Kerajaan tidak akan berganjak mengenai larangan merokok



 

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) — Kerajaan tidak akan berganjak mengenai larangan merokok di semua restoran dan premis makanan meskipun mendapat tentangan dan kritikan daripada golongan perokok tegar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Beliau menegaskan larangan itu akan dikuatkuasakan dengan lebih baik untuk menjamin kesihatan golongan bukan perokok, khususnya warga tua dan anak kecil yang sering terdedah dengan kesan sampingan. 

“Sudah pasti kita tidak akan berganjak dengan larangan ini. Kita akan mendepani tentangan-tentangan ini dan kita tahu ada semakan kehakiman berhubung ini.

"Tetapi kita juga mendapat penglibatan dari pihak Peguam Negara dan pakar undang-undang untuk membantu kita di kementerian dalam mempertahankan serta menjamin kita tidak berganjak atau menarik balik daripada ini," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Sejak larangan itu berkuatkuasa pada 1 Jan lepas, Dzulkefly berkata sebanyak 13,724 amaran bertulis dikeluarkan dan 75, 280 nasihat diberikan kepada individu sehingga semalam.

Beliau berkata anggota penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah melawat 30,548 tempat makan termasuk yang beroperasi 24 jam sehingga tempoh itu.

Sebanyak 76,274 risalah juga telah diedar dalam usaha memberikan pendidikan dalam soal rokok, katanya.

Walaupun terdapat kritikan daripada golongan perokok, Dzulkefly yakin langkah tersebut akan membawa impak positif ke arah usaha menangani penularan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ditanya sama ada kementerian mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan untuk merokok di premis tersebut selepas pukul 10 malam, beliau berkata ia tidak akan dipertimbangkan langsung kerana ia dilihat sebagai satu tindakan ke belakang.

Mengenai cadangan bagi pihak restoran menyediakan tempat khas untuk perokok di premis mereka, Dzulkefly berkata ia bergantung kepada kreativiti masing-masing selagi tempat itu dibuat sejauh tiga meter dari premis.

Mengulas cadangan mengurangkan kandungan nikotin rokok, beliau berkata usaha untuk menangani ketagihan rokok adalah sesuatu yang baik tetapi kementerian masih belum mempunyai sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok berkenaan. 

"Sabah telah bersetuju dan pelaksanaan itu kita diserahkan kepada mereka. Saya yakin Sarawak juga akan bersama kita,” katanya.

— BERNAMA 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018