KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersetuju untuk menyumbang ke arah mencapai kemampuan untuk berdikari dari segi bekalan ubat-ubatan dan vaksin seperti terkandung dalam "Deklarasi Jakarta".
Semua negara anggota bersetuju mengenai perkara ini selepas Mesyuarat Pertama Ketua Badan Kawal Selia Ubat-ubatan Nasional (NMRAs) di Jakarta baru-baru ini, kata kenyataan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia.
Dokumen itu menekankan ke arah meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui berdikari dalam keupayaan menghasilkan ubat-ubatan dan vaksin termasuk inovasi dan pembangunan industri perubatan dan vaksin domestik.
Negara anggota OIC juga bersedia untuk menyokong saranan BPOM untuk membentuk jawatankuasa pemandu dan kumpulan kerja yang akan membincangkan selanjutnya isu ubat-ubatan halal dan pengharmonian standard.
"Komitmen ini ditegaskan dengan merumuskan pelan tindakan yang mengandungi pelbagai program untuk mewujudkan kemandirian dalam pengeluaran ubat-ubatan dan vaksin," kata Ketua BPOM, Penny K. Lukito.
Pelan tindakan itu termasuk mengukuhkan fungsi penguatkuasaan dan kawal selia ubat-ubatan, membangunkan sistem yang efektif ke arah membasmi ubat palsu dan substandard serta menerajui pengeluaran ubat-ubatan dan vaksin.
Kerjasama dengan pengawal selia ubat-ubatan juga akan ditingkatkan melalui pertukaran maklumat dan meningkatkan kemampuan sumber manusia untuk menguatkan pengesanan, pencegahan dan tindak balas terhadap pengedaran ubatan-ubatan dan vaksin palsu dan substandard.
Selain itu, acara itu juga menampilkan perbincangan mengenai topik berkaitan ubatan-ubatan dan vaksin termasuk status sistem pengatur / kawalan dalam bidang perubatan, pentingnya peranan NMRA dalam memastikan ketersediaan ubat-ubatan yang selamat dan standard.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN