3,808 premis makanan di Perak tidak pasang tanda larangan merokok

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye (tiga, kanan) memegang poster notis larangan merokok yang perlu dipamerkan di premis makanan ketika melakukan tinjauan di Pasar Siang Malam hari ini.

TAIPING, 12 Jan (Bernama) -- Pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan Perak ke atas 6,265 premis makanan sejak awal tahun ini mendapati 3,808 daripadanya tidak memasang tanda larangan merokok di premis mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata 4,185 notis amaran mengenai pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam pemeriksaan itu, dan 86 individu pula dikesan merokok di premis makanan semasa penguatkuasa menjalankan operasi ‘educational enforcement’ sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata premis yang didapati ingkar terhadap arahan memasang notis kawasan larangan merokok boleh dikenakan saman RM3,000 atau penjara tidak lebih enam tahun, jika sabit kesalahan, manakala bagi kesalahan gagal memastikan orang ramai tidak merokok di tempat makan, pemilik premis boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

"Kita harap orang ramai berhenti merokok, jika tidak pun kurang merokok di depan orang ramai, atau merokok di kawasan lapang," katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di pasar siang malam di sini hari ini.

Perintah larangan merokok pada mulanya dikuatkuasa di bangunan Parlimen, sebelum diikuti larangan di premis menjual makanan mulai tahun ini di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, dan selepas itu pihak kementerian dikatakan turut sedang menimbang kemungkinan menguatkuasa larangan berkenaan di kedai-kedai dobi dan hotel.

Dalam tempoh enam bulan pelaksanaan larangan merokok di premis-premis menjual makanan, penguatkuasa kementerian kesihatan tidak akan mengenakan kompaun, hanya mengeluarkan surat-surat amaran, dan selepas tempoh itu sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000, atau dipenjara sehingga dua tahun.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Lee berkata beliau menerima permohonan maaf daripada seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya dalam satu video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

"Saya anggap kes ini telah selesai kerana lelaki tu datang menemui saya dan bersalam dengan saya pagi ini. Kita menerima apa sahaja kritikan daripada rakyat kerana apa yang penting jangan mencabar undang-undang dalam negara kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan.

“Kita ada platform untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa kita melaksanakan larangan merokok ini,” katanya. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2