6 petang.
Program yang mendapat sambutan positif pendengar itu membincangkan tajuk-tajuk berkenaan kesihatan mental.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN