Semua Pihak Perlu Patuh Larangan Merokok

Poster 'Dilarang Merokok' ditampal di sebuah restoran di Ampang, Selangor bagi menyahut seruan kerajaan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Jan 2019. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Sakini Mohd Said

Suara bantahan segelintir persatuan pengusaha kedai makan berhubung pelaksanaan peluasan larangan merokok di semua restoran dan warung termasuk di tepi jalan semakin hangat kedengaran. Pelbagai alasan diberikan bagi 'menghalalkan' matlamat untuk membenarkan tabiat tidak sihat itu diamalkan di premis mereka.

Bahagian akhir daripada rencana dua siri mengenai penguatkuasaan semua premis makanan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jan 2019.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Perasaannya seolah-olah sedang menikmati manisan. Nikmat sangat rasanya dan tidak tahu bagaimana hendak digambarkan. 

“Memang dah jadi tabiat selepas makan, tangan mesti gatal ambil rokok, nyalakan dan terus hisap,” kata Uzaimi Mohd Hassan, 22, kepada Bernama ketika diajukan soalan berkaitan tabiat merokoknya selepas makan. 


Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin dalam satu temuramah dengan BERNAMA menyatakan wanita, warga emas dan kanak-kanak adalah mangsa utama kepada pendedahan asap rokok di tempat awam. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mula merokok pada usia 20 tahun, pekerja swasta itu berkata ‘hidupnya bagaikan tidak lengkap’ sekiranya produk yang berisiko kepada pelbagai bahaya kesihatan itu tidak dibawa sekali ke mana sahaja beliau pergi termasuklah kedai makan. 

Jika tidak dibawa, ada sahaja yang dirasakan tidak kena, malah turut diselubungi gelisah dan mulalah mencari tempat untuk mendapatkan rokok, sebatang pun tidak mengapa, asalkan dapat memenuhi ketagihan. 

Hakikatnya, perasaan begitu bukan sahaja dialami oleh Uzaimi tetapi kebanyakan perokok tegar termasuklah Shahrul Nizam Mohd Ayob. Mengabdikan diri selama 25 tahun dengan produk beracun itu dalam kehidupan sehariannya, bapa kepada lima orang anak itu biasanya akan menghabiskan dua kotak rokok atau menghisap 40 batang rokok sehari.

“Ia satu kenikmatan, kesempurnaan, kesedapan yang mampu membangkitkan keceriaan selepas makan. 

“Saya tengok juga bila hisap rokok di restoran. Kalau ada orang tua, wanita mengandung atau kanak-kanak, saya hisap juga tapi hembus asap rokok ke atas, jadi tak kenalah mereka,” kata kakitangan badan berkanun itu. 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 22.8 peratus yang bersamaan lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, dengan majoritinya adalah lelaki iaitu 43 peratus.

 

TIGA METER

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan peraturan larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Jan 2019, Uzaimi mahupun Shahrul Nizam mengakui menyedari penguatkuasaan tersebut dan masing-masing tidak mempunyai masalah mematuhinya. 

Yang penting, ketagihan merokok mereka itu masih dibenarkan selepas makan cuma perlu berjalan jauh sedikit daripada gerai atau restoran yang dikunjungi.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dipetik berkata larangan merokok itu menyatakan perokok dibenarkan menghisap rokok sekurang-kurangnya tiga meter daripada premis kedai makan. 

Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran dan warung sama ada yang bertutup, berhawa dingin mahupun yang berkonsep terbuka termasuk di tepi jalan. 

Perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pemilik premis makanan yang tidak mempamer tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, manakala bagi kesalahan gagal memastikan pelanggan tidak merokok akan didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun. 

Bagaimanapun, KKM akan menggunakan pendekatan memberi amaran lisan dan pendidikan terlebih dahulu kepada perokok dan pemilik restoran yang ingkar sepanjang enam bulan pertama pelaksanaan dan hanya mengeluarkan saman selepas tempoh itu. 

“Saya ada berbincang mengenai isu ini dengan rakan lain, kami faham dan boleh ikut undang-undang. Cuma, kami keliru macam mana hendak tahu jarak tiga meter,” kata Uzaimi.

 

SITUASI MENANG-MENANG

Menariknya, seorang pemilik Kafe Hirup Sedut, Shazul Khuzairi Zulkifli, 33, merancang membuat tanda khas menggunakan pelekat berwarna, bermula dari pintu restoran sehingga ke lokasi yang dibenarkan merokok selepas mengenal pasti jarak tiga meter itu.

Ia bertujuan memudahkan pelanggan yang ingin merokok selepas menikmati hidangan tradisional dan barat di kafe miliknya di Kota Tinggi.

“Saya yakin perokok akan tanya di mana jarak tiga meter... Jadi, saya rasa adalah tanggungjawab pengusaha untuk melakukannya lagipun ia bukanlah susah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini. 

Beliau berpendapat, langkah kerajaan melaksanakan peraturan tersebut adalah wajar demi melindungi orang ramai terutamanya golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Namun, agak menyedihkan apabila masih ada segelintir persatuan pengusaha kedai makan yang terus-terusan lantang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap larangan tersebut dengan memberi pelbagai alasan, sebenarnya dilihat lebih mementingkan perniagaan mereka. 

Bermula pertengahan Nov, di Kuala Lumpur dan terbaharu pada awal Dis di Pulau Pinang, beberapa persatuan pengusaha kedai makan menyatakan isu berkenaan memerlukan penyelesaian saksama menerusi kaedah ‘menang-menang’ bagi memenuhi kehendak semua pihak.

Apa sebenarnya maksud mereka kaedah menang-menang? Adakah dengan memenuhi tuntutan mereka yang mahukan kawasan khas merokok dalam premis masing-masing dianggap kaedah menang-menang?

Alasannya, penetapan kawasan tiga meter daripada premis untuk merokok dikatakan memberi lebih banyak kelemahan berbanding kebaikan khususnya faktor keselamatan pelanggan dan keluarga. Walhal, merokok di dalam premis walaupun di kawasan khas sebenarnya lebih mendedahkan kanak-kanak, warga emas yang menjamu selera di situ berisiko mendapat penyakit berkaitan asap rokok. 

Justeru, adakah itu yang dimaksudkan kaedah menang-menang sedangkan golongan tidak merokok terancam kesihatan mereka sejak sekian lama?

 

ASAP ROKOK KETIGA

Kebimbangan itu mempunyai asas kerana tabiat merokok bukan sahaja membuatkan individu ketagihan maut tetapi juga meliputi orang awam di sekitar yang turut sama menyedut asap yang mengandungi kira-kira 4,000 bahan kimia beracun itu. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 20,000 lelaki dewasa di Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi daripada tabiat merokok.

Mengulas mengenai isu berkenaan, Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin berkata masih ramai tidak menyedari bahaya asap rokok kepada perokok pasif mahupun golongan yang terdedah asap rokok ketiga.

“Perokok pasif adalah mereka yang menghidu asap rokok yang dihembuskan perokok. Tetapi, kebanyakannya tidak tahu bahaya asap rokok ketiga.  

“Asap rokok ketiga adalah sisa-sisa partikel daripada pembakaran rokok yang melekat pada mana-mana permukaan seperti meja, dinding, ruang rumah selama berhari-hari selepas seseorang itu merokok walaupun selepas dibersihkan,” katanya. 

Ramai beranggapan jika tidak ada yang merokok ketika berada di rumah, restoran atau kereta milik perokok, maka seseorang itu bebas daripada asap rokok. Perokok juga beranggapan jika menghisap rokok di luar rumah atau bangunan, bahaya asap rokok tidak akan masuk ke dalam rumah. 

Namun, hakikatnya asap rokok tidak semestinya boleh dilihat kerana ia sebenarnya wujud dalam bentuk partikel halus atau debu yang melekat di badan, rambut, pakaian, dinding, lantai, langsir dan hampir semua objek di dalam rumah - ini dinamakan asap rokok ketiga. 

Kajian mendapati rumah perokok tegar masih mempunyai partikel beracun daripada asap rokok walaupun setelah enam bulan seseorang itu berhenti merokok.

Malah, asap rokok ketiga juga masih terdapat pada rumah yang pernah didiami perokok walaupun dibersihkan dan dikosongkan selama dua bulan, membuktikan asap beracun itu tidak mudah dihilangkan.

Apa yang menyedihkan adalah risiko kesihatan lebih tinggi kepada bayi merangkak apabila menyentuh permukaan seumpama itu dan kemudian memasukkan tangan ke mulutnya, begitu juga bagi ibu mengandung.

 

KESEJAHTERAAN RAKYAT 

Berdasarkan pengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan, Dr Helmy mendapati wanita dan kanak-kanak adalah mangsa utama kepada pendedahan asap rokok di tempat awam. Malah, sering kali luahan hati mereka tidak diambil peduli.

Misalnya, kanak-kanak berhadapan masalah pernafasan, tumbesaran terbantut manakala wanita mengandung berisiko keguguran, kecacatan bayi dan kelahiran bayi pramatang. 

“Perokok pasif dan mereka yang terdedah kepada asap rokok ketiga kadangkala menanggung bahaya lebih dahsyat berbanding perokok aktif kerana mereka menyedut lebih banyak toksin asap rokok. 

“Selain itu, mereka juga menyedut asap pembakaran hujung rokok yang mengandungi agen penyebab kanser yang sangat tinggi,” katanya. 

Kajian Prof Dr Syed Muhamad Al Junid 'Health Care Cost of Smoking in Malaysia’ pada 2007, mendapati 39 peratus pesakit kanser paru-paru merupakan perokok pasif daripada kalangan ahli keluarga berbanding 21 peratus yang bukan perokok pasif. 

Selain itu, 38 peratus pesakit Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) merupakan perokok pasif daripada ahli keluarga berbanding 22 peratus yang bukan perokok pasif. 

“Pengurangan impak daripada asap rokok sekunder akan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan beban kos kesihatan yang ditanggung kerajaan,” katanya. 

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA  


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018