UiTM dan KUIM sedia kongsi kepakaran tubuh hospital universiti di Melaka

MELAKA, 30 Nov (Bernama) -- Dua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berminat berkongsi kepakaran masing-masing dalam bidang perubatan dan kejururawatan bagi merealisasikan hasrat pembinaan  sebuah  hospital universiti di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata dua IPT berkenaan adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dekat sini.

"UiTM dan KUIM antara institusi yang menyatakan minat mereka. Jawatankuasa telah dibentuk dan akan dikendalikan oleh Exco Kesihatan negeri, (namun) perkara ini masih dalam peringkat  perbincangan dan modulnya telah siap.

"Bagaimanapun kita masih belum membuat keputusan (mengenai) bangunan sama ada mengguna bangunan baharu atau mengguna tapak bangunan sedia ada," katanya selepas menyerahkan 75 katil dengan kos RM195,350 kepada Hospital Melaka, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong, pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Dr Amirullah Arshad dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijah Mohd Tan.

Media sebelum ini melaporkan Melaka bercadang membangunkan sebuah hospital universiti yang dijangka dapat mengurangkan 20 peratus kesesakan pesakit di hospital kerajaan di negeri ini.

Hospital universiti itu dijangka memberi manfaat kepada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan  (M40) dan akan ‘membebaskan’ lebih banyak ruang buat isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mendapat kemudahan kesihatan dan perubatan di hospital kerajaan.

Mengulas mengenai program serahan itu, Adly berkata sumbangan itu bagi menggantikan katil rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Beliau berkata setakat ini, Hospital Melaka mempunyai 1,091 katil dan penambahbaikan akan dilaksanakan  dari semasa ke semasa.

"Kita berharap agar penambahan katil ini akan memberi keselesaan dan memenuhi kehendak masyarakat setempat seterusnya menampung jumlah kemasukan pesakit yang meningkat,” katanya.

Pada masa ini, Melaka mempunyai tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018