Ahli farmasi bantu kekang salahguna ubat komplementari

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan permintaan terhadap ubat-ubatan komplementari di negara ini.

Mungkin ini berikutan bertambahnya kesedaran orang ramai mengenai kesihatan atau mungkin juga kerana terdapat lambakan pelbagai ubat-ubatan di pasaran.

Mungkin ini berikutan bertambahnya kesedaran orang ramai mengenai kesihatan atau mungkin juga kerana terdapat lambakan pelbagai ubat-ubatan di pasaran.

Apatah lagi, banyak maklumat boleh diperolehi dalam talian, justeru orang ramai terdedah kepada pelbagai fakta yang tidak tepat atau palsu mengenai ubat-ubatan itu.

Malah banyak petua-petua yang dikatakan menjadi amalan turun-temurun bukan sahaja mudah diperolehi melalui carian internet malah dikomersialkan secara meluas dalam media sosial.

Malangnya pelbagai maklumat, petua mahupun ubat-ubatan tersebut tidak terbukti secara saintifik.

Malah, terdapat juga peningkatan minat terhadap keperluan pengambilan suplemen atau vitamin untuk pelbagai tujuan termasuk untuk kecantikan, menambah tenaga dan sebagainya.

Ramai yang tidak tahu atau sedar bahawa tidak semua orang memerlukan tambahan suplemen atau vitamin dan bahawa dos berlebihan boleh membahayakan hati dan buah pinggang.

Lebih membimbangkan aapabila ada ibu bapa yang akan membeli apa juga suplemen yang dikatakan boleh meningkatkan pencapaian akademik anak-anak mereka.

 

APAKAH UBAT KOMPLEMENTARI?

 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) istilah “ubat komplementari” atau “ubat alternatif” merujuk kepada amalan penjagaan kesihatan yang luas yang bukan sebahagian daripada tradisi sesebuah negara atau perubatan konvensional, dan tidak sepenuhnya bersepadu di dalam sistem penjagaan kesihatan dominan.

Antaranya termasuk, ubat-ubatan komplementari termasuk vitamin, mineral, pelbagai minyak bernutrisi dan ubat-ubatan herba.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyokong usaha untuk mengintegrasikan perubatan tradisional dan saling melengkapi dengan ubat-ubatan moden dan mengambil langkah bagi memastikan ubat-ubatan tradisional dan komplementari itu berkualiti tinggi dan selamat untuk para pengguna.

Menurut portal rasmi Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari KKM, kerajaan sedang berusaha membangunkan bidang berkenaan dengan lebih meluas memandangkan Malaysia mempunyai banyak sumber asli yang boleh dijadikan produk kesihatan.

Ubat-ubatan tradisional dan komplementari juga dikatakan akan menjadi komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara yang akan meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia.

 

PROGRAM CMED 

 

Menyedari kepentingan untuk sentisa mengetahui perkembangan terkini industri penjagaan kesihatan, Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) mengakui bahawa terdapat keperluan dalam pendidikan ahli farmasi mengenai bidang berkenaan agar dapat memenuhi harapan para pengguna Malaysia.

Justeru, MPS bekerjasama dengan Blackmores Institute untuk membangunkan kursus pembelajaran berstruktur iaitu program Complimentary Medication Education (CMed) untuk anggotanya.

Presiden MPS Amrahi Buang menjelaskan bahawa CMed adalah program pendidikan yang berkongsi perkembangan terkini ubat-ubatan komplementari, yang merangkumi kajian komprehensif mengenai vitamin, mineral, pelbagai minyak nutrisi dan ubat-ubatan herba.

Beliau menegaskan bahawa amat penting bagi ahli farmasi untuk tahu mengenai ubat-ubatan secara menyeluruh - kedua-duanya iaitu konvensional dan komplementari.

“Apabila pesakit cuba merawat diri sendiri, mereka mungkin tidak tahu bahawa akan berlaku interaksi antara komponen kimia ubat-ubatan dengan ubat komplementari, dan boleh membahayakan pesakit berkenaan.

“Ahli farmasi yang memahami interaksi antara suplemen dan ubat-ubatan akan mengambil kira pelbagai kemungkinan kesan sampingan dan faedah-faedah tambahan, yang membolehkan pesakit menguruskan kesihatan dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Amrahi, ahli farmasi yang melengkapkan dan lulus semua modul akan menerima akreditasi CMed, justeru meningkatkan kepakaran mereka mengenai subjek perubatan komplementari.

“Dengan pengetahuan seumpama itu, ahli farmasi dapat memberi nilai tambah kepada pengguna, menasihati secara holistik dan memberikan pendekatan terbaik untuk kesihatan mereka secara menyeluruh,” katanya.

Sehingga kini, lebih 400 ahli farmasi mendapat pentauliahan CMed setelah berjaya menyempurnakan semua modul, manakala lebih 200 lagi sedang menjalani kursus berkenaan.

Antara lain, para pengguna boleh merujuk kepada kumpulan ahli farmasi itu mengenai keperluan pemakanan mereka, cara mengurangkan kesan sampingan ubat-ubatan tertentu dan juga mengetahui interaksi umum ubat komplementari dan konvensional.

“Ramai pengguna boleh mendapat manfaat daripada ahli-ahli farmasi ini, sama ada yang berminat untuk menambah tenaga sehinggalah kalangan ibu hamil,” katanya.

 

MANFAAT DARIPADA PROGRAM

 

Seorang ahli farmasi komuniti Koo Chan Yee yang mempunyai akreditasi itu, mengakui pernah menyalah anggap bahawa ubat komplementari tidak berkesan untuk meningkatkan kesihatan.

Bagaimanapun pendapatnya berubah apabila melakukan penyelidikan sendiri mengenai makanan tambahan, lebih-lebih lagi setelah menyertai program CMed.

“Ubat-ubatan komplimentari menawarkan langkah pencegahan, rawatan penyakit dan juga mengurangkan kesan sampingan ubat-ubatan.

“Dalam pengalaman profesional saya, pesakit yang mengambil statin mendapat manfaat daripada suplemen CoQ10, iaitu dalam merawat kekejangan otot mereka,” katanya.

(Statin adalah sejenis ubat yang sering diberikan oleh doktor untuk membantu menurunkan tahap kolesterol dalam darah, manakala CoQ10 atau Coenzyme Q10 adalah antioksidan yang dihasilkan oleh badan dalam pertumbuhan dan penyelenggaraan sel.)

Koo mengakui bahawa dengan pengetahuan yang diperolehi daripada program itu, beliau kini lebih bersedia untuk memberi nasihat tentang dos tambahan yang betul untuk memastikan hasil yang positif, kerana ramai pengguna tidak sedar bahawa dos ubat komplementari memainkan peranan besar dalam keberkesanannya.

Orang ramai boleh melayari www.blackmores.com.my/cmed untuk mengetahui senarai ahli farmasi yang mempunyai akreditasi CMed di seluruh negara.

Ahli farmasi yang berminat dalam program itu boleh mendapatkan lebih banyak maklumat dari laman sesawang www.blackmoreinstitute.org atau menghubungi MPS.

 

Diterjemahkan oleh Sarimah Othman

BERNAMA

 

 


 






DOCTORS SAY


EXCLUSIVE

Teenage Pregnancy: Who Is To Blame?

(First of a two-part interview)
 

By Salbiah Said

PETALING JAYA, Dec 14 (Bernama) -- Research has shown that an average of 18,000 teenage girls in Malaysia get pregnant each year, 25 per cent or about 4,500 cases involved out-of-wedlock pregnancy.

read more ››

VIDEO HIGHLIGHTS

UMSC Consultant Speaks: Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 3


UMSC Consultant Speaks: Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 2

UMSC Consultant Speaks: Fatty Liver, The Silent Epidemic Part 1