KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 21 sampel cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah pun menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan.
"Hasil pemantauan KKM dari Januari lalu hingga kini, 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam telah dianalisis dan didapati 21 sampel cili (4.2 peratus) tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak dan tindakan penguatkuasaan telah pun dijalankan.
"KKM akan meneruskan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi akta-akta berkenaan dan menjadi tanggungjawab pihak terlibat bagi memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.
Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya.
Sekiranya mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat dan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan cili merah Vietnam dikesan diseludup masuk dan dijual secara berleluasa di seluruh pasaran negara meskipun kerajaan telah menggantung import permit (IP) bahan komoditi berkenaan sejak 14 Sept lalu.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN