KKM kuatkuasa 'TUL' bagi sayur Romaine Lettuce tercemar dari AS

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan tindakan penguatkuasaan 'Tahan, Uji dan Lepas' (TUL) berkuatkuasa sejak 23 Nov lepas, bagi sayur Romaine lettuce yang diimport dari Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengenalpasti pengimport yang mengimport sayur Romaine lettuce dari AS dan syarikat terlibat dimaklumkan untuk menarik balik sayur itu dari pasaran mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13C(2), Akta Makanan 1983. 

“Hasil maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mengesahkan Malaysia mengimport sayur itu dari AS yang dilaporkan dicemari dengan bakteria patogenik Escherichia coli.

"Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen itu adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, manakala pihak penjual diminta menghentikan penjualan serta-merta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Nov lepas, portal akhbar Washington Post melaporkan seramai 32 orang dari 11 daerah di negara itu jatuh sakit akibat memakan sayur Romaine lettuce yang dicemari oleh bakteria berkenan.

Dr Mohd Hisham menjelaskan bakteria Escherichia coli merupakan sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan pada abdomen. 

"Dalam kes-kes yang tertentu, ia boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, orang tua atau orang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.

"Mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, loya, muntah dan sakit kepala setelah memakan sayur itu hendaklah segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital yang berdekatan,” katanya.

Tegasnya, KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan. 

Pengguna dinasihatkan menyemak label produk untuk mengenalpasti negara asal produk dan pengguna yang telah membeli sayur berkenaan, dinasihatkan supaya tidak memakannya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2