1,278 notis amaran larangan merokok dikeluarkan di Pulau Pinang



BUTTERWORTH, 8 Jan (Bernama) --  Sebanyak 1,278 notis amaran dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang kepada pemilik premis makanan di negeri ini kerana gagal menepati piawaian tanda larangan merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata daripada jumlah itu sebanyak 800 premis tidak mempamerkan tanda larangan merokok, sejak 1 Jan lepas.

"Sejak 1 Jan lepas sebanyak 1,604  premis makanan telah dilawati dan saya harap semua premis makanan di negeri ini perlu mematuhi larangan merokok di tempat makan seperti yang ditetapkan kerajaan.

"Selain itu, mereka juga perlu mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat. pemilik tempat makan yang gagal mempamerkan tanda larangan itu boleh dikenakan kompaun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra sempena pelaksanaan larangan merokok di premis makanan di sini hari ini.

Seramai 20 penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang terlibat dalam tinjauan mesra itu dan mereka turut mengedarkan risalah kempen larangan merokok di premis makanan.

Dr Afif berkata beliau juga berharap dengan operasi yang dijalankan ini dapat meningkatkan kesedaran orang awam, terutamanya yang sering berhadapan dengan risiko sebagai perokok pasif.

Katanya sebanyak tujuh amaran juga dikeluarkan sejak 1 Jan lepas bagi kesalahan merokok di premis makanan.

"Berdasarkan tinjauan, kami juga mendapati orang ramai mula sedar berkenaan kempen itu dan mereka juga tahu mengenai peraturan tersebut serta tidak menghisap rokok di premis makanan," katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membuat keputusan untuk tidak membenarkan penjualan rokok di premis makanan.

"Perkara itu (jual rokok) telah dibangkitkan oleh orang ramai kerana mereka mempertikaikan kenapa rokok boleh dijual di premis makanan sedangkan tidak boleh menghisap rokok di situ (premis makanan), saya harap pihak KPDNHEP dapat buat keputusan berhubung isu berkenaan," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018