Isu malnultrisi : Kerajaan bangunkan peta laluan kesejahteraan kanak-kanak kebangsaan



PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Kerajaan dalam proses membangunkan Peta Laluan Kesejahteraan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCWR) untuk menangani isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan mengambil berat isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak yang dibangkitkan dalam Global Nutrition Report 2018 yang menekankan isu kanak-kanak terbantut, masalah peningkatan penyakit anemia kalangan wanita dan masalah obesiti.

“Kerajaan dalam proses membangunkan peta laluan itu kerana menyedari bahawa isu yang diketengahkan dalam Laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tersebut bukan hanya melibatkan kanak-kanak di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Peta Laluan ini bertujuan menangani masalah pokok dan bukan simptom sahaja. Ia merangkumi intervensi asas, intervensi pencegahan, dan intervensi reaktif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata isu kanak-kanak terbantut dan berlebihan berat badan atau obes turut dibangkitkan dalam laporan Children Without oleh UNICEF yang memfokuskan kepada kanak-kanak yang tinggal di PPRT.

Selain kemiskinan, beliau berkata faktor lain yang menyebabkan keadaan tersebut ialah gaya hidup serta corak pemakanan yang tidak sihat (junk food).

Dr Wan Azizah berkata usaha membangunkan peta laluan itu masih dalam proses konsultasi antara agensi kerajaan.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah konsultasi bersama badan bukan kerajaan, kementerian yang terlibat dan seterusnya sesi town hall dengan masyarakat umum dalam masa terdekat.

“Konsultasi bersama kumpulan sasar juga penting agar mereka terlibat sama dalam pembentukan Peta Laluan ini,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata pada masa yang sama, kerajaan meneruskan usaha sedia ada termasuklah Pelan Tindakan Pemakanan Malaysia (NPANM) 2016 – 2025 yang merupakan NPANM siri ketiga yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pelan Tindakan ini merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk mencegah dan mengawal masalah pemakanan di kalangan penduduk negara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata komitmen itu mempunyai tiga objektif utama iaitu untuk meningkatkan status pemakanan penduduk, mengurangkan penyakit tidak berjangkit dan memastikan jaminan kebolehdapatan makanan.

Tinjauan Kebangsaan Institut Kesihatan Awam, ‘Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016’, melaporkan bahawa negeri yang dianggap antara yang termiskin seperti Kelantan mencatatkan sebanyak 34 peratus kanak-kanak terbantut manakala Terengganu sebagai antara negeri yang terkaya mencatatkan sebanyak 26 peratus kanak-kanak terbantut, merupakan yang kedua tertinggi dalam laporan tersebut.

Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Malaysia merupakan yang ketiga tertinggi dengan catatan sebanyak 24 peratus kanak-kanak yang bantut.

-- BERNAMA 

 






DOCTORS SAY


EXCLUSIVE

Teenage Pregnancy: Who Is To Blame?

(First of a two-part interview)
 

By Salbiah Said

PETALING JAYA, Dec 14 (Bernama) -- Research has shown that an average of 18,000 teenage girls in Malaysia get pregnant each year, 25 per cent or about 4,500 cases involved out-of-wedlock pregnancy.

read more ››

VIDEO HIGHLIGHTS

UMSC Consultant Speaks: Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 3


UMSC Consultant Speaks: Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 2

UMSC Consultant Speaks: Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 1