Kehamilan Remaja: Siapa Yang Perlu Dipersalahkan?

Pakar obstetrik dan sakit puan Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan (kanan) dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. Beliau ditemu bual bersama adiknya, pakar sakit jiwa UMSC, Dr Aida Syarinaz. -- fotoBERNAMA oleh AmirulAzmi

Oleh Salbiah Said

Rencana ini adalah bahagian pertama daripada dua bahagian mengenai kehamilan luar nikah yang melibatkan gadis belasan tahun.  

PETALING JAYA (Bernama) -- Statistik penyelidikan menunjukkan purata 18,000 orang gadis belasan tahun di Malaysia mengandung setiap tahun. Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes melibatkan kehamilan di luar nikah.

Merujuk kepada statistik 2015 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, pakar dari Pusat Pakar UM (UMSC) berkata meskipun perangkaan terkini untuk 2018 belum di keluarkan lagi, mereka percaya kes kehamilan gadis belasan tahun kian meningkat.

"Angka ini mungkin kecil daripada sepatutnya kerana banyak kes mungkin tidak dilaporkan, “ kata pakar obstetrik dan sakit puan UMSC, Prof Madya Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. Beliau ditemubual bersama adiknya, pakar sakit jiwa UMSC, Dr Aida Syarinaz.

Statistik berkenaan juga menunjukkan kira-kira 14 daripada 1,000 gadis bawah umur di Malaysia hamil setiap tahun, yang menjadikan kepada purata 18,000 gadis setiap tahun. Ini berbanding di Singapura di mana kadarnya ialah empat kehamilan bagi setiap 1,000 orang gadis bawah umur dan Hong Kong pula mencatat tiga daripada 1,000 orang.


Pakar obstetrik dan sakit puan Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. -- fotoBERNAMA oleh AmirulAzmi

Menurut Dr Aizura Syafinaz, masyarakat Malaysia masih sukar menerima kehamilan gadis belasan tahun. Perkara ini amat dilarang begitu juga soal seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol, penderaan seksual dan kahwin dalam usia belasan tahun.

ROGOL STATUTORI’  

Kanun Keseksaan Malaysia mendefinisikan ‘rogol statutori’ sebagai hubungan seks dengan perempuan bawah umur 16 tahun yang yang tidak mampu memahami bentuk dan kesan mengadakan hubungan berkenaan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kehamilan gadis belasan tahun adalah di mana usia si ibu berusia antara 13 dan 19 tahun.

Berhubung perkara ‘usia memberi kebenaran’ di mana individu dianggap dari segi undang-undang mampu memberi kebenaran untuk hubungan seks, usia yang dibenarkan di Malaysia ialah 16 tahun. Individu berusia 15 tahun atau lebih muda di Malaysia dari segi undang-undang tidak boleh memberi kebenaran untuk mengadakan hubungan seksual dan kegiatan yang sedemikian boleh menyebabkan pendakwaan rogol statutori atau undang-undang tempatan yang bersamaan.

Menurut beliau kajian juga menunjukkan kebanyakan kehamilan remaja belasan tahun di Malaysia melibatkan gadis dari kalangan miskin bandar, yakni, kumpulan sosio-ekonomi berpendapatan rendah terdiri daripada ibu tunggal dengan anak-anak juga ibu bapa yang terpaksa bekerja dua syif atau melakukan dua pekerjaan dan meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan.

"Malangnya, dalam kalangan kumpulan inilah yang berlaku ramai anak remaja perempuan hamil luar nikah. Anak-anak ini kurang perhatian dan mempunyai banyak masa. Ianya bagai satu kitaran ganas.

 "Di samping itu saya ingin bertanya ibu bapa yang membenarkan perkahwinan anak mereka yang berusia belasan tahun; adakah mereka perlu didakwa kerana membenarkan rogol statutori”? soal Dr Aizura Syafinaz.

Sambil menyebut peribahasa, “Biar mati anak, jangan mati adat”, beliau berkata ibu bapa akan mengamuk apabila mendapat tahu anak mereka sudah ternoda. Bagaimanapun, mereka bukannya mencari jalan untuk menyelesaikan isu sebaliknya fikiran mereka lebih kepada cara untuk menutup malu akibat perbuatan anak mereka.

RUMAH PEMULIHAN   

"Dalam banyak kes, remaja perempuan itu akan dihantar ke rumah pemulihan untuk melahirkan kandungannya. Ada ibu bapa yang mahu anak perempuan mereka balik ke rumah tanpa membawa bayinya kerana bagi mereka bayi luar nikah akan membawa aib kepada keluarga, “ kata Dr Aizura Syafinaz.

Apa yang sering berlaku, ibu bapa tidak akan menerima anak mereka yang mengandung di luar nikah. Keadaan ini membuatkan ada yang sanggup membuang bayi yang dilahirkan. Data menunjukkan purata 100 bayi dibuang di seluruh negara setiap tahun.

Menurut beliau, masyarakat yang masih konservatif di negara ini masih tidak boleh menerima langkah menggunakan kondom atau pengambilan pil perancang keluarga kerana dilihat lebih kepada kaedah membenarkan seks bebas dan menggalakkkan persetubuhan haram.

"Sebagai contoh, saya mahu mencadangkan pengambilan pil perancang keluarga untuk remaja supaya darah haidnya teratur tetapi ibu remaja itu membantah kerana bimbang orang akan menyangka anaknya aktif seks.

"Meksipun maklumat mengenai kehamilan remaja boleh diperolehi di portal Kementerian Kesihatan 'myHEALTH' sejak 2012, tetapi sehingga penghujung November cuma menerima 34 pelawat sahaja. Ini menunjukkan ia tidak mencapai sasaran di kalangan golongan belia, “ katanya.


Pakar sakit jiwa Pusat Pakar UM (UMSC), Dr Aida Syarinaz Ahmad Adlan semasa ditemu bual di UMSC baru-baru ini. -- fotoBERNAMA oleh AmirulAzmi

BIOLOGI ASAS

Dr Aizura Syafinaz berpendapat pendidikan seks di sekolah menengah perlu dikaji semula kerana pada masa ini ia hanya menekankan kepada biologi asas mengenai sistem pembiakan tubuh manusia.

"Pendekatan pendidikan seks terlalu akademik dan masih secara tidak langsung kerana kebanyakan orang malu untuk berbincang tentang tajuk seksualiti.  Sekolah mengajar penggunaan alat pencegah kehamilan (IUCD) di tingkatan 1. IUCD adalah perkara yang kami ajar pelajar perubatan dalam kurikulum sekolah perubatan.

"Apabila statistik menunjukkan kehamilan gadis belasan tahun lebih tinggi di kalangan yang berusia 15 tahun, kami buat keputusan untuk ajar pendidikan seks ini lebih awal, pada tingkatan 1, ketika mereka berusia 13 tahun. Adakah perkara ini difikirkan masak-masak? Sekolah tidak mengajar tentang perlakuan seks dan menjelaskan kesan dan akibatnya. Mereka yang tidak tahu kesan akibat melakukan hubungan seks akhirnya membuatkan budak perempuan itu mengandung dan menanggung akibatnya kemudian, " tambahnya.

Menurut beliau terdapat kekurangan pengetahuan tentang kesihatan pembiakan seksual di kalangan rakyat Malaysia.

Menurut tinjauan 2015 yang disokong Kementerian Kesihatan, 35 peratus remaja perempuan Malaysia percaya mengadakan hubungan seks pertama kali tidak akan membuatkan mereka hamil, dan seorang daripada lima rakyat Malaysia percaya infeksi menular seksual (STI) boleh dijangkitkan oleh nyamuk – satu tafsiran yang amat memeranjatkan.

Dr Aizura Syafinaz berkata ibu bapa perlu dipersalahkan kerana tidak membantu anak-anak mereka memahami tentang proses hubungan seksual serta pembiakan manusia, sambil menambah keadaan itu disebabkan halangan kebudayaan serta cara ibu bapa itu dibesarkan.

SEKS ATAS SUKA SAMA SUKA 

Kajian menunjukkan ramai gadis belasan tahun di bawah usia 16 tahun menjadi hamil kerana kegiatan seksual suka sama suka belum nikah.

Dr Aida Syarinaz berkongsi teori kasih sayang yang menjalin hubungan antara anak dengan penjaga dan yang akan menentukan hubungan masa depan mereka.

"Kasih sayang adalah ikatan emosi dengan seseorang. Ikatan kasih sayang yang dijalin antara anak dengan penjaga dari peringkat usia kecil memberi kesan mendalam yang akan berterusan sepanjang hayat.

"Kanak-kanak yang disayangi lazimnya mempunyai nilai harga diri yang lebih baik begitu juga sikap berdikari ketika mereka membesar. Biasanya juga mereka lebih berjaya dalam hubungan sosial dan kurang mengalami kemurungan serta rasa kerisauan. Kegagalan mendapat kasih sayang semasa kecil boleh memberi kesan negatif dalam kehidupan dewasa mereka, “ katanya.

Menurut Dr Aida Syarinaz dalam keadaan apabila anak perempuan mengandung, ibu bapa perlu belajar untuk menerima keadaan itu dan menangani masalah itu dengan cara paling baik. Sikap menolak kenyataan tidak akan membantu menyelesaikan masalah anak yang mengandung.

"Ibu bapa biasanya berasa tidak selesa berbincang tentang isu seksual dengan anak belasan tahun mereka dan membiarkan anak itu mencari maklumat dari media dan rakan sebaya mereka, “tambahnya.

IBU PENCARI NAFKAH

Dr Aida Syarinaz memberi contoh kisah seorang budak perempuan berusia 14 tahun yang ayahnya seorang pemabuk dan emaknya yang terpaksa mencari nafkah.

"Ibu bapa budak ini jarang ada di rumah dan budak itu banyak menghabiskan masa dengan teman lelakinya. Budak itu tak tahu tentang hubungan seksual dan tak sedar teman lelakinya merogolnya berulang kali dan menganggap perbuatan teman lelaki itu sebagai tanda cinta.

"Budak perempuan itu takut jika dia tidak mengikut kata teman lelakinya, dia akan kehilangan cintanya, meskipun dia selalu kesakitan apabila melakukan hubungan seks. Budak itu masih dirawat kerana dia mengalami gangguan jiwa yang mendalam.

Dr Aizura Syafinaz menambah dalam banyak kes dan terutama di kalangan keluarga berpendapatan rendah, anak-anak dewasa kembali ke rumah dengan makanan bungkus dan tidak makanan yang dimasak sendiri dan makan malam dengan keluarga. Ibu bapa mereka mungkin bekerja atau terpaksa kerja dua syif.

Menurut  beliau, golongan belia hari ini juga terdedah dengan seks menerusi bahan lucah. Tanpa pendidikan seks yang menyeluruh dan berkesan, mereka mungkin terpeson dengan apa yang belajar dan faham. Ada juga yang memuat turun gambar bogel mereka menerusi media sosial seperti WeChat.

"Sekiranya budak perempuan itu mahu melakukan hubungan seks, dia mesti mengamalkan seks yang selamat untuk melindungi dirinya. Kesan melakukan hubungan seks yang dilarang boleh menyebabkan kehamilan. Ingat anda berhak untuk mengatakan 'Tidak' kepada seks, “ tegasnya.

Dalam usaha menggalakkan golongan muda menjauhi hubungan seks untuk mengelakkan kehamilan dalam usia belasan tahun, beliau berharap ibu bapa perlu mengawasi anak mereka dan mewujudkan suasana yang selamat di rumah serta menggalakkan anak belajar yang dapat mengurangkan risiko kehamilan yang tidak diingini. Anak-anak juga perlu mempunyai hubungan yang sihat dengan keluarga serta rakan sebaya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA


 




Untuk maklumat lanjut klik sini

HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018