Kanak-kanak tanpa dokumen turut diberi imunisasi - Menteri Kesihatan



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hari ini menjelaskan perkhidmatan imunisasi turut diberikan kepada semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak tanpa dokumen di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun, kanak-kanak yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sebagai warganegara akan dikenakan bayaran perkhidmatan imunisasi berdasarkan Pelaksanaan Caj Fi Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014. 

"Caj bayaran yang dikenakan kepada kanak-kanak yang tiada dokumen adalah sebanyak RM40 untuk pendaftaran, perundingan dan ubatan (untuk lima hari) dan tambahan RM40 untuk imunisasi. 

"Perkhidmatan vaksinasi ini disediakan di semua fasiliti kesihatan KKM kecuali di Klinik Komuniti," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang meminta kementerian menjelaskan prosedur untuk memastikan kanak–kanak yang lahir di Malaysia tetapi tidak memiliki dokumen lengkap seperti surat beranak  diberikan vaksin.

Menurut beliau, fi perkhidmatan tidak terpakai sekiranya anggota kesihatan menjalankan aktiviti outreach di lokasi tahanan imigresen atau aktiviti mengawal wabak penyakit. 

"Dalam memastikan semua kanak-kanak diberi vaksinasi, aktiviti outreach dijalankan oleh pihak KKM secara meluas terutamanya dalam kawalan wabak. Antara aktiviti kawalan ini ialah pencarian kes yang bergejala serta pencarian kanak-kanak yang cicir imunisasi.

"Di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit juga, dalam keadaan berlakunya wabak penyakit yang boleh dicegah dengan imunisasi, imunisasi diberikan kepada semua kanak-kanak yang layak secara percuma," katanya, menambah golongan anak-anak ekspatriat yang datang ke klinik dikenakan caj RM40. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian turut mengalu-alukan semua pihak termasuk badan antarabangsa dan organisasi korporat yang mahu membantu kerajaan dari segi sokongan dana dalam meluaskan liputan imunisasi.

"Memang kami tidak dapat lakukan (imunisasi) untuk semua kerana kekangan kewangan. Tapi saya yakin ketika kewangan mengizinkan, kita akan dapat perluas kepada semua, kalau lihat kanak-kanak tiada dokumen, pendatang asing tanpa izin dan pelarian, kesemua ini pada saya potensi besar untuk cetuskan wabak.

"Saya pandang serius perkara ini, kalau terkena 12 penyakit yang kita imunisasikan, kos rawatannya jauh lebih besar, contohnya satu suntikan untuk difteria sahaja kira-kira RM500, bayangkan kalau ia (wabak) berlaku akan menyebabkan kewangan kerajaan meningkat, kita perlu fikirkan kepentingan masa panjang dengan memberikan imunisasi agar kos menangani itu dikurangkan," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2