Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim menunjukan risalah 'Pewartaan Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok'.
KLANG, 3 Jan (Bernama) -- Penerimaan dan pemahaman masyarakat tentang larangan merokok sepenuhnya di premis makanan di Selangor semakin baik walaupun baharu tiga hari penguatkuasaannya namun kesedaran peniaga terutamanya pengusaha gerai dalam memaparkan papan tanda amaran itu dilihat masih rendah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata dalam operasi yang dijalankan sejak Selasa, didapati kurang daripada 50 peratus pengusaha gerai makan menaikkan papan tanda larangan merokok di premis mereka seperti mana yang ditetapkan dibawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.
Beliau berkata ini kerana kebanyakan pengusaha gerai termasuk peniaga berkanopi di tepi-tepi jalan tidak mengetahui bahawa mereka juga selaku penyedia makanan yang tertakluk di bawah peraturan berkenaan.
"Bagi pemilik restoran dan kedai makan, kita dapati hampir 70 peratus daripadanya telah memaparkan papan tanda larangan itu cuma pengusaha gerai masih kurang faham yang mereka juga mesti berbuat demikian.
“Disebabkan itu, kita akan mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan pendidikan dalam tempoh enam bulan ini supaya papan tanda itu dipaparkan dengan jelas di premis mereka bagi mengingatkan masyarakat supaya tidak merokok di tempat awam," katanya kepada pemberita semasa operasi larangan merokok di sekitar Klang hari ini.
Beliau berkata walaupun setakat ini pemilik premis makanan termasuk gerai diberi notis amaran kerana tidak memaparkan papan tanda larangan merokok, namun mereka diingatkan supaya memasangnya mengikut spesifikasi ukuran yang ditetapkan Kementerian Kesihatan selewat-lewatnya sehingga Jun depan.
Katanya, selepas tempoh tersebut, mana-mana pemilik premis makanan yang masih gagal memaparkan papan tanda larangan merokok seperti ditetapkan dalam peraturan itu boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Dr Khalid berkata disebabkan Selangor mempunyai 70,000 premis makanan berdaftar dan anggaran 10,000 lagi tidak berdaftar, beliau menyasarkan sebanyak 1,500 premis dilawati setiap hari bagi pelaksanaan program penguatkuasaan pendidikan itu.
“Kita ada 448 pegawai seluruh negeri yang diberi kuasa melaksanakan penguatkuasaan ini 24 jam dan sehingga semalam, sebanyak 1,494 premis telah dilawati dengan 4,500 risalah berkaitan peraturan itu telah diedarkan kepada pekedai serta masyarakat dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Pada masa sama juga, seramai 22 individu diberikan notis amaran kerana didapati merokok di tempat yang telah digazetkan sebagai kawasan larangan merokok," katanya.
Sehubungan itu katanya, jabatan berkenaan juga akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan serta ketua komuniti supaya kesedaran serta kefahaman masyarakat dan pemilik premis makanan tentang larangan merokok di tempat awam terus disebar luaskan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN