1,431 notis amaran dikeluarkan di premis makanan di Johor



JOHOR BAHRU, 8 Jan (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan 1,431 notis amaran di premis makanan dalam tempoh seminggu ini, sejak penguatkuasaan larangan merokok dilaksana 1 Jan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata kesemua notis dikeluarkan sejak 1 Jan sehingga 8 malam tadi itu, adalah hasil lawatan anggota penguatkuasa ke atas 3,470 premis di seluruh negeri ini.

"JKNJ mendapati terdapat 445 premis tidak memasang papan tanda larangan merokok. Selain notis amaran itu, JKNJ turut mengedarkan 6,154 risalah dan memberi nasihat secara individu mengenai larangan merokok di tempat makan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Kempen Larangan Merokok Di Tempat Makanan Peringkat Johor di Plaza Larkin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Selahudeen Abd Aziz dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Amran A Rahman.

Dr Sahruddin berkata pada masa sama, JKNJ turut mempergiatkan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di kawasan larangan merokok yang lain.

Beliau berkata hasilnya, 35 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dalam tempoh seminggu ini kerana gagal mematuhi pelbagai peraturan seperti merokok di tempat dilarang merokok.

Katanya sepanjang tahun lepas, 10,441 notis di bawah Seksyen 32B dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM1.391 juta.

“Lima kesalahan tertinggi dikeluarkan Notis 32B adalah membabitkan merokok di tempat dilarang merokok dengan 4,721 notis, merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD) 620 notis, penjualan rokok di bawah Harga Minimum (341), menjual, membeli atau memiliki rokok tidak dicetak imej amaran kesihatan (64) dan tidak mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada OBD (32)," katanya.

Mengulas mengenai keberkesanan larangan merokok di tempat makan tersebut, Dr Sahruddin berkata beliau berpandangan ia berkesan setakat ini, dengan masyarakat mahupun peniaga memahami peraturan ditetapkan.

“Pada tinjauan di sini hari ini (Plaza Larkin), saya lihat tiada yang merokok kerana kebanyakan peniaga sudah maklum dan memberitahu pelanggan masing-masing supaya tidak merokok.

“Kita memerlukan peranan semua dalam masyarakat untuk saling mengingati supaya berhenti merokok dan jangan merokok di kawasan larangan,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2