Banting 'Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok' mula dipasang di kawasan pejalan kaki oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai usaha memastikan ibu negara bebas asap rokok menjelang 2045.
Mulai 1 Januari depan, Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini.-
-fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Sakini Mohd Said
Seperti diduga, rokok sekali lagi menimbulkan kontroversi dan mencetuskan perdebatan hangat masyarakat sebaik sahaja Kementerian Kesihatan mengumumkan peluasan kawasan awam untuk diwartakan sebagai tempat larangan merokok. Apakah masalahnya, sedangkan ia merupakan isu kesejahteraan masyarakat?
Pertama daripada rencana dua siri mengenai penguatkuasaan semua premis makanan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jan 2019.
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bermula 1 Jan 2019, sama ada suka mahupun tidak, semua restoran bertutup, berhawa dingin, kedai makan serta warung berkonsep terbuka termasuk yang beroperasi di tepi jalan di seluruh negara akan dikuatkuasakan sebagai kawasan larangan merokok serta merta.
Langkah itu merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, yang diluluskan kerajaan dengan tujuan penting untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.
Penguatkuasaan tersebut bermakna setiap pemilik premis makanan bertanggungjawab mempamerkan tanda larangan merokok, tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, serta memastikan tiada individu yang merokok di kedai makan masing-masing termasuklah rokok elektronik, vape dan shisha yang mengandungi nikotin.
Sesiapa yang masih berdegil, enggan bekerjasama atau gagal mematuhi peraturan tersebut, tindakan bukan sahaja akan diambil terhadap perokok tetapi juga pengusaha restoran. Perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Manakala pemilik premis makanan yang tidak mempamer tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan dan bagi kesalahan gagal memastikan pelanggannya tidak merokok akan didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.
Bagaimanapun, KKM akan terlebih dahulu menggunakan pendekatan memberi amaran dan pendidikan kepada perokok dan pemilik restoran yang ingkar sepanjang enam bulan pertama pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dipetik berkata bahawa saman terhadap perokok yang masih berdegil merokok di premis makanan hanya akan dikeluarkan selepas tempoh berkenaan.
“Sepanjang tempoh (enam bulan) itu, kami akan bagi amaran lisan kepada perokok yang merokok di restoran atau premis makanan berkonsep terbuka atau restoran tanpa penyaman udara,” katanya dalam satu laporan media.
KOMITMEN KERAJAAN
Hakikatnya, bukan mudah perjalanan yang ditempuhi KKM dalam usaha mengangkat atau meningkatkan kualiti kesihatan orang ramai keseluruhannya sebaik sahaja peraturan itu diumumkan pada Okt 2018.
Kecaman demi kecaman, herdikan dan kata-kata kesat dilontarkan kepada KKM oleh perokok tegar menerusi pelbagai medium, menentang pelaksanaan undang-undang yang dilihat mengekang kebebasan mereka untuk terus-menerus mengamalkan tabiat tidak sihat itu.
Dikatakan hak perokok dianaktirikan sedangkan merokok selepas makan adalah budaya masyarakat negara ini sejak sekian lama dan mereka tidak boleh dipersalahkan kerana banyak lagi pencemaran lain seperti asap kenderaan yang berisiko kepada kesihatan sejagat.
Walhal, persoalan paling penting adalah sejak bila pula merokok atau aktiviti yang mendedahkan orang ramai kepada bahaya asap rokok dikategorikan sebagai budaya di negara kita?
Paling menjengkelkan apabila ada bantahan daripada pengusaha restoran dan kedai makan yang tidak berpuas hati dengan peraturan tersebut hanya disebabkan bimbang akan menjejaskan pendapatan mereka.
Satu surat terbuka Akademi Perubatan Malaysia yang ditandatangani 30 persatuan perubatan, mewakili majoriti pakar kesihatan di negara ini bertujuan menyatakan sokongan kepada pengumuman peraturan tersebut turut menyentuh mengenai isu kebimbangan penjanaan pendapatan premis perniagaan.
“Sering kita mendengar kenyataan bahawa larangan tempat merokok akan memberi impak negatif kepada perniagaan dari sudut ekonomi. Hakikatnya, ia tidak berlaku kerana ada bukti yang menyatakan sebaliknya.
“Di England, perniagaan restoran berkembang sejak larangan merokok diperkenalkan. Pengusaha meningkatkan kualiti makanan serta berusaha menarik minat pelanggan yang berkeluarga terutama dengan anak yang masih kecil.
“Sebelum itu, golongan berkeluarga akan mengelak masuk restoran kerana anak kecil akan terdedah kepada asap rokok,” antara isi kandungan surat berkenaan.
TIDAK GOYAH
Kenyataan ini turut diakui oleh seorang pemilik Kafe Hirup Sedut, Shazul Khuzairi Zulkifli, 33, semasa ditemu ramah Bernama melalui telefon baru-baru ini.
Beliau yang mengusahakan kafe tersebut di Kota Tinggi, Johor sejak empat bulan lepas berkata, perniagaannya tidak terjejas walaupun menetapkan syarat tidak boleh merokok di premis miliknya.
“Saya percaya rezeki ini datang dari Allah. Apabila kita utamakan kesihatan pelanggan secara keseluruhan, setakat ini perniagaan saya tidak mengalami masalah.
“Hanya perokok yang pertama kali datang ada tunjuk muka dan pertikaikan tetapi selepas itu mereka sudah boleh terima dan mematuhinya.
“Bagi saya, kebanyakan restoran yang beri pelbagai alasan mengenai pelaksanaan peraturan tersebut adalah mereka tidak mencuba tetapi sudah risau dan tidak yakin,” katanya.
Sememangnya, larangan merokok di tempat awam merupakan hadiah amat berharga buat perokok pasif (seseorang yang tidak merokok tapi menghidu asap rokok) atau orang awam yang selama ini terpaksa ‘redha’ dengan situasi tidak menyenangkan semasa menikmati makanan di tempat awam.
Malah, kelegaan itu bertambah apabila KKM sedikit pun tidak goyah biarpun berhadapan serangan demi serangan oleh pelbagai pihak yang menentang.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dengan lantang menegaskan pendirian yang mendahulukan dan mengangkat kepentingan orang awam serta tidak bersedia untuk berkompromi di atas perkara tersebut.
Kesihatan orang awam diutamakan malah beliau tidak bimbang akan kehilangan undi pada pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2019, susulan cadangan larangan merokok di premis makanan yang dikeluarkan kementeriannya.
“Ada sahabat yang menegur saya mengatakan tahun hadapan (2019), tahun pemilihan (parti), saya tidak akan dapat undi mereka, tak apa. Biar saya kalah kerana mendirikan prinsip menjamin kesihatan rakyat,” beliau dipetik berkata ketika sesi penggulungan pimpinan nasional di Konvensyen Nasional Amanah 2018.
Ini kerana, adalah menjadi tanggungjawab kementeriannya untuk memastikan orang awam selamat termasuklah kanak-kanak dan bayi.
HAK?
Justeru, cukup-cukuplah mempolemikkan perihal hak kerana selama mana orang awam yang tidak merokok hanya perlu menghormati hak perokok sedangkan mereka juga mempunyai hak untuk menikmati makanan dalam keadaan selamat, selesa dan tidak terancam bahaya kesihatan.
Penyelaras Inisiatif @SmokeFreeMY Muhammad Sha'ani Abdullah berkata hak ditakrifkan apabila seseorang itu melaksanakan hak, dia tidak mencabul hak orang lain. Bagaimanapun, apabila individu itu merokok di tempat awam, dia sebenarnya mencabul hak asasi manusia lain yang tidak merokok kerana mendedahkan mereka kepada mudarat asap rokok.
Orang ramai perlu mengetahui bahawa, asap rokok mengandungi kira-kira 4,000 bahan kimia beracun seperti tar (bahan untuk membuat jalan raya), ammonia (bahan dalam pencuci lantai) dan napthylamine (ubat gegat) yang boleh memudaratkan perokok dan orang lain yang menyedutnya.
“Dari segi kesihatan, perokok harus menghormati dasar awam seperti larangan merokok di tempat awam. Justeru, amat wajar semua restoran dan warung terbuka disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok.
“Ini kerana Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Rangkakerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) sejak 2005 telah berjanji selaras dengan WHO FCTC (Artikel 8) untuk melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.
“Langkah kawalan tembakau dilaksanakan melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1985,” katanya.
Malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kenyataan medianya menyambut baik keputusan tegas larangan merokok di premis makanan dengan mengambil kira faktor kesihatan awam seiring Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 untuk memastikan kehidupan yang sihat dan mempromosi kesejahteraan untuk kesemua peringkat usia.
Sokongan Suhakam sekali gus menafikan dakwaan mana-mana pihak yang menggunakan isu hak asasi untuk menghalang pelaksanaan peraturan itu.
ZON MEROKOK
Berkaitan sesetengah pengusaha yang mencadangkan untuk memperkenalkan kawasan khas merokok di dalam premis, Muhammad Sha'ani berkata: “Bila ada undang-undang mengenai kesihatan awam iaitu dilarang merokok di tempat awam, kita tidak boleh ada pengecualian.
“Kalau ada pengecualian, itu bemakna kita mengambil mudah undang-undang tersebut. Jadi, kalau ada tempat sudut merokok sebenarnya kita sendiri melanggar objektif undang-undang itu.
“Kita harus memahami apa itu kawasan tertutup. Dari segi istilah WHO, sebarang tempat di mana ada bumbung atau dinding, ia akan dianggap tertutup dan merokok di dalamnya (walaupun ada zon khas) boleh memudarat kesihatan orang awam,” katanya.
Harus diingat, mematuhi peraturan adalah tanggungjawab kita semua termasuk peniaga dan mereka tidak ada alasan untuk tidak sedar mengenai peraturan ini. Lagipun, apa gunanya hanya menginginkan tampuk kepimpinan kerajaan baharu tetapi sikap masyarakat masih di takuk lama.
Syabas kepada Menteri KKM, persatuan perubatan serta aktivis anti perokok yang sedikit pun tidak goyah melaksanakan ‘cadangan tidak popular’ ini demi kesihatan sejagat manusia secara keseluruhannya.
Disunting oleh Sarimah Othman
BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN