Prihatin Nasib Pesakit Kanser Payudara Metastatik

Presiden Breastcancer Welfare Association (BCWA), Ranjit Kaur. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

Kadar kes kematian akibat kanser di Malaysia adalah 61 peratus yang dianggap tinggi memandangkan negara ini mempunyai kemudahan kesihatan moden.

Bahagian akhir daripada dua bahagian ini membincangkan pengalaman penghidap kanser payudara metastatik serta bantuan sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Seorang pakar onkologi memberitahu saya agar balik sahaja ke rumah dan banyakkan berdoa. Buat apa yang saya suka, buat juga wasiat saya, “ Chang Chu San, 55.

Pengalaman ini adalah antara kisah pahit beliau sewaktu cuba mendapatkan rawatan untuk penyakit kanser metastatik di sebuah pusat kesihatan awam.

Bekas penjawat awam ini menderita kanser payudara selama 10 tahun. Kansernya kemudian merebak kepada peringkat mestatik empat tahun lalu.

Beliau berkongsi pengalamannnya dengan media dalam forum yang bertajuk “Equitable Public Access to Cancer Care: A Patient’s Perspective” yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Apabila gagal mendapatkan rawatan di pusat kesihatan awam itu, Chang tidak putus asa tetapi pergi pula ke pusat kesihatan awam tetapi apabila mendapati penyakit kansernya sudah berada di peringkat yang teruk, beliau diarah berjumpa dengan doktor biasa dan bukannya pakar onkologi.

Doktor berkenaan memberitahu Chang beliau akan diberi rawatan hanya berdasarkan laporan awal tanpa perlu menjalani sebarang imbasan atau biopsi.  

“Jadi saya tak ada pilihan selain pergi ke hospital swasta, menggunakan wang insurans dan wang sendiri, “ kata Chang.

 

DAPAT BANTUAN

Di sebalik cabaran hebat yang terpaksa dilaluinya, wanita berhati waja ini menganggap dirinya bernasib baik kerana masih mampu membuat kajian tentang penyakitnya dengan menggunakan internet. Beliau juga mendapat bantuan daripada Pink Inspirers untuk membantunya. Chang adalah orang awal yang mengasaskan kumpulan ini.

Pink Inspirers, kumpulan sokongan sukarelawan berusaha untuk menangani keperluan serta kebimbangan wanita yang menghidap kanser payudara metastatik (MBC) dan ia diasaskan presiden Breastcancer Welfare Association (BCWA), Ranjit Kaur.

Menurut Chang beliau amat gembira kerana rawatan yang diterima setakat ini mampu meningkatkan kualiti kehidupannya.

“Amat gembira kerana saya juga dapat balik bekerja. Sebenarnya saya memerlukan wang kerana rawatan kanser yang berterusan,” tambahnya.

Kanser payudara metastatik adalah situasi berlaku apabila kanser telah merebak ke bahagian lain tubuh. (Untuk mana-mana kanser, apabila kanser merebak ke kawasan baharu, ianya masih dinamakan selepas bahagian tubuh di mana kanser itu bermula).

Matlamat rawatan adalah untuk menghentikan atau memperlahankan pertumbuhan kanser atau untuk mengurangkan gejala akibat pertumbuhan itu.

 

PERKASA WANITA YANG MENGHIDAP KANSER METASTATIK

Penghidap kanser wanita yang menanggung derita kanser payudara metastatik (MBC) memerlukan sokongan psikososial.

Menurut Ranjit ramai yang tidak dapat menghayati program yang ada kaitan dengan kanser payudara, iaitu ‘Pink October fiesta’ yang kegiatannya diadakan sepanjang bulan berkenaan.

"Mereka tidak selesa untuk berada bersama mereka yang menghidap penyakit kanser peringkat awal dengan menyatakan ‘Saya sudah pulih dan saya boleh teruskan kehidupan.”

"Jadi kami mulakan pasukan The Pink Inspirers, untuk memperkasakan wanita yang menghidapi kanser payudara metastatik di negara ini. Kami mahu mereka hidup dengan bermaruah tinggi dan dapat menangani perjalanan hidup mereka dengan sebaik-baiknya, “ jelas Ranjit.

Antara lain, pasukan ini menyediakan latihan sokongan rakan sebaya serta bagaimana menghadapi rawatan, terutamanya kesan sampingan.

 

MENCARI PENYELESAIAN PRAKTIKAL

Untuk mencari penyelesaian praktikal kepada kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat termasuk rawatan kanser, Ketua Eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib mencadangkan kerajaan memperkenalkan Insurans Kesihatan Kebangsaan.

Skim insurans itu, kata beliau perlu meliputi semua orang dan bukan hanya kumpulan B40.

Beliau turut mencadangkan sedikit pendapatan cukai daripada alkohol dan tembakau disalurkan ke dalam dana penjagaan kesihatan.

“Kedua-dua bahan itu turut menjadi punca masalah kesihatan, jadi mengapa tidak kita gunakan wang yang banyak itu untuk manfaat membiayai program promosi kesihatan, dadah inovatif dan paling penting rawatan lebih baik untuk sistem penjagaan kesihatan?” beliau mencadangkan.

Kerajaan juga, kata beliau perlu melabur dalam inovasi dan bukan semata-mata mesin dan peralatan moden tetapi juga memodenkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata hospital di seluruh negara menggunakan sistem yang berlainan dan perisian yang berbeza yang menyukarkan pemindahan maklumat pesakit dari satu fasiliti kepada fasiliti yang lain.

 

MENENTUKAN DANA 

Azrul turut menekankan betapa pentingnya supaya sistem penjagaan kesihatan tidak meminggirkan golongan yang berhak mendapatkan perkhidmatan ini.

Beliau mendakwa keputusan membiayai rawatan atau pengubatan kini berdasarkan hujah kos.

Sekiranya kos pengubatan untuk merawat seseorang yang menghidap penyakit tertentu jumlahnya boleh merawat lima atau enam pesakit lain yang menghidap penyakit yang berbeza atau kanser yang berlain atau tahap kanser yang berbeza, lazimnya wang akan digunakan untuk kes yang melibatkan ramai pesakit tadi.

“Ini adalah hakikatnya dan untuk itu kita perlu melakukan sesuatu supaya kadar kematian ini dapat dikurangkan. Usaha juga perlu diperhebatkan supaya pelaburan lebih banyak dibuat untuk pesakit mendapatkan rawatan yang lebih baik untuk jangkauan hayat yang lebih panjang., “tegasnya.

Azrul mahu penghidap kanser dan mereka yang berjaya melalui rawatan kanser supaya lantang menyuarakan isu mereka kepada kerajaan baharu.

“Memang ada isu tetapi ia memerlukan mereka yang paling banyak menanggung kesannya tampil untuk menyuarakan harapan dan gesaan mereka supaya penghidap kanser tahap 3 dan 4 atau kanser payudara metastatik turut diberi peluang mendapatkan rawatan yang sewajarnya, “ kata Azrul.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2