Metadon Rawatan Secara Sukarela Untuk Penagih Dadah

Ketua Penyelaras Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abdul Rashid. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Kurniawati Kamarudin

Rawatan dadah gantian Metadon, juga dikenali sebagai MAT (Medication Assisted Treatment) dilaksanakan di negara ini hampir 13 tahun lalu.  MAT membantu ramai penagih dadah jenis Opioid memulakan hidup baharu dan bebas daripada pengaruh dadah.

Rencana pertama daripada tiga siri ini mengupas pelaksanaan metadon di negara ini.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Apabila rawatan gantian dadah, metadon diperkenalkan sekitar 2005, banyak pihak terutama masyarakat umum memperkatakan mengenainya.

Kekeliruan tentang fungsi metadon menyebabkan ada yang beranggapan cecair menyerupai air sirap itu boleh menyebabkan penagih dadah mengalami ketagihan terhadap ubat tersebut.

Pandangan itu mungkin timbul kerana pesakit perlu bergantung kepada metadon yang biasanya diambil setip hari.

Setelah 13 tahun dilaksanakan secara meluas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di klinik-klinik kerajaan, swasta dan fasiliti kerajaan lain, ternyata metadon dapat membantu kalangan penagih yang sebelum ini bergantung kepada dadah, keluar daripada ketagihan bahan terlarang itu.

Kejayaan terbesar hasil pelaksanaan metadon adalah apabila dapat mengurangkan jumlah pesakit HIV/AIDS dalam kalangan penagih dadah hingga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai amalan terbaik bagi program pengurangan kemudaratan.

Jika dahulu 80 peratus kes terbaharu HIV berpunca daripada penggunaan dadah, statistik terkini KKM menunjukkan 96 peratus kes baharu HIV berpunca daripada golongan homoseksual dan biseksual serta jangkitan daripada hubungan seksual lelaki dan wanita.

 

PROGRAM MAKIN SURAM?

Bagaimanapun pelaksanaan metadon terutama di fasiliti kerajaan seperti di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan di penjara seluruh Malaysia dikatakan agak suram berbanding pada peringkat awal pelaksanaannya.

Menurut Ketua Penyelaras Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abdul Rashid, sekarang ini didapati peluasan program metadon hanya berlaku di klinik kelolaan KKM sahaja.

Sehingga kini, terdapat hampir 500 buah klinik dan fasiliti kerajaan termasuk di bawah AADK dan insitusi penjara yang memberikan khidmat farmasi metadon di seluruh negara.

“Sekarang kita lihat program metadon tidak begitu menarik, pesakit di fasiliti AADK terutamanya di klinik Cure And Care (C&C) yang menawarkan rawatan secara sukarela menggunakan metadon kepada pesakit berkurangan, begitu juga di penjara,” Dr Rusdi kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau memberi contoh, jika dahulu C&C Sungai Besi pernah menerima pesakit sekitar 300 orang tetapi kini jumlah itu berkurangan iaitu kira-kira 20 hingga 30 pesakit sahaja.

“Jika dahulu, program metadon nampak meluas melalui klinik C&C tapi sekarang agak perlahan.

“Kita berharap program ini dapat dikembangkan sebab klinik C&C yang dijalankan AADK melalui rawatan metadon mendapat sambutan menggalakkan. Pesakit pun lebih menyukai konsep ini kerana ia secara sukarela tanpa paksaan berbanding yang dijalankan di pusat pemulihan,” katanya.

Menurut statistik Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, klinik C&C di bawah AADK yang menyertai program metadon hanya tujuh buah iaitu Klinik C&C Bukit Mertajam (Pulau Pinang), C&C Bandaraya Ipoh (Perak), C&C Sungai Besi dan San Peng (Kuala Lumpur), C&C  Tampin (Negeri Sembilan) serta C&C Tampoi dan Taman Dahlia (Johor).

Pusat AADK melaksanakan program metadon di 18 lokasi di seluruh negara sementara program di penjara pula melibatkan 14 buah penjara.

 

RAWAT DALAM KOMUNITI

Menariknya, program metadon secara sukarela di klinik kerajaan, swasta mahupun klinik C&C membolehkan mereka yang menyertainya mendapat rawatan di dalam komuniti.

Mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain dengan bekerja, berkeluarga mahupun belajar kerana rawatan terbaik adalah penagih dadah mesti bersama masyarakat.

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang terlibat dalam program metadon mendapati 80 peratus pesakit masih kekal menjalani rawatan selepas setahun.

“Ini adalah satu pencapaian yang bagus kerana adalah sangat penting untuk mereka kekal dalam rawatan itu. Jadi kita boleh rawat penyakit berjangkit yang dihidapi seperti HIV dan memberi kaunseling secara berkesan.

“Dengan cara ini kita dapat memberi kualiti kehidupan yang bagus kepada mereka di mana mereka masih boleh tinggal bersama isteri dan anak-anak, boleh bekerja dan menyumbang kepada ekonomi negara,” tambah Dr Rusdi.

Apabila mereka mendapatkan rawatan metadon dan tidak bergantung kepada dadah, kehidupan mereka menjadi lebih positif dengan tidak lagi melakukan jenayah seperti ragut untuk mendapatkan wang membeli dadah.

“Secara tidak langsung, dapat mengurangkan kesesakan di dalam penjara akibat perlakuan jenayah mereka,” tambah beliau.

 

PESAKIT KRONIK

Seperti pesakit kronik darah tinggi dan kencing manis, mereka yang ketagihan dadah opioid juga adalah pesakit kronik dan perlu mengambil ubat seumur hidup.

Menurut Dr Rusdi, ini berlaku apabila “pusat keseronokan” di dalam otak yang dikenali sebagai "reward centre” (di dalam bahagian sistem limbik di dalam otak) mereka rosak dan perlu diperbetulkan menggunakan rawatan seperti metadon atau ubatan lain antaranya buprenorphine dan naltrexone selain ditambah dengan kaunseling.

“Ia perlu berterusan sampai bila-bila walaupun dah berhenti mengambil ubat metadon atau buprenorphine selepas beberapa tahun. Mereka tetap perlu menjalani kaunseling selama-lamanya kerana buat masa sekarang belum ada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan sepenuhnya ketagihan ini.

“Kita bagi rawatan metadon sebab nak cegah komplikasi terutama penyakit berjangkit seperti HIV, hepatitis dan perlakuan jenayah,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, terdapat limitasi bagi program metadon iaitu kesan sampingan kepada pesakit terutamanya yang mengambil ubat HIV.

Berlaku tindak balas antara ubat HIV dengan metadon, menyebabkan pesakit perlu mengambil metadon dalam dos yang tinggi iaitu 40 mililiter(ml) atau 200 miligram(mg) setiap hari.

Interaksi ubat itu menyebabkan doktor terpaksa menambah dos kerana tidak mencukupi untuk melawan kesan giannya terhadap heroin.

“Bagi mereka yang tidak mengambil rawatan HIV, dos standard individu adalah antara 12ml hingga 20ml atau 60mg hingga 100mg.

“Terdapat kesan sampingan apabila ambil metadon dalam dos yang tinggi seperti sukar membuang air besar, rasa mengantuk berpanjangan, kurang tenaga kelelakian selain kadang kala menyebabkan jatung berdegup tidak sekata yang boleh mengakibatkan serangan jantung,” jelasnya.

Beliau berkata, untuk jangka masa panjang, jika doktor terpaksa memberikan dos yang tinggi kepada pesakit akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan kerana membayar untuk kos metadon yang lebih tinggi.

 

PERLU UBAT ALTERNATIF

Mereka yang mengambil ubat HIV memerlukan ubat alternatif bagi menggantikan metadon untuk mengelakkan kesan sampingan.

Ubat buprenorphine paling sesuai diberikan kepada pesakit dadah kerana ia tidak berinteraksi dengan ubat HIV.

“Buat masa ini ubat alternatif tidak disediakan di klinik kerajaan, hanya di klinik swasta dan PPUM.

“Jadi kita harap ubat alternatif ini dapat diberikan juga di klinik kerajaan agar pesakit mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan terbaik,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, pihak UMCAS juga sedang menjalankan kajian untuk satu lagi rawatan iaitu ‘naltrexone implant’ yang sudah digunakan di luar negara untuk rawatan ketagihan alkohol dan dadah opioid.

Sebelum ini ubat naltrexone untuk mengatasi ketagihan dadah opioid diberikan dalam bentuk pil dan yang terbaharu ia ditanam di dalam badan dan akan kekal selama tiga bulan.

“Naltrexone Implant ada di Australia, Rusia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia masih baharu di negara kita dan belum didaftarkan. Ini antara alternatif baharu untuk merawat ketagihan dadah.

“Kelebihan implant adalah ia boleh merawat mereka yang mengambil pelbagai jenis dadah,” katanya,

Kira-kira 70 hingga 80 peratus golongan yang mengambil dadah adalah mereka yang mengambil pelbagai jenis dadah bukan sahaja opioid tetapi juga dadah sintetik seperti syabu, alkohol dan ubat tidur.

Satu kajian rintis dijalankan mulai November di Permatang Pauh, Pulau Pinang bersama KKM bagi mendapatkan data lengkap dan dijangka siap dalam tempoh satu tahun.

“Keputusan daripada kajian tersebut amat penting sebelum boleh didaftarkan di negara ini sebagai salah satu alternatif baharu untuk pesakit ketagihan dadah,” katanya.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2