KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) – Kementerian Kesihatan akan menggunakan pendekatan pendidikan dan penerangan holistik dalam tempoh enam bulan pertama larangan merokok di premis makanan, dan selepas itu, barulah mengenakan tindakan denda terhadap perokok yang masih ingkar.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa bagi membolehkan orang awam dapat lebih memahaminya sebelum sesuatu hukuman dilaksanakan.
Kementerian, katanya, tidak akan mengenakan hukuman segera tetapi keutamaan sekarang adalah menyedarkan perokok supaya tidak merokok di kawasan larangan dalam memastikan orang awam bebas pencemaran asap rokok.
“Kita di sini bukan nak menghukum, kita mahu rakyat Malaysia menjaga dan memberi perhatian kepada kesihatan mereka, sama ada pemilik premis atau warganegara. Kempen ini kita berikan enam bulan tempoh untuk mendidik supaya tiada lagi yang tercicir, selepas itu tiada lagi alasan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan ‘walkabout’ promosi tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di Bandar Sri Permaisuri, yang berkuat kuasa di seluruh negara bermula hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong.
Dzulkefly berkata di kementerian itu terdapat 5,008 pegawai dan penolong pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) terlatih di seluruh negara untuk melakukan pemantauan serta mengeluarkan amaran lisan kepada perokok atau premis makanan yang gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut memaklumkan hasil walkabout, kementerian itu merancang untuk memperluaskan kawasan terbuka lain seperti kedai dobi untuk diwartakan sebagai kawasan larangan merokok pada masa akan datang.
"Tadi saya berkesempatan memerhatikan tempat awam, eumpamanya di kedai dobi di mana kadang-kadang ada orang yang duduk dan menunggu pakaian mereka dicuci akan merokok yang boleh mendedahkan asap rokok kepada orang lain.
"Jadi mungkin dari semasa ke semasa kita akan tambah lagi pewartaan tempat awam sebagai kawasan larangan merokok selain sembilan tempat atau premis makan yang sudah dikuatkuasakan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai tujuh individu semalam yang memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan penguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan, Dzulkefly berkata pihaknya bersedia untuk meneliti semakan kehakiman itu.
"Mereka mempunyai saluran untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kami dan mereka bebas untuk melakukannya. Saya telah meneliti permohonan semakan kehakiman mereka, kami sedia untuk berbincang dengan mereka atau meneruskan kes ini di mahkamah sebab kami memang arif dalam penguatkuasaan larangan ini, " katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN